SIDANG media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merungkaikan beberapa aspek penting dalam pencarian MH370.
Aspek penting didedahkan adalah pesawat sebelum ini didakwa membuat pusingan balik adalah milik MH370.
Maklumat terbaharu ini menguatkan lagi teori rampasan dibangkitkan ramai pihak.
Namun, jika benar pesawat ini dikawal seseorang bagaimana cara ia dilakukan?
Pesawat Boeing 777 ini bukan sembarangan pesawat, ia adalah pesawat dilengkapi ciri keselamatan yang canggih.
Ini termasuk, pintu menghubungkan kokpit dengan pesawat hanya boleh dibuka dari kokpit.
Sumber enggan namanya didedahkan memberitahu, jika seseorang mahu merampas pesawat, adalah sukar untuknya memasuki kokpit.
Ini kerana, hanya juruterbang dan pembantu juruterbang sahaja yang boleh membuka pintu tersebut.
"Ia sukar dilakukan melainkan mendapatkan bantuan 'orang dalam'. Jika ini berlaku adalah lebih mudah seseorang merampas pesawat," katanya.
Jika seseorang mampu memasuki kokpit pesawat, transponder boleh dimatikan secara manual kerana transponder mudah dikendalikan.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana siasatan masih berjalan.
Apabila ditanya adakah wujud cara lain untuk mengawal pesawat selain dari memasuki kokpit, beliau berkata, terdapat cara lain namun sukar dilakukan.
Jika seseorang mempunyai kemahiran tinggi dalam menggodam, tidak mustahil mampu menggodam sistem pesawat.
Ini kerana, pesawat Boeing 777 mempunyai sistem berkomputer iaitu 'fly by wire system' yang mungkin boleh digodam oleh seseorang yang berkemahiran tinggi.
SH
No comments
Post a Comment