WASHINGTON – Pesawat MH370 yang hilang sejak lapan hari lalu, dikhuatiri terhempas di Lautan Hindi akibat kehabisan minyak selepas terbang sejauh beribu kilometer.
Rangkaian televisyen CNN yang memetik kenyataan sumber di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, satu analisis berdasarkan isyarat lemah yang dihantar kepada satelit dan data radar tentera mendapati, pesawat MH370 berkemungkinan terhempas sama ada di Teluk Bengal atau lokasi lain di Lautan Hindi.
Laporan analisis tersebut yang dilakukan oleh pasukan penyiasat Malaysia dan AS mungkin dapat mengecilkan kawasan pencarian pesawat terbabit yang hilang sejak seminggu lalu.
Kedua-dua pihak turut menjalankan analisis secara terperinci bagi mencari petunjuk kemungkinan pesawat itu menukar haluan penerbangan merentasi Semenanjung Malaysia dan menghala ke Teluk Bengal atau lokasi lain di bahagian barat daya Lautan Hindi.
Dalam pada itu, sumber berkenaan berkata, isyarat lemah yang diterima satelit menunjukkan pesawat terbabit menempuh penerbangan sejauh beribu-ribu kilometer sebelum terhempas di Lautan Hindi akibat kehabisan minyak.
Sumber itu menambah, pesawat MH370 tidak mungkin memasuki ruang udara India yang dilengkapi kekuatan pertahanan udara dan kawasan liputan radar yang luas bagi mengesan serta memintas kapal terbang berkenaan.
Jelasnya, isyarat yang dihantar pesawat ibarat ‘tanda berjabat tangan’ atau komunikasi ringkas antara pesawat dan satelit.
“Dalam keadaan normal, kedua-dua sistem akan berkongsi data yang lebih banyak, namun kes MH370 menunjukkan sistem transponder pesawat itu, dipercayai ditutup dengan sengaja.
“Bagaimanapun tiada lokasi tepat dapat dipastikan melalui isyarat lemah yang dikesan satelit, sekali gus tidak membantu operasi mengesan kedudukan pesawat itu,” kata sumber tersebut. -AGENSI/REUTERS
No comments
Post a Comment