Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan memindahkan operasinya ke terminal baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, berkata: "Saya boleh sahkan kami akan berpindah apabila semuanya OK. Tak perlu bincangkan mengenainya".
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar sesi rundingan meja bulat Kepelbagaian dan Keterangkuman TalentCorp, di sini.

Pada 1 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.

Mengulas pengumuman itu pada hari yang sama, AirAsia berkata semua operasi penerbangannya akan terus berpusat di LCCT, malah selepas 9 Mei.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengarahkan AirAsia supaya berpindah ke KLIA2 mengikut jadual, walaupun kerajaan, menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka jika ada sebarang masalah berhubung pemindahan itu.
AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik KLIS2. - Bernama

“Ya, memang benar kami sedang bercinta. Sebab itulah saya berani bertemu dengan ayah Emma sebagai bukti kesungguhan dan niat ikhlas saya untuk menjalin hubungan lebih serius dengan Emma. Saya sayang Emma dan berniat baik terhadapnya,” kata bintang paling popular Zizan Razak, 29, dalam mengesahkan percintaannya dengan aktres jelita, Emma Maembong, 22.
Dalam pengakuan eksklusif kepada RAP, kelmarin, Zizan berkata, hasratnya untuk bercinta dengan Emma bukanlah perkara main-main malah mahukan hubungan mereka direstui keluarga kedua-dua belah pihak. 
“Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, sewajarnya saya berjumpa dengan ayah gadis yang saya cintai untuk menunjukkan niat hati saya yang sebenar. Saya gembira kerana ayah Emma (pelukis handalan, Ismail Maembong, 67) menerima saya seadanya walaupun saya sebenarnya gementar. 

“Apa yang melegakan, saya cuba mengambil langkah bertemu dan berkenalan dengan ayah Emma. Saya juga sudah membawa Emma bertemu dengan ibu bapa saya. Syukurlah, ibu saya sukakan Emma dan sekarang mereka semakin mesra, macam kawan,” jelas Zizan yang sama-sama bernaung dengan Emma dalam pengurusan Wire Fame Sdn Bhd.

Ditanya apakah istimewanya Emma di hatinya, Zizan pantas menjawab: “Saya terpikat dengan Emma kerana sikapnya yang bersahaja, tidak cerewet dan selalu menjadi diri sendiri. Dia tidak kisah pun kalau kami makan di warung asalkan kami gembira dan makanannya halal. Emma juga tidak suka berdandan dengan keterlaluan apabila kami keluar dan dia suka memberikan senyuman.” HM

Perth: Pakar di Australia dan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan isyarat detikan yang dikesan kapal mencari penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi adalah peranti buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi lautan, demikian menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).
Ketua Penyelarasnya, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata, pakar dari Pusat Analisis Akustik Bersama Australia (AJACC) di New South Wales dan pengeluar kotak hitam di AS mengesahkan bahawa isyarat 33.31 kHz itu adalah daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.
Beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang dari kotak hitam pesawat MH370.

“Dua isyarat yang dikesan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield ialah pada 4.27 petang dan 10.17 malam semalam,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan usaha menjejaki pesawat MAS Penerbangan MH370, di sini, semalam.

Beliau berkata, isyarat pertama berlangsung selama lima minit dan 32 saat dan yang kedua, tujuh minit.

Kuala Terengganu: Air mandi mayat dijadikan ubat. Itu fahaman khurafat segelintir umat Islam di negeri ini yang masih menular dan sukar dibendung sejak puluhan tahun lalu.
Air mayat yang kotor dan berkuman itu digunakan semula sebagai air mandi kononnya untuk menghilangkan rindu kepada si mati, merawat kanak-kanak yang terkena badi mayat, sebagai air penerang hati dan mengubat ketagihan dadah.
Malah, ada juga ada yang meminta tali pengikat kain kafan dan sarung tangan digunakan tukang mandi mayat untuk membersihkan dubur si mati, juga dengan alasan dibuat ubat.

Tukang mandi jenazah wanita, Indong Awang, 66, yang berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang itu, berkata, ada juga individu yang percaya air mandi mayat mampu menyembuhkan penyakit AIDS.

“Perbuatan khurafat ini sudah lama berlarutan dan masih berlaku sekarang, menyebabkan kami serba salah. Ini kerana apabila kami menolak permintaan mereka, ada yang marah dan ada juga berkeras melakukannya sendiri,” katanya. HM



Pengibaran bendera Israel di Raintree Beach Resort, Tuaran, Sabah menggemparkan seluruh Malaysia sehingga dikecam hebat di laman-laman sosial, media dan blog-blog tempatan.

Ramai tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana ia dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam yang di Sabah. Ini berikutan tindakan tentera rejim zionis Israel menindas umat islam di Palestin. Selain itu, Malaysia juga tidak pernah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel.




Pengibaran bendera itu berpunca daripada sebuah syarikat perfileman dari China yang sedang melakukan penggambaran filem The World Stewardess Contest (Pertandingan Pramugari Dunia) sejak seminggu lalu di resort berkenaan.


Untuk pengetahuan, filem berkenaan menceritakan berkenaan pramugari dari seluruh dunia mengadakan pertandingan di resort tersebut. Bendera itu mungkin menggambarkan negara seorang daripada peserta yang bertanding.



Bagaimanapun, Pergerakan Pemuda Umno Tuaran telah pergi ke resort berkenaan untuk menyiasat apa yang berlaku dan meminta pihak pengurusan syarikat China itu untuk menurunkan bendera Israel.









 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios dan pengarah filem KIL, Jeremy Little disahkan meninggal dunia di Tanah Suci Makkah awal pagi tadi.

Pemergian insan seni yang pernah menganggotai kumpulan rap, rock dan reggae, Prana itu mengejutkan industri muzik tempatan termasuk ulama terkenal, Mufti Ismail Menk, yang memuatnaik status mengenai kematian Jeremy di laman facebook miliknya.


“Seorang rakan karib dan saudara saya, Jeremy Little, dari Malaysia baru saja meninggal di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah ketika mengerjakan umrah."

“Ia sebuah tempat yang cukup dirahmati untuk kembali ke pangkuan Ilahi buat pemuda yang mencetak dan mengedarkan ribuan CD saya secara percuma, setiap tahun.”



Menurut laporan Berita Harian hari ini, kematian Jeremy difahamkan berpunca daripada penyakit kanser yang dihidapinya sejak sekian lama. Kata-kata terakhir pemuda berusia 31 tahun itu sebelum menghembuskan nafas adalah berbunyi "Beautiful Technology in a magical place.. SubhanAllah."

Diucapkan takziah kepada keluarga beliau. Satu lagi kehilangan besar buat industri hiburan tempatan yang tidak disangka-sangka. Untuk info, Allahyarham juga merupakan salah seorang DJ popular yang aktif membuat promosi indie band tempatan.


SEJAK bersara daripada dunia nyanyian hip hop, Malique yang pernah popular dengan kumpulan Too Phat nampaknya terus mendiamkan diri malah lebih senang low profile daripada bidang seni.
Walaupun tidak lagi bergiat aktif dalam bidang seni suara, namun Malique masih lagi mempertaruhkan bakatnya dalam penghasilan lagu dan muzik.
Antara hasil karyanya yang berjaya mencipta fenomena adalah lagu Teman Pengganti yang didendangkan Black Hanifah dan RJ.
Menyingkap sisi peribadi jejaka ini, Malique yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Melissa Maureen Rizal kini sudah dikurniakan tiga cahaya mata.
Memang comel-comel anaknya!




Nama anak-anaknya pun cukup unik seperti mana keunikan bait-bait lirik yang pernah dicipta Malique sebelum ini.
Anaknya yang sulung bernama Inca Medina, dan adik lelakinya, Rumi Arjuna serta anak bongsu pasangan itu, Chasca Maya.

BATU PAHAT -: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap tiang gol yang tumbang di sebuah padang permainan di Parit Besar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki dibawa bapanya ke padang permainan itu bersama dua lagi adik beradiknya untuk beriadah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa bersama abangnya berusia 10 tahun sedang bermain sementara bapanya membawa adik lelaki mangsa berusia setahun mengelilingi padang menaiki basikal.
Menurutnya, dalam tempoh 10 minit selepas itu mangsa dihempap tiang gol yang secara tiba-tiba tumbang tepat mengenai bahagian lehernya menyebabkan pendarahan di kedua-dua telinga dan mangsa tidak sedarkan diri.
“Kejadian itu disaksikan abang mangsa yang sedang bermain dengannya sebelum segera memberitahu kepada bapanya yang berada di padang itu juga.
“Mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro di sini, sebentar tadi.-HM

Sebuah kereta BMW telah menarik perhatian ramai di Singapura sejak seminggu lalu.
Hal ini kerana BMW tersebut yang dilihat diparkir di Telok Blangah dicat warna emas metalik yang jarang dilakukan pemilik kereta lain.

Warna emas berkilat ini sudah pasti menarik perhatian sesiapa sahaja selain boleh menyilaukan mata mereka yang memandang.

Kereta ini mula diperkatakan selepas seseorang mengirim gambarnya kepada laman web Stomp awal April lalu.
Rasanya, pemilik kereta ini pasti peminat emas dan suka ‘bling-bling’ kan?







Kotak hitam pesawat penerbangan MH370, sekiranya ditemui kelak, harus diserahkan untuk siasatan kepada pihak yang boleh dipercayai dan cekap untuk melakukan analisis ke atas perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan itu.

Bekas juruterbang kanan Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata siasatan itu juga perlu dilakukan oleh pihak yang bebas dan bukan di kalangan mereka yang berkepentingan dengan siasatan tersebut.

“Pencarian MH370 mungkin berakhir. Sekiranya kotak hitam itu ditemui adalah menjadi kepentingan semua pihak, ia disiasat oleh pihak yang boleh kita percayai, yang cekap, yang boleh berkomunikasi dengan baik, neutral dan bukan pihak yang berkepentingan.

“Mendapatkan semula (kotak hitam), mengeluarkan datanya dan menganalisis data itu harus dilakukan dengan bersih dan tidak terjejas dengan penglibatan mereka yang tidak tahu apa-apa,” katanya dalam satu komentar di jaringan sosial Facebook hari ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu wawancara dengan The Straits Times pada Selasa berkata secara peribadi beliau tidak kisah sama ada siasatan itu dilakukan di Perth atau Kuala Lumpur.
“Secara peribadi, saya hanya mahukan kebenaran. Saya mahu tahu apa yang terjadi pada MH370. Tidak kisah bagaimana atau siapa atau di mana,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu didaftarkan di Malaysia dengan pendaftaran 9M-MRO atas milik MAS. Di bawah Konvensyen Antarabangsa Penerbangan Awam (ICAO), Malaysia sebagai negara asal pesawat hendaklah melancarkan siasatan dan mendapatkan semula bangkai pesawat.

Malaysia bagaimanapun telah meminta bantuan Australia untuk mengetuai usaha mengesan pesawat berkenaan yang dipercayai kini berada di selatan Lautan Hindi.

“Di bawah ICAO, kita ada tanggungjawab untuk mencari kotak hitam. Tetapi ada cabaran diplomatik kerana ia melibatkan 14 negara,” kata Hishammuddin, merujuk kepada kewarganegaraan 239 orang penumpang dan anak kapal.

Malaysia minggu lalu membentuk tiga jawatankuasa siasatan merangkumi hal ehwal waris, ketenteraan dan aspek teknikal usaha mencari MH370.
Jawatankuasa ini disertai oleh pakar dari agensi pengangkutan dan penerbangan dari Amerika Syarikat, Perancis, Britai dan China.

Pesawat penerbangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur dan Beijing hilang kira-kira satu jam setelah lepas landas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac yang lalu.
Siasatan awal mendapati sistem komunikasi pesawat telah dimatikan dengan sengaja dan pesawat berkenaan berpatah balik dari laluan asalnya.

Setelah usaha mencari dipergiatkan di Laut China Selatan dan kemudian beralih ke Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lepas mengumumkan pesawat itu “berakhir” di selatan Lautan Hindi — kawasan yang terpencil dan tidak ada tapak mendarat.- Astroawani.com

Sebuah pusat jagaan orang tua di Long Island, New York disaman kerana mengupah seorang penari separuh bogel untuk menghiburkan penghuni-penghuni di pusat jagaan tersebut.

Anak kepada seorang penghuni, Franklin Youngblood yang berang dengan tindakan pihak pengurusan tersebut mengambil keputusan untuk menyaman kerana merasakan perkara itu tidak sesuai diadakan di sebuah pusat jagaan orang tua.

Perbuatan itu tersebar selepas Franklin ternampak gambar ibunya yang berusia 85 tahun sedang memasukkan wang di dalam seluar dalam penari lelaki tersebut.

Menurutnya lagi, dengan keadaan ibunya yang uzur dan tua, pastinya ibunya kurang memahami tarian ‘lucah‘ sebegitu sekali gus mendakwa pusat pengurusan sengaja mempergunakan penghuni-penghuninya dengan aktiviti kurang bermoral.


KUALA LUMPUR: Dua minggu lalu portal Murai menerusi segmen Murai Batu ada menyatakan pelakon cantik Maya Karin ke Majlis Anugerah Laureus World Sports bersama seorang jejaka mat salleh.
Bagaimanapun Maya ketika ditemui selepas sesi WebChat bersama Murai sebentar tadi memberitahu jejaka mat salleh itu bukanlah kekasihnya tetapi hanya seorang teman.
“Dia bukan kekasih saya, dia hanya seorang kawan yang menemani saya ke majlis anugerah itu. Saya ajak dia ke sana kerana tidak mahu berseorangan sepanjang majlis berlangsung,” katanya ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut.
Menjawab soalan tentang menjalin cinta dengan lelaki berbangsa Eropah, Maya berkata dia tidak pernah mengiyakan gosip tersebut.
“Saya tak pernah kata ya atau pun tidak mengenai perkara tersebut. Sikit pun saya tak pernah komen mengenainya. Dari mana mereka dapat cerita tentang teman lelaki saya mat saleh pun saya tak tahu.
“Saya cuma mengaku sudah mempunyai teman lelaki itu sahaja,” jawabnya.
Tambah Maya, dia tidak mahu memberi sebarang komen lagi mengenai perkara terebut kerana buat masa ini dia hanya mahu fokus kepada album ketiganya berjudul Teka-Teki.
“Bukan masanya untuk saya komen lagi mengenai perkara itu kerana jika ianya benar barulah saya akan kongsi dengan semua,” ujarnya.-Murai