Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


SAN FRANCISCO: Apple Inc mencatat rekod baharu dengan untung sebanyak AS$18 bilion (RM65 bilion) bagi suku pertama tahun kewangan 2015 berikutan sambutan luar biasa terhadap iPhone terutama di China.
Mengikut syarikat teknologi itu, hingga kini ia sudah menjual satu bilion peranti yang menggunakan sistem operasi (OS) iOS.
Apple juga mengumumkan peranti pintar boleh dipakai, Apple Watch yang diperkenalkan tahun lalu akan mula dijual April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tim Cook, berkata syarikat berterima kasih kepada pengguna yang memberi sambutan luar biasa kepada produk Apple.
"Permintaan bagi iPhone sangat menakjubkan, jauh lebih tinggi daripada jangkaan kami," katanya.
Penganalisis di Forrester, Frank Gillet, berkata permintaan luar biasa kepada iPhone adalah petunjuk peningkatan minat pengguna terhadap telefon pintar dengan skrin lebih besar.
"Saya jangkakan peningkatan jualan di China dan seluruh dunia akan bertahan buat beberapa lama lagi," katanya.
Rekod untung pada suku pertama berakhir 27 Disember 2014 itu disandarkan kepada pendapatan AS$74.6 bilion (RM269 bilion), didorong jualan 74.5 juta iPhone, jauh lebih tinggi daripada unjuran penganalisis.
Paras untung yang dicatatkan Apple itu lebih besar daripada rekod sebuah perbadanan korporat di AS ketika ini, iaitu AS$15.9 bilion (RM57.3 bilion) yang pernah dicatat ExxonMobil pada suku kedua 2012.
Jualan iPhone meningkat sekali ganda di China, pasaran telefon pintar kedua terbesar Apple, kata ketua pegawai kewangan, Luca Maestri.
Dalam pada itu, jualan iPad jatuh pada suku dikaji, tetapi Apple mencatat rekod baharu jualan komputer Macintosh dan pendapatan yang diraih daripada pembelian menerusi App Store.
Begitupun Cook menzahirkan keyakinannya terhadap potensi jangka panjang iPad. Bilangan pembeli kali pertama peranti itu kekal kukuh di China, Britain dan Amerika Syarikat (AS), tambahnya.
Cook turut akui bahawa iPhone skrin besar mungkin menjejaskan pasaran iPad dan komputer Macintosh. Lantaran itu, beliau yakin kerjasama dengan IBM akan menjadikan iPad lebih menarik kepada syarikat, sebagai peranti di tempat kerja.
Dengan mengambil kira prestasi kewangan semasa, lembaga pengarah Apple mengumumkan dividen tunai 47 cents (RM1.70) sesaham yang akan dibayar pada 12 Februari ini.
Saham Apple naik lima peratus kepada AS$115.20 (RM415) dalam sesi selepas dagangan malam tadi. - AFP


Bulawayo, Zimbabwe: Biasanya ular adalah haiwan berbahaya dan mengancam nyawa namun kejadian menimpa penduduk Tshabalala dilaporkan amat pelik dan mengejutkan.
Menurut penduduk setempat, ada seekor ular yang gemar menghampiri kanak-kanak untuk dibelit dan dijilat sebelum menghilangkan diri ke dalam semak.

Insiden itu dilaporkan tersebar meluas di kalangan penduduk dan kebanyakan mereka mengesyaki ia ada kaitan dengan alam ghaib.

Menurut penduduk yang bimbang dengan kejadian itu, Abel Dube, seekor ular sawa menyasarkan mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di kawasan kampungnya.
“Apa yang mengejutkan ia tidak menggigit mereka tetapi hanya membelit dan menjilat seluruh badan mereka sebelum melarikan diri.

“Kami menerima banyak laporan mengenai kejadian seumpama itu dan bimbang ia ada kaitan dengan amalan sihir,” katanya.
Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini, penduduk setempat tidak lagi membenarkan anak mereka bermain di luar rumah. - Agensi



London: Seorang ibu beranak dua mengambil tindakan drastik ‘menjual’ dirinya di eBay dengan harapan dapat menemui jejaka kacak warga Greece semata-mata mahu memenuhi impiannya tinggal di negara itu.
Lois Curtis, 49, meletakkan iklan menawarkan “wanita, bersaiz baju 10” dengan huraian mengenai dirinya sebagai “terpakai tetapi masih berkeadaan elok.”
Malangnya dia terpaksa menurunkan iklan itu selepas 24 jam selepas gagal mendapat lelaki idamannya, walaupun menerima dua tawaran termasuk yang tertinggi sebanyak £205 (RM1,100).

“Saya mahu hidup di Greece, memang itu impian sejak kecil. Jadi rakan saya Apostolos yang tinggal di sana mencadangkan saya membuat tawaran itu di eBay dan dia berjanji menyebarkannya memandangkan dia ramai kawan.
“Kami sengaja mahu melihat jika ada yang berminat jadi saya membiarkannya selama 24 jam, malah mendapat tawaran dari Australia serta Puerto Rico. ‘Kembang’ juga apabila tawaran diberikan jauh menjangkaui sangkaan saya.

“Malangnya, tiada sesiapa dari Greece yang menghubungi saya sedangkan itu yang diimpikan,” katanya.

Malah, katanya, dia masih mendapat tawaran walaupun iklan itu sudah diturunkan apabila kira-kira tujuh orang menghantar e-mel bertanya sama ada masih boleh membida.
Disebabkan itu, Lois tidak menolak kemungkinan akan membuat tawaran sama pada masa akan datang.
“Tetapi saya akan mengkhususkan tawaran hanya boleh dibuat dari Greece,” katanya. - Agensi

Kereta mirip Delorean DMC-12 yang diubahsuai seperti kereta digunakan dalam filem Back To The Future ini ditemui di Miri.

KEBANYAKAN peminat filem Back To The Future lakonan Michael J Fox pastinya pernah mengagumi kereta DeLorean DMC-12 yang diubahsuai menjadi mesin merentas masa dalam filem itu.
Filem berkenaan diterbitkan oleh Steven Spielberg pada 1985 dan diarahkan oleh Robert Zemeckis.
Selaku salah seorang peminat filem tersebut kami terpaku seketika apabila mendapati di laman Facebook hari ini, kereta yang mirip seakan-akan kereta digunakan dalam filem berkenaan kini dikesan berada di Miri, Sarawak.
Kereta Delorean yang digunakan dalam filem sekual Back To The Future III.

Bagaimanapun, gambar kereta itu tidak disertakan dengan maklumat lanjut.
Individu yang memuatnaik gambar berkenaan juga, didapati turut meminta pengguna Facebook yang mempunyai maklumat tambahan terutama tentang pemilik kereta epik tersebut memaklumkan padanya.
Kereta itu kini ditempatkan di bawah sebuah kawasan parkir berbumbung di sebelah sebuah kereta BMW.
Tayar hadapan sebelah kirinya bagaimanapun didapati telah pancit dipercayai kerana kereta diparkir dalam tempoh lama.
Back To The Future mengisahkan tentang Marty McFly (Michael J Fox), seorang remaja yang secara tidak sengaja dihantar kembali ke zaman silam 1985-1955 di mana dia berpeluang bertemu ibu bapanya di sekolah tinggi. Di sini berlaku insiden yang boleh mengubah sejarah jadi Marty harus membetulkan keadaan semula.

REYKJAVIK, Iceland – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati burger dan kentang goreng yang dibelinya dari sebuah restoran makanan segera McDonald’s kira-kira enam tahun lalu masih kelihatan segar dan tidak berkulat.
Lelaki berkenaan, Hjortur Smarason, 28, membeli hidangan burger dan kentang goreng pada hari terakhir sebuah restoran McDonald’s beroperasi di bandar ini pada Oktober 2009 sebagai kenangan sebelum menyerahkan makanan tersebut kepada sebuah muzium.
Katanya, selepas tiga tahun muzium berkenaan menyerahkan semula hidangan berkenaan kepadanya dengan alasan makanan itu tidak sesuai untuk dipamerkan.

“Ketika menerima hidangan itu, burger dan kentang goreng berkenaan dilihat masih segar serta tidak berkulat sebelum saya menyimpannya semula ke dalam satu bekas plastik.
“Baru-baru ini saya membuka semula bekas plastik berkenaan dan terkejut apabila mendapati hidangan itu masih lagi kelihatan segar seperti baru dimasak,” katanya.
Menurutnya, makanan tersebut merupakan salah satu sejarah Iceland kerana negara itu merupakan antara beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai cawangan restoran McDonald’s. – Agensi




HONG KONG – Pihak polis sedang memburu satu kumpulan yang didapati menggunakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun untuk mencuri seutas rantai berlian bernilai AS$4.6 juta (RM16.57 juta) di sebuah kedai emas di sini.
Kumpulan itu yang dianggotai dua wanita dan seorang lelaki bersama kanak-kanak berkenaan dilaporkan masuk ke sebuah kedai emas di sebuah kawasan beli-belah di Tsim Sha di sini pada Jumaat lalu.
Tiga suspek tersebut kemudian mengalihkan perhatian pekerja kedai emas berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli beberapa barangan kemas sebelum kanak-kanak itu mencuri kunci dan mengambil satu rantai berlian yang dipamerkan.
Seorang jurucakap polis berkata, kanak-kanak perempuan tersebut mengambil satu kunci di dalam laci dan membuka satu kabinet kaca sebelum memasukkan seutas rantai berlian ke dalam poketnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek berpakaian seperti orang kaya dan kegiatan jenayah itu dilihat sangat terancang.
“Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu dengan tenang keluar dari premis berkenaan sebelum diikuti oleh ketiga-tiga suspek dewasa.
“Pekerja kedai emas itu hanya menyedari rantai berkenaan hilang kira-kira dua jam selepas kumpulan tersebut beredar,” katanya. – Agensi





London: Seorang lelaki didakwa mengadakan seks dengan dua kuda malah berpeluh dan bau haiwan itu melekat pada badannya ketika ditahan polis.

Alan Barnfield yang dianggap mempunyai nafsu seks songsang ditahan selepas penduduk tempatan menghubungi polis apabila bimbang melihatnya dalam keadaan mencurigakan bersama dua kuda padi.

Ketika ditahan polis menemui beberapa tin deodoran, kabel elektrik putih, penyembur air, kain, rantai anjing dan dua botol minuman tenaga.

Mahkamah Crown Sheffield yang mendengar perbicaraannya diberitahu DNA daripada seekor kuda, Sky, ditemui pada sampel yang diambil daripada badan Barnfield.
Gambar seks dengan haiwan juga ditemui dalam telefon bimbitnya.


Bintulu: Dia bukan saja terpaksa menahan lapar selama tiga hari, malah turut menderita kesejukan terperangkap dalam hutan akibat hujan lebat dan banjir selepas dilaporkan hilang ketika memancing bersama rakan di Sungai Segan, di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mangsa Christina Senie David, 14, dari rumah panjang Nyaing, di sini, menyelamatkan diri apabila terdengar bunyi bot melalui kawasan sungai berkenaan sebelum mempertaruhkan nyawa berenang untuk mendapatkan bantuan.
Secara kebetulan, bot itu pula dinaiki anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bintulu yang dalam misi menghantar bekalan makanan dan keperluan mangsa banjir di Rumah Panjang Giri, di sini.

Sumber berkata, ketika diselamatkan pasukan bomba kira-kira jam 9 pagi, mangsa dalam keadaan lemah akibat kelaparan, selain menggigil kesejukan.

Menurutnya, Christina dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika memancing bersama tiga rakannya menaiki perahu di sungai itu, namun mereka terpisah akibat hujan lebat dan air pasang besar ketika turun ke kawasan hutan berhampiran. Hmetro Online


NORFOLK, Britain – Seorang penyelam berjaya menemui sebuah hutan prasejarah yang berusia kira-kira 10,000 tahun di Laut Utara ketika menyelam di pesisir pantai Norfolk di sini baru-baru ini.
Penyelam tersebut, Dawn Watson, 45, berkata, dia tidak menyangka keputusannya untuk menyelam lebih jauh di pesisir pantai itu berjaya membongkar kewujudan sebuah hutan zaman prasejarah yang belum pernah ditemui.
“Air di pesisir pantai pada waktu itu agak bergelombang, jadi saya memutuskan untuk berenang 300 meter ke tengah laut sebelum menjumpai batang pokok oak purba.
“Pengalaman ini sangat menakjubkan kerana saya telah melakukan aktiviti menyelam selama 16 tahun dan bukan setiap hari anda akan membuat penemuan bersejarah seperti ini,” katanya lagi sambil memberitahu bahawa apa yang dilihatnya itu seakan adegan dalam filem Hobbit atau Lord of the Rings.
Menurut pakar perhutanan, hutan yang ditemui itu dianggarkan wujud sejak Zaman Ais tetapi telah tenggelam apabila paras air laut meningkat setinggi 120 meter apabila ketulan ais cair.
Kini, pokok-pokok itu membentuk terumbu karang semula jadi dan menjadi sebahagian daripada hidupan marin bersama ikan serta tumbuhan laut lain. – Agensi

Hai memang tak serik-serik nampaknya penyanyi kontroversi Miley Cyrus ni.
Terbaharu, gambarnya ketika sedang bercuti di pusat peranginan di kepulauan Hawaii dalam keadaan payudara terdedah tersebar dan menjadi topik utama kebanyakan media hiburan antarabangsa.
Turut sama dalam percutian itu ialah teman lelakinya, Patrick Schwarzenegger yang merupakan anak kepada aktor terkenal, Arnold Schwarzenegger.

Miley sebelum ini memang hangat dengan pelbagai kisah kontroversi apabila dia kelihatan terlalu ‘try hard’ untuk membuang imej gadis baik (girl next door) yang pernah dibawakannya menerusi drama bersiri Hannah Montana.
Apa sahaja yang tak pernah dilakukannya.. bergambar bogel sudah, menyokong kempen ‘free the nipple’  sudah, lepas ni apa lagi tindakan gila akan cuba dibuat anak Billy Ray Cyrus ni ya? 

MEMILIKI wajah yang cantik dan berbakat besar, namun kerana pandangan skeptikal masyarakat terhadap golongan wanita yang bertugas sebagai DJ, Tatiana Alvarez terpaksa mengambil keputusan drastik!
Demi mengejar cita-cita sebagai ‘Disc Jockey’, wanita itu sanggup mengubah penampilannya menyerupai lelaki bagi mengaburi mata masyarakat terutama pelanggan di kelab malam.
Menggunakan nama Matt Muset ataupun gelaran ‘Musikillz’ ketika berlagak sebagai seorang lelaki, Tatiana berkata banyak perkara yang terpaksa diubah terutama dari segi penampilan, pergerakan tubuh serta layanan terhadap orang sekeliling.
Imbasnya, suatu ketika dahulu dia banyak menerbitkan muzik namun ramai yang berkata, dia menggunakan kecantikan untuk mendapat perhatian.
Tidak setuju dengan kata-kata tersebut, Tatiana berhasrat untuk mengikis imej seksi yang seringkali dikaitkan dengan wanita, lantas bertekad untuk mengubah penampilan diri.
Melalui banyak transformasi termasuk meminta bantuan rakan yang bekerja sebagai jurusolek bagi mengubah wajahnya sehinggalah membeli alat kemaluan lelaki, semua dilakukan semata-mata untuk tampil lebih maskulin.
Tatiana berpuas hati setelah ramai menghargai bakatnya selepas itu.
Media antarabangsa melaporkan, Warner Bros tertarik dengan kisah hidup Tatiana lalu membeli hakcipta kerana berhasrat untuk menfilemkannya.
Aktres Jennifer Lawrence disebut-sebut mungkin memegang watak sebagai DJ wanita ini.


SINGAPURA – Awal bulan ini, warga Singapura gempar apabila Caron Chan, seorang pelanggan sebuah restoran makanan Cina terkenal di republik itu memuat naik menerusi laman Facebook mengenai bangkai tikus ditemui di dalam bekas sup sayuran.
Namun penyelia restoran Hotpot Culture di pusat beli-belah ternama, Marina Square di sini segera menafikan tuduhan itu dan mendakwa pelanggan mungkin terkhilaf apabila melihat bentuk sayur yang disangka menyerupai bangkai mamalia comel tersebut.

Ironi, akhbar tempatan The Straits Times melaporkan agensi alam sekitar kebangsaan (NEA) bertindak pantas mengarahkan restoran menu popular Tionghua itu ditutup ekoran aduan rasmi Caron yang terbukti kewujudan bangkai tikus tersebut memang benar.
Susulan itu, NEA telah melakukan pemeriksaan lanjut lebih terperinci di sekitar restoran berkenaan dan hasilnya adalah lebih teruk bahkan memeranjatkan penduduk Singapura sekali lagi; Marina Square memang kawasan sarang terbesar tikus di republik itu!
Stesen penyiaran tempatan Channel NewsAsia pada Isnin mendedahkan, sekumpulan penyiasat NEA yang menjalankan aktiviti pemantauan berjaya mengesan koloni sarang pembiakan tikus di atas siling tiruan di 14 buah kedai makanan di Marina Square.
Haiwan perosak itu malah dikesan membiak begitu subur di salah sebuah tong sampah di medan selera pusat beli-belah tersebut hasil penemuan banyak tahi tikus segar di dua buah kedai makanan yang cukup kotor dengan segala macam sampah-sarap.
Anehnya kumpulan tikus terbabit bijak menyembunyikan diri sewaktu pemeriksaan kali pertama NEA tetapi ‘kantoi’ apabila pegawai terbabit membuat pusingan kali kedua dan menemui tikus-tikus yang ‘terkejut’ melihat kehadiran mereka secara spontan.
Mujur kesemua pemilik kedai terbabit hanya diberi surat pekeliling NEA yang menasihati mereka agar sentiasa mengutamakan kebersihan, menyimpan bahan makanan dengan baik, memastikan premis sentiasa kemas dan sampah sarap dibuang secara betul.
Kewujudan koloni tikus terbesar di situ dipercayai sudah lama sebelum Marina Square dibina awal 1980-an lagi di atas kawasan tanah tambak laut yang dikenali sebagai Marina Centre di laluan padat kenderaan Raffles Boulevard di muara Sungai Singapura.
Zon itu yang kini dirujuk sebagai Downtown Core seluas 266 hektar asalnya ialah tapak pelabuhan lama Singapura sebelum ditebus guna termasuk projek Marina Centre yang mengandungi Marina Square dan tiga buah hotel antarabangsa. – Agensi