RAWANG - “Saya mengakui sebelum ini mengamalkan ajaran sesat. Lafaz
sumpah taubat secara rasmi masih belum dilaksanakan tetapi kita
bersedia melakukannya di hadapan pihak berwajib.
“Tetapi daripada segi dasar saya dan kepimpinan akan kembali kepada
fatwa serta menghebahkan kepada ahli untuk berbuat perkara sama,” kata
Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam atau dikenali Ummu
Jah.
Balu pengasas pertubuhan yang diharamkan pada 1994, Al-Arqam,
Ashaari Muhammad ini semalam berikrar untuk patuh kepada fatwa dan
dengan rela hati meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Beliau juga meminta masyarakat tidak mempersoal atau membuat
andaian pengakuannya untuk kembali patuh kepada fatwa sebagai lakonan.
Ummu Jah berkata, tindakan tersebut juga sama seperti
memperkecilkan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang
bertanggungjawab memantau pergerakan GISB yang sebelum ini dikaitkan
dengan ajaran sesat, Aurad Muhammadiah.
Menurutnya, beliau berharap isu ajaran sesat diselesaikan segera tanpa mengaitkan dengan GISB.
“Kita mahu memperbetulkan akidah dahulu dan kemudian memfokuskan
kepada perniagaan untuk memberi keyakinan kepada pelabur dan orang awam.
“Isu ini telah berlarutan dalam tempoh yang lama menunjukkan ia diambil serius oleh pihak berwajib,” katanya.
Katanya, melalui perbincangan bersama Jais sebelum ini tidak wujud
isu pengharaman GISB sebaliknya pertemuan hanya bersifat perbincangan
isu akidah.
“GISB didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan
kita akan membuat pembentangan aset akaun. Sekiranya ia jelas maka tidak
akan wujud pembatalan pendaftaran.
“Perbincangan adalah ke arah membantu mengadakan program atau
memberikan penjelasan supaya ahli-ahli GISB patuhi fatwa," katanya.
Katanya, masyarakat perlu memberi peluang kepada ahli GISB yang
dianggar seramai 4,000 orang untuk memahami fatwa dan kembali ke pangkal
jalan.
Mengulas berkenaan dakwaan bekas ahli GISB apabila anak dan
isterinya dikuarantin serta disembunyikan, UmmuJah berkata, beliau dalam
proses memfailkan kes itu ke mahkamah.
“Semua syarikat mempunyai polisi, dan dakwaan menyembunyikan itu
tidak benar sebaliknya ia bersifat melindungi ahli selain mendisiplinkan
mereka,” katanya.- SINAR HARIAN
No comments
Post a Comment