SEREMBAN – Seorang bayi berusia enam bulan dan ibu saudaranya maut
apabila membonceng motosikal yang merempuh sebuah lori tangki di Taman
Pinggiran Senawang dekat sini Khamis.
Bayi tersebut Nur Harryna Balqis Abdullah disahkan meninggal di
sebuah Klinik Kesihatan di Senawang sementara ibu saudaranya Nor
Shamsilayanti Hudsaini, 24, mati di tempat kemalangan dalam kejadian
10.40 pagi tadi.
Jurucakap polis berkata motosikal itu yang dibawa adik kepada Nor
Shamsilayanti iaitu Nur Baiyah, 21, sedang dalam perjalanan ke Rantau
apabila bergesel dengan lori yang membawa minyak sawit, yang secara
tiba-tiba dikatakan keluar dari satu simpang di situ.
Kedua-dua mangsa dilapor tercampak ke atas jalan sementara Nur Baiyah tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu lori terbabit dikatakan telah melarikan diri dari tempat kemalangan sebelum menyerah diri di balai polis berhampiran.
Seorang pemandu kereta Mohd Rozaini Mohd Ali, 27, berkata beliau
membawa bayi yang didapati tidak bernyawa itu yang sedang dipangku orang
ramai, ke klinik dan disahkan memang telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamarudin mengesahkan kejadian itu dan berkata ia sedang disiasat. – BERNAMA
No comments
Post a Comment