Nurul yang membuat pengumuman itu menerusi laman blog miliknya iaitu nurulwahabdepp.wordpress.com berkata, dia dan suaminya mendapat tahu akan khabar gembira itu pada 2 Februari lalu, namun enggan menghebohkannya sehinggalah kandungan sudah berusia tiga bulan.
“Ya, minggu ini dah tiga bulan, Alhamdulillah. Bukannya apa, aku ingat pesan orang tua, jangan teruja sangat dan jangan terlalu hebohkan ketika kandungan di bawah tiga bulan.
“Aku juga ikut jejak langkah teman aku, Ning Baizura. Caranya itu betul dan Ning juga merupakan kawan yang pertama tahu (tentang kandungan) manakala Ayu orang yang kedua kerana dia berada di sekolahnya di Johor.
“Ayu melompat keriangan dan tak habis-habis mengucapkan syukur kerana doanya dimakbulkan,” katanya yang ditulis pada blog tersebut.
Tambah Nurul, ketika mendapat tahu bahawa dirinya kini sedang mengandung, masing-masing gembira sehingga mengeluarkan air mata tanda syukur.
“Kata doktor semalam (Jumaat) yang memeriksa kandungan aku, ‘you can tell the world if you wish to..’ Eric pantas mencelah : ‘Ya. She can’t wait and plan to announce tomorrow (Sabtu)’.
“Sememangnya pada tanggal 30 Mac aku nak khabarkan buat semua. Kandungan dah makin membesar. Perut aku makin nampak. Aku tak mahu juga rimas dengan pertanyaan semua nanti jika masih berahsia,” tuturnya.
Nurul dan Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012. Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil hubungan dengan suami pertama, penyanyi dan komposer, Ajai.
Bagaimanapun kata Nurul, dia juga berasa malu apabila membuat pengumuman mengenai kandungannya itu lebih-lebih lagi selepas 15 tahun tidak mengandung, malah dia terasa seolah-olah belum pernah mengalami proses kelahiran anak.
Dalam pada itu, Nurul turut mengakui dia gemar memakan kekacang sejak mengandung, sedangkan makanan itu telah dilarang doktor memandangkan dia mempunyai penyakit SVT (supraventrikular takikardi), sejenis penyakit jantung yang dialaminya sejak remaja. – mStar Online
No comments
Post a Comment