Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi



Kolkata: Seorang wanita dirogol beramai-ramai oleh 12 lelaki atas arahan majlis kampung di timur India sebagai hukuman kerana menjalinkan hubungan, kata polis semalam.
Majlis berkenaan mengarahkan hukuman dahsyat itu dilakukan di kampung di Benggala Barat malam Selasa lalu selepas gadis berusia 20 tahun itu ditemui bersama-sama lelaki daripada komuniti lain. 


Polis tahan 12 lelaki


Polis menahan 12 orang berhubung serangan itu yang dilakukan selepas ibu bapa wanita berkenaan berkata mereka tidak mampu membayar denda berjumlah 25,000 rupee (RM1,332) yang dikenakan majlis kerana hubungan itu.

“Gadis berkenaan dirogol beramai-ramai kerana menjalin hubungan dengan lelaki komuniti lain dan gagal membayar denda yang dikenakan majlis kampung. Setakat ini kami menahan 12 orang berkaitan kejadian itu,” kata Superintendan Polis Daerah, C Sudhakar.

Serangan itu sekali lagi meletakkan rekod India dalam keganasan seksual dalam tumpuan sekali lagi selepas kemarahan awam berhubung kes rogol beramai-ramai yang membawa kematian seorang penuntut di New Delhi pada Disember 2012. - AFP
PEMANDANGAN indah puncak Kinabalu dari puncak Gunung Trusmadi.

Pemandangan matahari terbit di celah gunung lain berhampiran Gunung Kinabalu memberi panorama indah sukar digambarkan dengan kata-kata.

Lebih indah, cuaca baik tanpa kabus meliputi gunung tertinggi di Asia Tenggara itu membuktikan hebatnya ciptaan Allah SWT. 

Ini kali pertama penulis mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Trusmadi di Keningau, Sabah. Ia terletak kira-kira dua jam perjalanan dari bandar itu.

Gunung Trusmadi, setinggi 2,642 meter adalah gunung kedua tertinggi di negara ini. Jarak perjalanan dari Kampung Sinua ke puncak itu sejauh 12 kilometer (km)
Ternyata untuk mendaki Gunung Trusmadi bukannya sesuatu yang mudah kerana pada 6 Januari lalu, penulis bersama 17 peserta Ekspedisi KE7B FELDA Greenland 2014 diuji dengan kekuatan mental dan fizikal.

Kira-kira jam 9 pagi, kami memulakan perjalanan melalui kawasan kebun sayuran sejauh enam kilometer dan menemui sebatang anak sungai sebelum pintu kaki Gunung Trusmadi menyambut kehadiran kami.

Salah seorang peserta ekspedisi memberitahu, ekspedisi perjalanan dari kaki gunung ke Kem 2 iaitu lokasi bermalam sejauh dua kilometer saja.

Justeru, penulis merasakan perjalanan itu tidak mengambil masa lama memandangkan jarak hanya dua kilometer. Namun, sangkaan itu jauh meleset kerana laluan dua kilometer itu bukan semudah disangka.

Laluan mencanak dan kadang kala terpaksa berhenti seketika untuk berehat selain laluan permatang yang pendek cukup meletihkan.

Sesekali kami berhenti berehat di beberapa lokasi yang mempunyai sumber air segar dari anak sungai berdekatan.

Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berperang dengan pacat yang agak besar dan sentiasa mencari peluang untuk menghisap darah. Gigitannnya memang terasa.

Belum sempat tiba di Kem 2, kami basah kuyup ditimpa hujan lebat. Perjalanan dalam hujan dan situasi pendakian mencanak adalah cabaran awal kepada kami ke lokasi perkhemahan.

Di Kem 2, hujan masih lebat dan semua peserta memasang ‘flayer’ dan ‘ground’ secepat mungkin untuk bermalam.

Cuaca agak sejuk dan kami memasak secara ringkas sekadar mengisi perut dan menambah tenaga.

Pengalaman penulis bermalam dengan kumpulan peserta ekspedisi Greenland memberi banyak ruang berkongsi pengalaman dengan mereka mengenai dunia pendakian.

Ini kerana mereka mempunyai latar belakang sukan luar seperti memanjat dinding batu, gunung di dalam dan luar negara.

Usai berbual panjang dan mendengar taklimat untuk menyambung kembali perjalanan ke puncak Trusmadi, kami perlu tidur untuk memulakan pendakian jam 1 pagi.

Dari Kem 2 ke Puncak Trusmadi, jarak perjalanan kira-kira empat kilometer. Dalam cuaca sejuk, kami perlu menyesuaikan diri dan memanaskan badan secepat mungkin.

Laluan ke puncak bukan mudah. Walaupun tiada gangguan pacat, kami menempuh halangan laluan berlumpur menyebab­kan pergerakan agak perlahan apatah lagi dengan laluan mencanak.

Malah, ada ketikanya penulis terpaksa merangkak kerana banyak pokok balak tumbang selain laluan berakar yang memerlukan kami berhati-hati bergerak dalam kegelapan malam.

Hampir dua jam perjalanan, penulis rasa mengantuk kerana kekurangan oksigen, tetapi bantuan rakan-rakan membolehkan penulis meneruskan perjalanan.

Sekitar jam 6 pagi, kami tiba di puncak Gunung Trusmadi. Ketika itu, matahari sudah memancarkan cahayanya dan panorama amat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dari kejauhan, penulis dapat melihat Gunung Kinabalu dan gunung lain megah berdiri. Kepuasan memang terasa dan membayar rasa kepenatan yang dilalui sebelum ini.

Kami menyanyikan Lagu Jalur Gemilang bagi membakar semangat dan kecintaan kepada negara.

Puas merakam detik kejayaan menawan Trusmadi, kami memulakan perjalanan turun ke Kem 2.

Perjalanan turun agak menarik dengan pelbagai pohon periuk kera bersaiz gergasi selain lumut hijau yang masih basah dek air embun.

Cuma, ketika melalui trek yang berlumpur, perjalanan agak kurang menarik kerana pergerakan menjadi perlahan dan perlu berhati-hati dengan laluan yang curam.

Kami tiba di kaki Gunung Trusmadi kira-kira jam 4 petang.

Sememangnya setiap puncak gunung punyai cerita dan keindahannya tersendiri, begitu juga dengan Trusmadi.

Setiap pendakian adalah latihan bagi membunuh ego manusia.


Usung beban 80kg sejauh 6km

Tujuh penjelajah utama Ekspedisi KE7B Felda Greenland 2014 diumumkan dua minggu lalu. Namun, ramai belum tahu kisah perjalanan mereka menyahut cabaran itu April ini.

Penulis berpeluang menyertai latihan memilih tujuh daripada 17 pendaki terbaik di Sabah, baru-baru ini .

Semua 17 calon peserta Ekspedisi KE7B Felda Greenland 2014 mendaki Gunung Kinabalu pada 3 Januari.

Antara latihan yang diberikan ialah membawa pengusung pesakit dengan beban kira-kira 80 kilogram (kg) sejauh enam kilometer dari Laban Rata hingga ke pintu masuk Timpohon.

Selepas menakluki Gunung Kinabalu, latihan diteruskan ke tapak perkhemahan Gunung Tambayukon, Ranau untuk mendaki gunung berkenaan esoknya.

Namun, nasib tidak menyebelahi kami apabila laluan ke kawasan itu ditenggelami air dan aktiviti mendaki gunung setinggi 2,579 meter itu terpaksa dibatalkan.

Pagi 5 Januari, 17 peserta berehat di Kolam Air Panas, Taman Negara Kinabalu dan dua nama penjelajah utama diumumkan Pengerusi Kelab Ekspedisi 7 Benua (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin.

Mereka ialah Yanizam Mohamad Supiah, 29, dan Muhamad Shaiful Hisyam Abdul Aziz, 25, yang juga anak FELDA.

Pada 6 Januari, 17 calon peserta memulakan aktiviti pendakian di Gunung Trusmadi, Keningau.

Kami ke Kampung Sinua iaitu lokasi tapak perkhemahan pertama sebelum mendaki sejauh 12 kilometer.

Nampaknya, mendaki gunung kedua tertinggi di Malaysia ini bukan mudah.

Kami berhenti bermalam di tapak perkhemahan dan meneruskan perjalanan empat kilometer terakhir jam 1 pagi esoknya.

Laluan sepanjang empat kilometer terakhir itu amat menguji kesabaran kerana laluan agak mencanak ‘diserikan’ dengan laluan berlumpur serta cuaca dingin.

Tanggal 7 Januari 2013, peserta selamat tiba di puncak Trusmadi kira-kira jam 6 pagi.

Di puncak gunung Trusmadi, pemandangannya cukup indah dengan gambaran Gunung Kinabalu tersergam di kelilingi gunung ganang di sekitarnya.

Sekembalinya di Kuala Lumpur pada 10 Januari lalu, lima nama penjelajah lain diumumkan Muqharabbin selepas mereka melalui satu lagi ujian kecerdasan iaitu larian 2.4 kilometer mengikut masa yang ditetapkan.

Lima penjelajah itu ialah Akasyah Jamaludin, 25, Tahira Najmunisaa Mohd Zaid, 25, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34, Abdul Rahman Abu Hassan, 31, dan Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 32.

Muqharabbin berkata, pemilihan tujuh penjelajah itu berdasarkan kemampuan mereka dalam ujian kecerdasan fizikal dan mental selain semangat berpasukan.

“Apa yang penting matlamat penjelajahan ini adalah untuk mendidik jiwa generasi muda mengagungkan kebesaran Allah SWT.

“Ia juga memupuk jati diri manusia yang baik dari pelbagai sudut selain membangunkan modal insan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, latihan tujuh penjelajah ini akan diteruskan mengikuti kursus asas ekspedisi kutub di Fox Glasier iaitu sekitar Aspiring National Park, New Zealand bermula 3 hingga 15 Februari ini.

Ia turut disertai kru sokongan Faherina Mohd Esa, Ahmad Mustapa dan Muhammad Musaddiq Samsudin.

“Dalam latihan di New Zealand, mereka akan mengikuti latihan asas ski dan pola bagi membolehkan penjelajah dan kru sokongan mengetahui teknik penting menggunakan ski dan membiasakan diri dengan cuaca sejuk.

“Selain itu, semua yang terbabit dalam ekspedisi ini akan mengikuti latihan di Norway dan Nepal secara berperingkat selepas mengikuti latihan di New Zealand,” katanya.

Madrid: Polis Sepanyol diselar hebat apabila mendedahkan cara berkesan menyeludup dadah menerusi laman Twitter rasmi mereka. 

“Sembunyikan dadah yang ingin diseludup di tempat yang tidak dapat dihidu anjing pengesan.” Itu adalah tweet yang dihantar menerusi akaun rasmi Polis Sepanyol pada laman Twitter pada Selasa lalu selepas ditanya mengenai cara terbaik untuk menyeludup ganja di atas kapal terbang pergi ke luar negara.



“Lebih baik bungkus dadah berkenaan di tempat yang tidak dapat dihidu anjing pengesan (mungkin dalam kotak rokok?),” katanya melalui laman Twitter yang mempunyai 715,000 pengikut itu apabila menjawab pertanyaan majalah JotDown.

Tweet tersebut mencetuskan kemarahan aktivis antidadah negara itu dan mengatakan polis seolah-olah menggalakkan penyeludupan. Polis bagaimanapun kemudiannya memohon maaf selepas memadamkannya. -Agensi 


Hong Kong: Seorang jutawan tempatan menggandakan jumlah tawaran wang kepada mana-mana lelaki yang berjaya menambat hati anak perempuannya yang lesbian untuk berkahwin.

Tawarannya sebanyak HK$500 juta (RM215 juta) yang dibuat tahun lalu sudah menarik minat 20,000 calon dua tahun lalu.

Cecil Chao, 77, mengikut laporan The Edge Malaysia, menggandakan tawaran itu kepada RM433.1 juta kepada lelaki yang berjaya menawan hati anaknya, Gigi.

“Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi kehidupan anak saya. Saya cuma mahu dia berkahwin dengan baik dan mendapat anak yang bakal mewarisi perniagaan saya,” kata Chao Tetapi tindakan Chao membuat tawaran untuk mencari jodoh buat anaknya menyebabkan Gigi dan “pasangannya” Sean Eav kecewa.

“Saya tidak yakin tawaran itu akan menemukan saya dengan lelaki idaman saya,” kata Gigi kepada sebuah media tempatan.

“Saya lebih gembira dan berbaik dengan lelaki yang sanggup menderma kepada badan kebajikan saya dan yang penting, mereka tidak kisah saya sudah mempunyai ‘isteri’. “Terakhir sekali, terima kasih ayah, saya sayang ayah juga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Gigi dilaporkan hampir mengahwini Eav - pasangannya selama sembilan tahun - dalam satu majlis di Perancis pada awal 2012, kerana perkahwinan sesama jantina tidak diiktiraf di Hong Kong.

Tawaran Chao yang mendapat perhatian seluruh dunia sebelum ini gagal mengubah pendirian Gigi mengenai cara hidupnya.
Gigi memberitahu media, tindakan ayahnya itu melambangkan betapa besar kasih sayang ayahnya terhadapnya.

Pengarah filem dari Britain, Sacha Baron dilaporkan sedang menyiapkan sebuah filem berdasarkan kisah Chao dan Gigi. - AFP



Teluk Intan: Seorang penjenayah berbahaya yang dikehendaki polis kerana jenayah berat termasuk kes bunuh, ditembak mati ketika cuba melarikan diri di Taman Koperasi di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi dikesan di Kampung Banjar sebelum pasukan Cantas Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mengarahkan lelaki itu berhenti untuk pemeriksaan. 

Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri sebelum terbabas di Lorong Berlian 2 Taman Koperasi ketika cuba dipintas kereta dinaiki anggota polis. 

Suspek bagaimanapun bertindak keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis. 

Susulan itu, anggota polis membalas tembakan balas menyebabkan penjenayah terbabit maut serta-merta di lokasi kejadian.
Pihak polis kemudian menemui sepucuk pistol model Norinco pada badan suspek selain bungkusan dadah disyaki ganja.

Suspek berusia 30 tahun mempunyai 11 rekod jenayah dengan lima rekod dikehendaki polis.


Wajahnya memang nampak jauh berbeza berbanding pada awal kemunculannya dalam bidang seni tempatan dulu.

Bukan saja tampil lebih berseri dan menyerlah, perubahan wajahnya juga begitu ketara dengan bentuk hidungnya nampak lebih mancung.

Perubahan pada wajah pelakon popular Yana Samsudin itu turut menimbulkan pelbagai spekulasi, sekali gus ada pihak yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan kosmetik.

Bermula dengan dirinya menjadi tumpuan ramai pada majlis Anugerah Skrin 2013, kemunculan Yana di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MIG Production yang berlangsung di Seksyen 14, Shah Alam turut mencuri tumpuan ramai.

Terbaru, kehadiran Yana sekali lagi menjadi tumpuan lensa jurugambar pada majlis pengumuman barisan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH) yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
 
Semuanya kerana pihak media dan jurugambar ingin merakamkan wajah ‘barunya’ yang hangat diperkatakan ketika ini.



Perai: “Saya terkejut dan tak sangka mangsa kemalangan itu ahli keluarga sendiri,” kata Azmi Abdul Rahim, 41, yang juga abang saudara kepada Radzuan Idris, 31, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 4.5, Jambatan Pulau Pinang, arah pulau jam 8.30 pagi semalam.

Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Teluk Bahang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Menurut Azmi, mangsa tinggal di Penanti, Bukit Mertajam dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Teluk Bahang.

“Kami dalam perjalanan ke tempat kerja sama dengan menaiki motosikal secara berasingan dan saya tertinggal di belakang.

“Dari belakang saya lihat ada kemalangan berlaku, namun tidak menduga Radzuan yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.


Butterworth: Seorang wanita menerima lebih 80 jahitan selepas dipercayai ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang cuba menyamunnya dalam kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di sini, 11 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa mengalami kecederaan pada ibu jari tangan kiri, perut, lengan kanan dan paha, namun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan kecemasan.

Tetakan secara rambang itu turut menyebabkan beberapa urat pada tangan dan jari mangsa putus menyebabkan anggota badan berkenaan tidak boleh digunakan secara normal dan mengambil masa untuk sembuh.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa, Ang Chin Ting, 56, berkata, ketika kejadian dia memandu kenderaan pacuan empat roda miliknya seorang diri untuk ke pusat beli-belah berkenaan bagi menempah cermin mata.

Dia yang berhenti di kawasan gelap tidak menyangka sedang diperhatikan suspek yang tiba-tiba muncul dan mengarahkannya menyerahkan beg tangan yang dibawanya.


Melaka: Terpedaya dengan hadiah lumayan termasuk Toyota Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000, seorang pesara kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket gores dan menang di negeri ini.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 66, berkata, dia kerugian RM12,800 selepas memberikan wang berkenaan kepada sindiket itu secara berperingkat dari Disember lalu hingga pertengahan bulan ini.

Katanya, dalam kejadian jam 11 pagi 25 Disember lalu itu, dia yang baru saja keluar daripada kereta di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Jalan Panglima Awang, didatangi dua lelaki berusia 20-an.

“Sebaik menutup pintu kereta mereka mengoyakkan kertas mendakwa saya menang cabutan bertuah dan berpeluang memenangi Totoya Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000 atau wang tunai RM28,000.

“Namun, untuk mengetahui hadiah lumayan yang bakal dimenangi, mereka meminta saya membuat bayaran pendahuluan RM12,800,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.


Kuala Krai: Suhu sejuk melanda jajahan ini sejak seminggu lalu menyebabkan ramai penduduk mengehadkan kegiatan, selain memakai pakaian tebal, terutama pada waktu malam.

Penduduk menyifatkan situasi ketika ini sebagai kejadian luar biasa kerana selalunya pada awal tahun, suhu jajahan terbabit kembali panas, selepas negeri dilanda banjir baru-baru ini. 

Surirumah dari Kampung Sungai Dala, Rosmanita Zainal Abidin, 42, berkata suhu terlalu sejuk pada waktu pagi, menyebabkan beliau terpaksa menjerang satu periuk besar air untuk kegunaan anaknya mandi sebelum ke sekolah.


Jerang air panas

“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi.

“Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” katanya.
Warga tua, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata cuaca sejuk menyebabkan dia mengelak keluar rumah pada waktu malam dan awal pagi kerana bimbangkan masalah kesihatan diri.

“Suasana sejuk mula dirasai selepas jam 5 petang membuatkan kami bagaikan berada di luar negara seperti yang sering ditonton dalam televisyen,” katanya.

Penduduk Kampung Tualang, Rohaida Mohamed, 36, berkata suasana sejuk dialami ketika ini menyebabkan mereka tidak perlu menghidupkan kipas kerana keadaan terasa seperti menggunakan pendingin hawa.


Pakai stokin, selipar

“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” katanya.

Sementara itu, suhu serendah 17 darjah celsius sekitar Kuala Krai, Kelantan dan 19 darjah di Besut, disifatkan tahap paling sejuk pernah direkodkan di Pantai Timur.

Pengarah Meteorologi Terengganu/Kelantan, Jenuwa Husin, berkata penurunan suhu itu disifatkan rekod berbanding suhu biasa dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius.

Di Sabah, Pengarah Meteorologinya, Abdul Malek Tusin, berkata fenomena cuaca sejuk sejak lima hari lalu menyaksikan Keningau mencatat suhu terendah 17 darjah Celsius, lebih rendah berbanding tanah tinggi Kundasang pada tahap 20 darjah Celsius.

Katanya, walaupun tidak dilakukan sebarang pengukuran, namun suhu di puncak Gunung Kinabalu, dijangka lebih sejuk berbanding suhu normal iaitu di bawah 15 darjah Celsius.


KANGAR – Jemaah di Masjid Alwi di sini gempar selepas salah seorang daripada mereka menjumpai mayat bayi perempuan cukup sifat dibuang di tepi lubang tandas lelaki di masjid berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Harian Metro difahamkan jemaah lelaki berkenaan baru selesai mengerjakan solat subuh berjemaah di situ dan pergi ke tandas berkenaan sebelum ternampak mayat bayi tersebut diletakkan bersebelahan lubang tandas di situ.

Dia kemudian memaklumkannya kepada pihak pengurusan masjid yang selepas itu memeriksa keadaan bayi yang sudah tidak bernyawa ketika ditemui.

Mereka kemudian memaklumkannya kepada pihak polis sebelum polis daripada bahagian forensik memeriksa lokasi kejadian termasuk bayi berkenaan.


PETALING JAYA – Pelakon Raja Ilya sering membayangkan dia akan dibenci peminat gara-gara sering membawakan watak antagonis dalam drama atau pun filem.
Raja Ilya, 29, bagaimanapun berkata, dia pelik apabila peminatnya menyukai dia membawa peranan tersebut berbanding watak gadis baik atau pun komedi.

“Selalunya orang benci dengan seseorang pelakon yang memegang watak jahat tetapi sebaliknya yang terjadi kepada saya apabila peminat menyukai saya kerana watak jahat,” katanya kepada mStar Online.

Raja Ilya pertama kali mendapat pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) menerusi kategori Pelakon Wanita TV Popular.
Anugerah itu bakal berlangsung pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang.

Dalam pada itu, Raja Ilya berkata, dia mengakui popularitinya semakin meningkat bukan sahaja kerana peminat di kalangan orang Melayu tetapi juga kaum India.
Jelasnya peminat India turut menubuhkan kelab peminat untuknya selain ‘fan page’ di Facebook yang kini telah mencecah 10,000 pengikut.

“Saya terlebih dahulu dikenali di kalangan peminat India ekoran banyak membintangi drama dan filem berbahasa Tamil termasuk arahan Afdlin Shauki iaitu Appalam.
“Populariti saya semakin meningkat selepas muncul dalam drama bersiri Di Mana Hilangnya Juita dan Dahlia yang turut memperkenalkan saya di kalangan peminat Melayu,” katanya yang fasih berbahasa Tamil.

Tambah Raja Ilya, dia turut mengakui populariti yang diraihnya di kalangan peminat India dan Melayu menjadi faktor kepada pencalonannya dalam ABPBH 2013.

Dalam perkembangan lain, Raja Ilya dia bakal terbang ke India pada Februari depan untuk menjalani penggambaran sebuah filem Tamil berjudul Briyani.
Filem yang diarahkan oleh Venkat Prabhu itu bakal dibintangi oleh Karthi dan Hansika Motwani.

“Selain filem Tamil, saya kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Kalimah Jiwa untuk slot Azalia di TV3 dan Kata Hati arahan Rashid Sibir,” katanya. – mStar Online