Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi



AMBRYM, Vanuatu – Dua lelaki bertindak berani turun ke kawah sebuah gunung berapi di Vanuatu dan memanggang gula-gula marshmallow berhampiran lava panas yang mencecah suhu sehingga 1,100 darjah Celsius.
Lelaki tersebut, Simon Turner dan rakannya, Brave Bradley Ambrose turun sejauh 400 meter untuk menghampiri kawah lava di gunung berapi Vanuatu yang terletak di wilayah Ambrym di Vanuatu baru-baru ini.
Kedua-dua mereka yang berasal dari New Zealand kemudiannya merakamkan gambar di penjuru kawah berkenaan yang hanya berada beberapa meter daripada lava yang sedang mendidih.
Lebih berani lagi Turner turut berehat di tebing kawah berkenaan dan memasak sebungkus marshmallow.
“Kami berasa seronok melihat pemandangan yang menakjubkan ini sambil menikmati gula-gula marshmallow yang dipanggang dengan sempurna.
“Kami tidak perlu memanggang gula-gula marshmallow ini terlalu lama kerana suhu di atas kawah ini sangat panas,” kata Turner. – Agensi



PHILADELPHIA, Amerika Syarikat – Seorang lelaki mengumpul lebih 75,000 koleksi cenderamata restoran makanan segera McDonald sekali gus dipercayai menjadi pengumpul koleksi berkaitan rangkaian restoran berkenaan paling banyak di dunia.
Lelaki tersebut, Mike Fountaine, 60, menyimpan kesemua koleksi berkaitan McDonald yang dikumpulnya sejak tahun 1968 dalam sembilan buah bilik khas di rumahnya di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Dia juga membina sebuah gudang bersebelahan rumahnya untuk menyimpan koleksi berkenaan termasuklah 11,700 biji cawan dan ribuan koleksi permainan yang diperoleh di beberapa restoran McDonald di seluruh dunia.
Fountaine berkata, dia mula mengumpul memorablia McDonald ketika berusia 15 tahun apabila dia bekerja di salah sebuah rangkaian restoran berkenaan.
“Koleksi ini sungguh bermakna kepada saya dan ia menjadi sebahagian daripada pekerjaan saya,” katanya.
Menurutnya, koleksinya itu juga semakin bertambah pada setiap hari kerana dia akan mengumpul hampir 100 koleksi terbaharu pada setiap bulan.
“Sebahagian koleksi ini saya beli sendiri dan ada pula dihadiahkan oleh rakan-rakan ketika mereka berkunjung ke restoran berkenaan di luar negara,” jelasnya. – Agensi


LEBANON – Salji turun di sebahagian kawasan di Asia Barat ketika ribut musim sejuk yang kuat melanda rantau berkenaan.
Timbunan salji dilihat di Bukit Golan dan utara Israel pagi semalam selain kawasan pergunungan di Lebanon. Semua sekolah di Baitulmuqqaddis ditutup berikutan amaran salji setebal 25 sentimeter dijangka turun di kota tersebut.
Setakat ini, banyak pihak bimbang ribut musim sejuk itu melanda Lembah Bekaa di Lebanon. Kawasan itu menempatkan beratus-ratus ribu pelarian perang Syria dengan sebahagian besar mereka tinggal di khemah.
Di Pakistan pula, kabus tebal turut melitupi beberapa kawasan di negara itu pagi semalam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan menyatakan, kabus tebal dan cuaca buruk memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad ditutup untuk seketika.
Penutupan tersebut menyebabkan penerbangan masuk terpaksa dilencongkan ke Lahore.
Selain salji dan kabus tebal, ombak besar dari Laut Mediterranean turut menghempas pantai di Lebanon, Syria dan Israel menjelang ketibaan ribut tersebut. – AP


Paris: Dua belas orang terbunuh apabila lelaki bersenjata melancarkan serangan terhadap pejabat akhbar yang terkenal kerana anti-Islamnya di ibu negara Perancis ini, semalam.
Tiga lelaki bertopeng dengan bersenjatakan raifal Kalashnikov menyerbu ibu pejabat Charlie Hebdo, melepaskan tembakan ke arah kakitangan selepas mencari wartawan dengan memanggil nama mereka.

Antara yang terbunuh ialah empat pelukis kartun terkenal Perancis yang selalu menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW), termasuk ketua pengarangnya Stephane Charbonnier.
Saksi berkata, suspek didengar menjerit ‘Balas dendam untuk Rasulullah’ dan ‘Allahu Akbar’ sambil mereka menyerbu bangunan itu.

Rakaman menunjukkan seorang anggota polis cedera tersembam di kaki lima di luar pejabat berkenaan ketika dua daripada lelaki bersenjata itu mendekatinya.
Walaupun berbalas tembakan dengan pegawai bersenjata, lelaki berkenaan yang dilihat amat berdisiplin dan bercakap bahasa Perancis, berjaya melarikan diri dengan kereta yang dirampas.

Sehingga ini, belum ada tangkapan dibuat.
Presiden Francois Hollande menyifatkan kejadian itu sebagai serangan tidak bertamadun terhadap Perancis dan ke atas wartawan.

Beliau turut berikrar untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab.
Selain menggunakan raifal AK47, terdapat juga laporan mendakwa penyerang berkenaan menggunakan pelancar roket.

Serangan itu dilakukan ketika mesyuarat mingguan penerbitan majalah Charlie Hebdo itu berlangsung, bermakna semua wartawan berada di pejabat berkenaan.
Menurut sumber polis, penyerang mencari wartawan dengan memanggil nama mereka.
Charbonnier atau lebih dikenali sebagai Charb, kartunis yang bertanggungjawab terhadap muka depan anti-Islam, adalah antara yang mati.

Seorang kakitangan, Corrine Rey dan anak perempuannya yang bersembunyi di bawah meja berkata, penyerang itu bercakap bahasa Perancis dengan fasih.
“Ia berlaku selama lima minit saja.

Seorang saksi berkata, penyerang berkenaan memberitahunya: “Katakan kepada media, kami dari Al-Qaeda di Yaman.” - Agensi


Baling: Seorang ibu tunggal cedera di bahagian rusuk kiri dan leher dipercayai akibat ditikam dengan pisau lipat oleh seorang lelaki daripada dua lelaki yang berpura-pura membeli kad isian semula prabayar di gerainya sebelum melarikan sebuah beg mengandungi wang tunai RM30 dalam kejadian samun di Jalan Kupang-Baling, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Mukim Pulai ketika mangsa Shunizan Ishak, 37, yang berniaga kecil-kecilan menjual makanan dan minuman sedang berada di premis berkenaan seorang diri.

Adik mangsa Shuzaiha, 33, berkata ketika kejadian kakak yang berpisah dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu tinggal berseorangan di gerainya kerana dua anaknya berusia lapan dan 17 tahun tidak mengikutnya berniaga.

Menurutnya, kakaknya memaklumkan seorang lelaki berusia 20-an kemudian keluar dari sebuah kereta yang berhenti di depan kedainya lalu berlakon seperti mahu membeli kad isian semula.

“Kakak tidak mengesyaki apa-apa lalu masuk untuk mengambil kad berkenaan, tetapi sebaik berpusing ke belakang, lelaki berkenaan mengeluarkan objek tajam lalu menikam rusuk kiri dan lehernya sebelum melarikan beg mengandungi wang dan kad isian semula prabayar.

“Dalam kesakitan, kakak meraung sambil menahan luka di rusuk kiri, tetapi berjaya menunggang motosikalnya bagi meminta pertolongan daripada pegawai keselamatan di MRSM Baling sebelum dia dihantar ke Hospital Baling (HB) bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Hmetro

Kuala Lumpur: Sekumpulan tujuh gadis kolej tidak menyangka 'aksi' mereka sedang mandi bogel di dalam bilik air dirakam rakan lelaki mereka menggunakan kamera tersembunyi berbentuk pen.

Kamera tersembunyi itu yang boleh merakam video dengan jelas sengaja diletakkan di dalam bekas berus ubat gigi bagi mengelak ia dikesan.
Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 24, berkata, kejadian berlaku ketika mereka semua mengikut suspek pulang ke kampung halaman di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun itu mempelawa rakan sekelas pulang bercuti ke kampung halamannya sempena cuti semester pada 24 Disember lalu.
"Kami mengenali suspek sejak lima tahun lalu berikutan kami menuntut di kolej sama di ibu kota.

Hmetro


RASANYA bukan sekali dua kes melibatkan kilang menghasilkan makanan yang dilabelkan sebagai kotor dan menjijikkan tersebar di Internet.
Namun seakan tidak gentar dengan hukuman pihak berkuasa, segelintir pengilang dengan selamba tetap menguruskan pembuatan makanan dengan meminggirkan aspek kebersihan.
Terbaharu, sebuah kilang bebola ikan di Jalan Paya Terubong, George Town telah diarah tutup dari melakukan operasi ekoran terlalu kotor.
Memetik laporan Harian Metro, Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendapati bebola yang siap dibungkus diletakkan di atas lantai sahaja manakala pekerja yang menggaul isi ikan tidak memakai sarung tangan.

“Terdapat juga najis tikus bertaburan di dalam stor penyimpanan barang selain lalat didapati menghurung kek ikan yang sedang dikeringkan,” katanya.
Keadaan ini menyebabkan pihaknya mengarah premis itu ditutup selama 14 hari dan pemilik perlu melakukan kerja pembersihan.
Jelasnya, pihak MPPP turut mengeluarkan enam saman bernilai RM750 terhadap pengusaha bebola ikan tersebut kerana melakukan pelbagai jenis kesalahan.
Antaranya, menyalur minyak masak terpakai ke dalam parit dan pengurusan sisa tidak sempurna.
Hm, agak-agak dah berapa ramai agaknya pengguna yang dapat sakit perut sebab termakan bebola dan kek ikan kotor tapi dendanya cuma RM750?


PEMENANG tempat kedua Pertandingan Miss BumBum Brazil 2012, Andressa Urach, 27, tidak menyangka dia terpaksa menanggung akibat yang begitu teruk semata-mata mahu membesarkan bahagian paha dan punggungnya.
Bagi tujuan itu dia dilaporkan menyuntik beberapa bahan termasuk hidrogel danParamethoxymethamphetamine (PMMA) sebelum mengadu tidak selesa pada bahagian berkenaan, Julai lalu.
Tak lama kemudian pahanya seolah-olah ‘pecah’ dan berlubang hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Hidrogel itu tidak diserap oleh tubuh dan ia mula memudaratkan saya. PMMA pula didapati melekat pada otot dan menyebabkan tisu mereput,” katanya kepada media Brazil.
Doktor yang merawat memberitahu, kaki kiri Andressa mungkin terpaksa dipotong kerana keadaan itu boleh membahayakan nyawanya.
Sementara itu, rakan serumahnya memberitahu dia dan Andressa sememangnya kerap berjumpa dengan pakar bedah plastik.
“Kami berjumpa dengan pakar bedah plastik seperti pergi membeli-belah. Kadang-kadang kami bersetuju untuk melakukan prosedur (bedah) bersama-sama, kami tak takut. Kami memang hamba kecantikan,” katanya.

ROMANIA – Hanya kerana tidak bersetuju dengan kekasihnya yang mahu membawa dua anak mereka ke rumah ibunya, seorang lelaki Evangelino Olivas Colon, 32, hilang pertimbangan dan bertindak kejam dengan memotong lidah serta mencungkil mata kekasihnya itu.
Kejadian berlaku di hadapan dua anak mereka yang berusia enam bulan dan tiga tahun.
Ia menyebabkan ibu muda itu, Filis Elizondo Orellana, 17, kritikal dan kini bertarung nyawa di hospital.
Colon juga turut memukul gadis itu dengan kapak menyebabkan muka dan tengkoraknya retak.
Menurut jiran mereka, Alina Medrea, 59, dia mendengar suara Orellana menjerit dan kemudiannya berhenti sebelum kedengaran tangisan kanak-kanak terbabit.
“Saya kemudiannya berlari ke rumah mereka dan amat terkejut, seolah-olah menyaksikan filem seram.
“ Gadis itu terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah manakala sebelah matanya hilang. Anaknya pula berada dalam ketakutan,’’ katanya.
Colon telah ditangkap dan berdepan penjara 20 tahun kerana cubaan membunuh.
Menurut jurucakap polis, ia merupakan keganasan domestik yang menakutkan yang pernah disaksikannya.
“Lelaki itu kini ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah,’’ katanya.

SEPERTI diketahui ramai, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkena jangkitan penyakit bawaan air disebabkan bakteria e. Coli semasa melawat mangsa banjir baru-baru ini, dilaporkan sudah sihat dan kembali bertugas hari ini.
Berita ini turut dikongsikan Najib menerusi status Twitter;
‘Alhamdullilah, kembali kerja hari ini.  Terima kasih kepada semua, termasuk rakan-rakan online yang telah doa bersama ucapan-ucapan cepat sembuh’


Namun, seorang wanita yang menggunakan nama Syuhada Rafien di halaman Facebook, mendapat kecaman apabila bertindak luar batasan dengan memuatnaik status berbunyi ‘semoga cepat sembuh PM’ bersama gambar kain kafan yang ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia.
Kalau tidak suka kepada perdana menteri atau mana-mana manusia sekalipun, rasanya tidak perlulah sampai berbuat biadap semacam itu.
Apakah mentaliti generasi muda masa kini begitu rendah hingga ke tahap tidak tahu menghormati pemimpin?
Pemimpin itu tetap pemimpin.
Tidak kisahlah sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, kita harus menghormati setiap pandangan dan perjuangan yang dipegang. -MYNEWSHUB.CC


BIADAP! Mungkin itu perkataan paling sesuai untuk individu yang mendermakan pakaian yang sudah koyak-rabak dan tidak dapat digunakan lagi kepada mangsa banjir.
Bagi kami, tak perlulah kita bersangka baik dengan mengatakan penderma sebenarnya berniat hendak memberi pakaian koyak itu untuk dijadikan kain lap pula.
Kalau dah sampai berdaki kuning, siapa yang tergamak nak guna buat lap sekali pun?
Tambah-tambah lagi yang berdaki tu pakaian dalam. Geli oi!
Setahu kami, sebaik-baik pemberian ialah barang yang masih berkeadaan baik, yang kita sendiri pun masih ada rasa sayang terhadapnya.
Ingat ya, buruk yang kita beri maka buruk juga catatan amalan kita nanti.. –MYNEWSHUB.CC


PETALING JAYA: “Jangan pandai-pandai nak tuduh!” Demikianlah reaksi ringkas pelakon Kamal Adli apabila diminta komen adakah dia menjadi punca kemusnahan cinta antara pasangan pelakon Zizan Razak dan Emma Maembong.

Kamal, 29, yang terkejut dengan perpisahan itu turut memberitahu berasa risau kerana berita itu turut memberi persepsi kepada orang ramai kononnya dia menjalinkan hubungan dengan Emma adalah benar.

"Takkan saya nak merampas kekasih orang? Jangan pandai-pandai tuduh.

"Gara-gara perpisahan mereka, nama saya pula dikaitkan. Bukan saya yang menjadi punca.

“Kami hanyalah rakan kerja yang terlibat dengan drama Cinta Tanpa Syurga.  Tidak lebih daripada itu," tegasnya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Emma menerusi laporan sebuah akhbar pada Rabu telah mengesahkan bahawa hubungannya dengan pelawak Zizan Razak sudah pun berakhir namun dia enggan bercerita lanjut punca perpisahan itu.

Sebelum ini Emma pernah dikaitkan dengan Kamal Adli kononnya mereka dilihat semakin mesra sejak terlibat dalam drama Cinta Tanpa Syurga.

Sementara itu, Kamal berharap mana-mana pihak yang masih menuduh dia menjadi punca perpisahan pasangan tersebut agar selidik dahulu kesahihan berita berkenaan sebelum membuat spekulasi.

Kata Kamal,  dia menyangka sejak putus cinta dengan Intan Ladyana pada pertengahan tahun lalu, namanya tidak lagi menjadi bahan gosip, sebaliknya cerita lain pula yang timbul.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia kini sudah mempunyai kekasih baru, kata Kamal, buat masa ini dia lebih selesa memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya seni.

"Perkara lalu (putus dengan Intan), saya sudah boleh terima hakikat, tetapi belum bersedia untuk mencari pengganti.

"Kalau boleh saya ingin fokus kepada kerjaya seni saya. Mungkin ini peluang saya untuk mengasah lagi bakat yang ada untuk menjadi pelakon yang lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kamal kini terlibat dengan penggambaran drama Pergilah Airmata bersama pelakon Nelydia Senrose, Izreen Azminda, Amar Asyraf dan Azlee Khairi.