Seorang ibu menyuarakan rasa kesal dan sedihnya ketika menceritakan bagaimana anggota polis tiba-tiba muncul di rumahnya untuk memaklumkan bahawa mereka menyimpan otak anaknya sejak 13 tahun lalu.
Hannah Cheevers, 34, berkata, dua pegawai polis mengetuk pintu rumahnya secara tiba-tiba untuk memberitahu otak Rhys, bayinya yang mati akibat serangan sakit jantung, masih disimpan di Hospital Southampton.
Kanak-kanak lelaki itu berusia dua hari ketika dia meninggal dunia pada 1998 dan keluarganya memberi kebenaran bedah siasat dilakukan, tetapi mereka mengandaikan tubuhnya lengkap ketika mengebumikan mayatnya.
Hannah memberitahu program Today radio 4 BBC: “Kami mengadakan upacara pengebumian dan meneruskan kehidupan seperti biasa dan 13 tahun kemudian kami diberitahu bahawa otak Rhys disimpan di hospital Southampton.”
Hannah yang tinggal di Wimbourne, Dorset berkata, dia terkejut dan ‘tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan hakikat itu.’ “Kami sangkakan dia sudah dikebumikan bersama otaknya. Kami tidak tahu-menahu mereka menyimpan otak Rhys,” katanya. Polis memberitahunya otak Rhys disimpan di setor hospital tanpa disentuh, tetapi tidak dapat menyatakan sebabnya.
Hannah berkata, mereka sekeluarga memutuskan untuk mendermakan otak Rhys untuk penyelidikan hospital selepas diberitahu terdapat dua pilihan sama ada memusnahkan otak itu atau mengebumikan bersama tubuhnya. Hannah berkata: “Saya tidak mahu mengadakan satu lagi pengebumian.
Saya sudah ada anak lain sekarang. Sukar untuk bercakap mengenainya lagi dan saya tidak mahu menjelaskan kepada anak saya yang lain mengapa kami perlu mengadakan upacara pengebumian lagi.
“Dan saya tidak mahu kubur Rhys digali semula hanya untuk mengebumikan otaknya. Saya tidak suka memikirkan kubur seorang kanak-kanak digali semula selepas dia dikebumikan selama 13 tahun.”
Kisah itu terbongkar selepas siasatan BBC menemukan bahagian tubuh daripada hampir 90 kanak-kanak disimpan oleh polis tanpa memaklumkan ibu bapa mereka.
Tahun lalu badan audit nasional mendapati pasukan polis menyimpan hampir 500 bahagian tubuh yang bertarikh sehingga 50 tahun lalu.
No comments
Post a Comment