KAJANG – Seorang bekas ahli kumpulan hip hop terkenal tanah air
dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini,
hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14
tahun, tahun lalu.
Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki
yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya
membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Bapa kepada dua anak itu yang kini merupakan guru vokal di beberapa
kementerian dan agensi kerajaan kelihatan tenang dan hanya menundukkan
wajah ketika hakim membuat keputusan tersebut.
Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa
telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk
guru kaunselingnya.
“Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua
saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan
koyakan pada alat sulit mangsa,” katanya.
Bagaimanapun menurut hakim, keterangan salah seorang saksi pembelaan
mengukuhkan lagi pendakwaan, tetapi tertuduh tidak membuat sebarang
laporan polis.
“Keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal menimbulkan
keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan kesalahan,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Azmi Talib dan Mohamad
Burok memohon hukuman minimum kerana dia kini menanggung dua orang
anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi pula memohon mahkamah
memberikan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh merupakan
bapa tiri kepada mangsa.
Noor Fazlin menambah, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan
memberikan kasih sayang kepada anak tirinya yang sedang membesar.
Hakim seterusnya mengarahkan agar mangsa dipanggil ke mahkamah untuk
memberikan kenyataan berkaitan kesan kejadian tersebut terhadap dirinya.
Semasa dipanggil memberi kenyataan, sambil menangis mangsa berkata,
dia kini berasa tidak selamat, fobia, dan jijik pada diri sendiri
selepas kejadian tersebut.
“Saya rasakan masa depan begitu gelap. Saya takut untuk ke sekolah dan merasai tekanan setiap hari.
“Malah saya jadi takut pada ayah kepada rakan-rakan saya dan guru lelaki,” katanya yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.
Mangsa turut menyatakan dia kini hilang kepercayaan pada orang lain meskipun pada ahli keluarga sendiri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas ahli kumpulan hip hop itu
didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah
rumah, di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan
sebat jika disabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah menangguhkan hukuman
penjara tersebut kerana tertuduh mahu memfailkan rayuan di Mahkamah
Tinggi terhadap keputusan itu.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, bagaimanapun, jaminan
ditingkatkan kepada RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat
tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran
setiap bulan.
Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
No comments
Post a Comment