Peluang Wong Choy Lin dan Wong Choy Kin untuk mengemukakan rayuan berakhir pada Selasa setelah panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Malik Ishak menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhi hukuman penjara terhadap mereka.
Mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan memandangkan kes mereka dari Mahkamah Majistret.
Panel hakim berkenaan yang turut terdiri daripada Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi, menerima bantahan Timbalan Pendakwa Raya Andi Razalijaya A. Dadi terhadap persoalan undang-undang yang dikemukakan.
Choy Ling, 41, dan Choy Kin, 39, telah berada di penjara sejak 13 Okt 2011 dan mereka dijangka keluar pada 2017.
Adik beradik itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Hanif Muawanah Muhyi, ketika itu berumur 25 tahun, dari Surabaya antara November 2003 dan September 2004.
Selain itu, Choy Lin dan Choy Kin didakwa melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap wanita itu sebanyak dua kali dengan memasukkan objek seperti biskut, pisang, dan hujung botol ke dalam alat sulit mangsa pada September dan Julai 2004.
Kesemua perbuatan dilakukan di rumah di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
Pada 13 Okt 2011, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mensabitkan mereka terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan melakukan kekerasan seksual serta lapan bulan bagi kesalahan mencederakan.
Mahkamah Majistret memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Kedua-dua adik beradik itu kemudiannya merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara mereka manakala pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman yang kurang mencukupi.
Pada 11 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan adik beradik itu terhadap sabitan dan hukuman penjara.
Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan menambah hukuman penjara kepada lima tahun bagi kesalahan serangan seksual dan mengekalkan hukuman penjara lapan bulan bagi menyebabkan kecederaan, yang dijalani berturut-turut.
Mereka diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.-BERNAMA
No comments
Post a Comment