Dugaan yang menimpa penyanyi, rapper, penari, komposer, produser dan pelopor fesyen ini bukan calang-calang. Pada usia terlalu muda pula, dia sudah merasa betapa sakitnya dunia penuh glamor ini.
Park Jaebeom atau Jay Park, 27, tidak lama dulu berdepan insiden paling ‘hitam’ sewaktu baru mula-mula naik dan mengetuai kumpulan K-Pop terkenal 2PM apabila dikecam habis-habisan di laman sosial hanya kerana satu kesilapan.
Drastik dan mengundur diri hanyalah jalan terbaik buatnya ketika itu, penyanyi kelahiran Seattle, Washington, Amerika Syarikat ini bagaimanapun tidak dapat menafikan minat mendalamnya hanya pada muzik.
Bangkit daripada ‘kegelapan’ itu, dia kembali membina empayarnya bermula pada 2010 dan memperjuangkan apa yang adil buat dirinya sendiri, muzik serta apa kemahuan sebenarnya.
Melangkah setapak lagi meluaskan lagi pastinya profil kerjayanya sendiri, dia mengambil risiko pula untuk membuka label sendiri dan setakat ini sudah beberapa artis direkrut bernaung bawahnya.
Ternyata dia benar-benar menggunakan peluang kedua kebangkitannya dengan melakar sebuah kejayaan yang sudah cukup mengagumkan dibuat seseorang pada usia semuda itu.
Memberi nama labelnya AOMG yang pasti bukan masa untuknya bersenang-lenang lagi kerana menurutnya selain dirinya, dia kena menjaga kerjaya orang lain juga.
“Terus-terang, dengan penubuhan label ini memang semakin pening dan jadual pula makin padat serta sudah tentu-tentu saya kena campur tangan dalam setiap hal membabitkan syarikat saya itu.
“Setakat ini, sudah ada empat artis yang bernaung di bawah AOMG di mana terbaru saya baru saja memperkenalkan Grey. Bagaimanapun, konsep muzik yang saya tekankan akan lebih kepada hip hop dan R&B,” katanya ditemui pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Melihat dirinya yang ibarat tidak terkesan dengan peristiwa perit sebelum ini, ditanya mengenai petuanya terus bertahan dan mendapatkan semula kekuatan, ringkas saja jawapan Jay.
Namun, perkara paling utama yang mendorongnya tidak lain tidak bukan minat serta kecintaan mendalam terhadap bidang ini maka itulah sebabnya dia semakin serius melakar nama.
“Ditimpa pengalaman lampau pada usia muda pula, saya banyak belajar benda baru dan bagaimana mahu berhadapan serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk apa juga masalah.
“Tiada apa-apa saya mahu tukar pun kalau boleh mengundur masa kerana semua itu pembelajaran dan saya sangat gembira mempunyai keluarga yang sangat setia menyokong serta bangga terhadap saya,” katanya.
Segmen khas Jay Park di E! News
Kisah hidupnya itu juga bukan saja menarik perhatian peminat malah pada 3 Disember, jam 9.30 malam nanti, satu tayangan khas yang bakal menceritakan sisi tidak diketahui mengenai Jay Park bakal disiarkan saluran E! menerusi Jay Park’s E! News Special.
Semestinya dinanti-nantikan peminat apatah lagi selama ini hanya kehidupan artis Barat seperti Christina Aguilera dan Nicki Minaj saja mengisi segmen berkenaan, tapi kali ini giliran dia mewakili artis Asia pula.
Apapun, tentu bukan mudah mahu bercerita mengenai kisah lamp au serta peribadi kepada umum sebaliknya Jay mengakui ia tidak mendatangkan masalah buatnya malah sangat bangga diberi penghormatan itu.
“Sewaktu ditawarkan untuk mengisi slot berkenaan, saya tidak terfikir pun untuk menyimpan atau menyembunyikan apa-apa yang tidak patut kerana inilah masanya menunjukkan apa peminat tidak tahu pasal saya.
“Beberapa tahun lalu, saya juga pernah menonton segmen ini yang bercerita mengenai Nicki Minaj dan banyak perkara baru saya ketahui mengenai penyanyi berkenaan.
“Selain cerita saya membesar, apa yang saya lakukan setiap hari dan orang-orang terdekat saya, penonton juga pastinya tidak mahu terlepas bagaimana kisah di sebalik tabir kerjaya saya selama ini,” katanya.
Malam Ahad lalu, Jay juga tidak ketinggalan menghiburkan peminat pada satu ‘showcase’ pendek yang diadakan di Zouk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan meskipun kelihatan agak letih, dia tetap bertenaga menyanyikan empat lagu hit miliknya iaitu Joah, Girlfriend, I Love 2 Party dan Hot.
Turut membuat persembahan empat penyanyi jemputan iaitu Karmal, Trick, Sammie dan Yvonne.
No comments
Post a Comment