Saya terlanjur dengan bekas teman lelaki kerana kurang kasih sayang serta layanan suami. Hubungan kami tambah dingin sejak dua tahun lalu. Lebih dikesali, suami lebih senang melayan mesej lucah dengan wanita lain di laman sosial.
Akibatnya apabila bertemu kekasih lama, kami terlanjur. Lebih mencemaskan, saya tidak datang bulan dan bimbang mengandung.
Saya benar-benar buntu kerana masih sayangkan suami, tetapi saya tidak mahu menambah dosa dengan menggugurkan kandungan.
Ketika ini saya rasa sangat berdosa dan bersalah terhadap suami. Meskipun suami melayan wanita lain menerusi mesej lucah, saya tidak sepatutnya membalas kesilapannya dengan menjalin hubungan sulit.
YANTI
Tanah Merah, Kelantan
Hubungan suram serta dingin dalam perkahwinan menyebabkan puan terleka dengan godaan luar. Disebabkan dahagakan kasih suami, puan sanggup mencari ruang persinggahan sehingga terlajak tanpa ada ruang berundur.
Biarpun puan mencipta 1,001 alasan atas kesilapan, hubungan orang ketiga masih menjadi kesalahan. Baik puan serta suami, kedua-duanya ada masalah.
Puan serta suami tergamak ‘makan luar’ sedangkan nikmat halal terbentang luas di depan mata. Jalan terbaik, puan dan suami perlu mencari kesepakatan mengenai situasi rumah tangga.
Mengenai kemungkinan mengandung, puan perlu dapatkan pengesahan daripada doktor. Andai tidak benar, jalan untuk memperbaiki rumah tangga dipermudahkan dan gunakan peluang itu sebaik-baiknya.
Namun, jika sebaliknya, teruskan amalan meminta ampun serta meminta kekuatan supaya puan dapat melaluinya dengan tenang.
Sumber : hmetro.com.my
No comments
Post a Comment