Ipoh: Akibat tidak berpuas hati dengan satu kes kemalangan maut, dua kumpulan bertindak ‘mengepung’ Balai Polis Kampung Baru Buntong di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam, berkata ahli keluarga kedua-dua pihak yang terbabit dalam kemalangan itu, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, lalu pergi ke balai polis untuk mendapatkan penjelasan.
“Keadaan menjadi tegang apabila kedua-dua pihak masing-masing mendakwa mereka berada di pihak yang benar hingga mengakibatkan berlaku sedikit kekecohan.
“Bagaimanapun, pegawai penyiasat kes itu memberikan jaminan akan menyiasat setiap aspek dan kes itu akan dikendalikan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Selepas berpuas hati dengan jaminan itu, kedua-dua kumpulan berkenaan meninggalkan pekarangan balai polis tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Kemalangan motosikal
Terdahulu, N Rajendran, 60, dari Taman Wing Onn di sini, maut dalam kemalangan di Jalan Ng Song Teik di sini, apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan motosikal lain.
Berikutan itu, anak mangsa membuat laporan polis berhubung kemalangan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa kenalan dan ahli keluarga Rajendran dikatakan tidak berpuas hati dengan kejadian itu, lalu mengepung rumah penunggang motosikal yang melanggar mangsa dan membuat kecoh.
Polis berjaya menyuraikan kumpulan itu serta menahan beberapa individu yang mencetuskan kekecohan di rumah itu dan dibawa ke Balai Polis Kampung Baru Buntong.
Tindakan polis itu mengakibatkan kumpulan berkenaan mengepung balai polis kerana tidak berpuas hati.
Beberapa ahli keluarga penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu turut pergi ke balai polis untuk mendapatkan penjelasan berhubung kes itu hingga mencetuskan sedikit kekecohan di kawasan balai. -shaarani@bh.com.my
No comments
Post a Comment