Seorang lelaki tempatan memenangi hak untuk membawa pulang kakinya yang dipotong dan dijadikan tiang lampu hiasan.
Leo Bonten, 53, kemudian mengiklankan lampu itu di laman eBay untuk dijual dengan harga permulaan €100,000 (RM 417,177).
Bagaimanapun, iklan itu digugurkan kerana ia melanggar polisi laman berkenaan yang mengharamkan penjualan anggota badan manusia.
Kaki Bonten terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas ia patah dalam satu kemalangan pada Julai 2012.
Dalam kejadian itu, rakannya cuba menolak Bonten ke dalam kolam renang namun dia tergelincir dan rakan itu jatuh ke atasnya menyebabkan kakinya mengalami keretakan serius.
Selepas menjalani beberapa pembedahan, dia dijangkiti kuman di bahagian penyambung lutut yang memakan tulangnya.
Menjelang Jun 2014, kaki kanannya yang dijangkiti kuman terpaksa dipotong selepas ia tidak lagi berfungsi.
Sebaik berbincang dengan doktor mengenai perkara itu, dia mendapat idea untuk menjadikan kakinya tiang lampu.
Ideanya itu mengundang pertikaian besar mengenai pemilik kepada anggota yang sudah dipotong dan kebenaran dari segi undang-undang untuk membenarkan Bonten menyimpannya.
Kebiasaannya, anggota badan yang dipotong diserahkan kepada pihak hospital yang menjalankan pembedahan itu dan mereka bertanggungjawab melupuskannya.
Ia melanggar undang-undang jika kakitangan hospital tidak melupuskan anggota yang dipotong.
Bonten tidak dapat menerima syarat itu dan ketika ditemubual dia berkata: “Kaki saya adalah harta saya.
Ada orang yang menyimpan batu karangnya di dalam balang hiasan dan menjadikan abu mayat sebagai tatu. Saya mahu menjadikan kaki saya lampu hiasan.” Dia akhirnya diberikan kebenaran menyimpan kakinya dan mendapatkan khidmat pakar patologi, Frank van de Goot untuk mengawet serta pereka lampu, Willem Schaperkotter untuk menghasilkan lampu itu.
‘Lampu Kaki’ idamannya itu terhasil sebaik Bonten pulih daripada pembedahannya.
No comments
Post a Comment