Pagi tadi, saya terbang ke Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Seperti sebelumnya, saya dan kru menuju ke kaunter check in di terminal B.
"Kalau belum check in lagi, gunakan mesin (kiosk) di sana," arah petugas wanita berdiri di laluan masuk ke kaunter MAS.
"Kalau kami terus check in di kaunter?," soal saya.
"Pergilah, nanti kakitangan kaunter akan suruh keluar dan pergi check in di mesin untuk mendapatkan boarding pass," balasnya.
Tanpa senyuman di wajah, kenyataan itu kedengaran bak satu cabaran.
Dia mendakwa menerima arahan dikeluarkan oleh pihak atasan, mewajibkan setiap penumpang check in menggunakan kiosk ditempatkan di hujung kiri kaunter MAS.
Saya menoleh ke kiosk dimaksudkan. Beberapa penumpang dibantu menggunakan kiosk. Senario itu jelas menunjukkan majoriti pelanggan MAS kekok berurusan dengan mesin berbanding manusia.
Di bawah, gambar suasana di kaunter MAS pada ketika itu, lengang.
Faktor itu mendorong kami mendapatkan khidmat kakitangan di kaunter, bukan beratur untuk menggunakan kiosk.
Mujur di sebaik tercegat di kaunter, kami disambut dengan senyuman manis kakitangan wanita MAS bertugas. Tidak pula dia bergegas mengarahkan kami untuk beredar menggunakan kiosk seperti didakwa oleh kakitangan wanita sebelumnya.
Tidak sampai 10 minit, urusan mendapatkan boarding pass, selesai.
Kami sempat mengungkapkan terima kasih kepada petugas itu. Wajahnya tidak lekang dek senyumanan, jauh berbeza berbanding penampilan wanita berbaju putih kami temui sebelum tampil di kaunter.
Barangkali saya terkeliru dengan maklumat diterima, lalu saya menghubungi pejabat MAS dan berbual dengan seorang daripada pegawai bertugas.
"Encik, kami dimaklumkan oleh kakitangan berbaju putih berdiri di laluan masuk ke kaunter MAS, penumpang wajib check in menggunakan kiosk tetapi tidak pula kelihatan papan tanda memaparkan arahan itu. Jadi penumpang tidak tahu sehinggalah mereka bergerak menuju ke kaunter," ujar saya.
"Oh! Mereka itu kakitangan vendor MAS. Tujuan penumpang diminta menggunakan kiosk, untuk megelakkan kesesakan di kaunter. Terima kasih kerana sudi menyalurkan teguran, memang tiada arahan dipaparkan di papan tanda," jelas beliau.
Maksudnya, penumpang mempunyai pilihan samada menggunakan kiosk atau terus berjumpa kakitangan MAS di kaunter, jika tidak sesak.
Selepas itu, saya juga mendapatkan penjelasan daripada pengurus bertugas, memperkenalkan dirinya sebagai Eugene.
"Ini arahan kami terima daripada pihak atasan," kata pengurus itu.
"Logiknya arahan itu harus dipamerkan secara jelas kepada setiap penumpang. Jadi mereka boleh terus ke kiosk, bukan ke kaunter. Kami datang awal tadi tetapi tanpa mengetahui arahan itu, kami menunggu untuk ke kaunter," balas saya.
Sebelum bergerak ke Pintu A9, saya sempat menemui kembali kakitangan vendor dan menerangkan kepadanya intipati perbincangan saya bersama dua pegawai MAS terbabit. Tidak sekalipun saya meninggikan suara, jauh sekali memaki hamun. Tujuan pertemuan kali kedua, memaklumkan, bukan mencerca.
Mengejutkan, penyelia kakitangan vendor itu, wanita bertudung, datang menghampiri saya dan memohon maaf di atas kekeliruan berlaku. Dia kemudian beredar bersama kakitangannya, kelihatan terusik dengan penerangan saya.
Tepat jam 10.45 pagi, kami terbang menggunakan pesawat MH2710.
Saya menganggap isu itu selesai sehingga kakitangan vendor sama didapati memaparkan status di bawah di laman sosial.
Adakah pelanggan MAS seperti saya dianggap SIAL hanya kerana cuba memperoleh fakta tepat daripada syarikat penerbangan negara? Fakta berkebarangkalian akan lebih memudahkan urusan penumpang.
Tira Misu, saya hanya seorang daripada jutaan pelanggan MAS dan tidak pernah berhutang dengan cik. Jauh sekali saya menuntut cik melutut di kaki saya.
Itu ternyata kenyataan cik sendiri bertujuan untuk mendorong rakan facebook cik membenci saya.
Tatkala MAS dilanda bahana, usah ditambah beban di bahu dengan kenyataan biadab kakitangan bertugas. Seperkara lagi, menghina pelanggan MAS secara terbuka di facebook, bukan jalan penyelesaian bijak dan terbaik.
Kepada pihak pengurusan MAS, jika benar dakwaan, semua penumpang mesti menggunakan kiosk, sila paparkan arahan JELAS ...
'SEMUA PENUMPANG WAJIB MENGGUNAKAN KIOSK SEBELUM KE KAUNTER'
Biarpun kakitangan vendor itu meluat dengan saya, saya tetap sayangkan MAS.
(M)azidul (A)kmal (S)idik.
Artikel Penuh di - MazidulAkmal.Com
No comments
Post a Comment