KUALA LUMPUR: Penyanyi Soo Wincci mengakui kini berkawan rapat
dengan pelakon Iqram Dinzly dan sering keluar bersama jika mempunyai
kelapangan.
Bagaimanapun, Wincci, 28, berkata, dia belum bersedia melangkah ke
alam percintaan sebelum impiannya untuk mencipta nama di Hollywood belum
tercapai.
"Kami kawan baik dan memang sering keluar bersama jika ada masa
terluang kerana rumah dia berhampiran dengan saya tapi saya tidak tahu
dia akan datang pada majlis ini untuk buat kejutan.
"Dia juga seorang kawan yang baik dan kami selalu bertukar pendapat
tentang sesuatu perkara terutamanya berkaitan dengan industri," katanya
kepada mStar Online, di sini, Jumaat.
Wincci berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gimik lamaran
dan pemberian cincin daripada pelakon tersebut pada majlis pelancaran
album pertamanya berjudul Su Win Si by Soo Wincci, di M Suit, dekat
sini, Jumaat.
Tambah Wincci, dia tidak pernah merancang atau menetapkan sasaran
untuk menamatkan zaman bujang sebelum berjaya dalam kerjayanya.
Sementara itu, album pertama dalam bahasa Melayu ini memuatkan empat
buah lagu baharu ciptaan komposer Ajai iaitu Terus Teranglah, Musim
Asmara, Jangan Risau, dab Nombor 1.
Wincci berkata, cabaran utama dalam penghasilan album tersebut adalah
mengatasi masalah pelat dalam menyebut beberapa perkataan dalam bahasa
Melayu.
"Cabaran utama ialah saya terpaksa mengambil masa panjang untuk
proses rakaman kerana ada beberapa lirik dan perkataan yang sukar untuk
disebut.
"Oleh itu, Ajai terpaksa menukar lirik ketika itu kepada perkataan yang lebih mudah untuk disebut," ujarnya.
Katanya, penggunaan bahasa Mandarin ketika menetap di Taiwan turut menjejaskan penggunaan bahasa Malaysianya.
Album yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan ini bakal berada di pasaran pada minggu depan.
No comments
Post a Comment