Georgetown: Seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik kemudian
dijerut hingga maut sebelum mayatnya dalam keadaan bogel ditinggalkan di
puncak Bukit Gambir di sini, jam 1.30 petang semalam.
Lebih menyedihkan ketika ditemui mayat mangsa ditinggalkan di celah
himpunan daun, manakala mukanya hanya ditutup menggunakan sehelai baju
dipercayai miliknya.
Terdahulu rakan senegara mangsa menaruh harapan mangsa masih hidup selepas diculik dan mereka turut membantu pihak polis mengesan lelaki berkenaan, namun mereka kelihatan sebak selepas dimaklumkan penemuan mayat itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash
Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 2
petang kelmarin, membabitkan kes penculikan dua lelaki warga Bangladesh.
Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hossin Md Alahi, 39, menerima panggilan daripada suspek yang kononnya ingin mendapatkan perkhidmatan untuk membuat kabinet dapur.
“Mangsa ditemani seorang lagi rakannya yang juga warga Bangladesh kemudian ke sebuah hotel di Bukit Jambul untuk bertemu dengan suspek, sebelum mereka dibawa ke sebuah rumah flat berhampiran.
“Sejurus tiba di kawasan itu, mangsa didatangi sekumpulan lelaki
dipercayai warga Myanmar yang mengaku sebagai anggota polis. Suspek
mengarahkan mangsa mengeluarkan dokumen perjalanan untuk diperiksa
sebelum dimaklumkan perlu ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Balai
Polis Bukit Gambir kerana mengemukakan dokumen didakwa palsu.
“Kedua-dua mangsa diikat dan mata ditutup dan dibawa ke Bukit Gambir sebelum dipukul. Suspek kemudian menghubungi seorang rakan lelaki Bangladesh itu bagi meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 sebagai syarat membebaskan kedua-duanya,” katanya.
Mior berkata, kira-kira jam 6 petang hari sama, rakan mangsa berjaya
melepaskan diri dengan menggigit ikatan tali pada tangannya tanpa
disedari suspek ketika itu tidur.
“Lelaki terbabit berjaya sampai di kaki bukit dan kemudian mendapatkan bantuan beberapa rakannya berada di kawasan itu sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian.
“Susulan laporan diterima, kami melakukan gerakan mengesan mangsa, kemudian terpaksa dihentikan pada 7 malam, ketika itu suspek dipercayai sudah melarikan diri.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap mayat mangsa menemui kesan jerut pada leher, manakala pakar Forensik dan Pathologi, Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh mendapati mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 24 jam yang lalu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba bagi membawa mayat mangsa turun dari puncak bukit sejauh tiga kilometer, sebelum dihantar ke HPP untuk di bedah siasat.
No comments
Post a Comment