Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


Memiliki wajah persis gadis Uzbek memberi kelebihan kepada pelakon jelita Fathia untuk menghiasi enam halaman majalah fesyen terkenal di Uzbekistan, Bella Terra untuk edisi khasnya pada Julai lalu.

Lebih membanggakan, Fathia juga diberi peluang memperagakan busana eksklusif rekaan pereka terkenal dari Malaysia, Albert King sepanjang sesi fotografi untuk majalah yang dimiliki anak Presiden Uzbekistan, Gulnara Karimova itu. 

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abd Latiff, 25, mengakui peluang menghiasi majalah terkenal itu bukan saja pengiktirafan dalam karier seninya sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. 


"Saya berasa sangat teruja bila diberi penghormatan berkenaan. Bagi saya, peluang menghiasi majalah Bella Terra itu adalah permulaan yang cukup baik buat saya mengintai peluang untuk mencipta nama di luar negara.


"Pada masa sama, saya juga berasa terharu kerana dalam ramai selebriti tempatan, saya pula yang terpilih untuk menghiasi majalah bertaraf antarabangsa itu. Terus terang, saya sendiri berasa tidak percaya bila melihat wajah sendiri terpampang di majalah berkenaan. Ia satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.



Tak semua orang bertuah memiliki penglihatan yang sempurna. Tetapi mengekalkan penglihatan yang sempurna bukanlah sesuatu yang diperolehi tanpa usaha. 

Mungkin kini banyak rawatan moden yang boleh merawat penglihatan, tetapi jika anda tidak yakin dengan rawatan moden . Ambil berat pada cara pemakanan anda. Sememangnya mengelak lebih baik daripada mengubati.

Berikut adalah makanan yang boleh membantu untuk mengekal dan memperbaiki penglihatan anda; 

Lobak Merah 



Lobak merah kaya dengan Betacaotene (pelopor kepada Vitamin A, nutrien yang diperlukan untuk penglihatan), Lycopene ( nutrien perlindungan sinaran UV pada mata) dan Lutein (nutrien yang melindungi kerosakan pada radikal mata). Jika anda mengalami masalah penglihatan, disarankan makan lebih banyak lobak merah. 

Teh 



Jika anda menggemari segala jenis teh, anda sedang melakukan tindakan yang betul untuk mencegah katarak mata. Teh membantu mengawal pertumbuhan darah baru di belakang mata. Pakar menjelaskan jika terlalu banyak saluran darah di sebalik retina, ia kan menyebabkan kebocoran darah dan cecair yang menjurus kepada bintik buta.

Bawang Putih & Bawang Merah 



Bawang putih dan merah sangat penting dalam pengeluaran Glutation, sejenis sulfur yang bertindak sebagai anti oksidan untuk kanta mata. 

Kacang Walnut 



Kacang Walnut mengandungi sumber Omega- 3, Vitamin E dan antioksidan yang tinggi. Nutrien ini amat penting dalam memerangi radang mata. 

Tomato 



Tomato juga mengandungi dua nutrien penting untuk mata iaitu lycopene dan lutein. Tomato juga berkesan mencegah kanser mata.

Kacang Soya



Jika anda merupakan peminat kicap dan tempe, anda tentu gembira mengetahui bahawa kacang soya merupakan salah satu makanan penting untuk mata . Kacang soya mengandungi antioksidan yang kuat yang dipanggil isoflavon. Antioksidan ini melindungi mata daripada sindrom mata kering. 

Telur



Percaya atau tidak, telur juga baik untuk penglihatan. Sebatian sulfur, protein dan cysteine membantu melindungi mata daripada pertumbuhan katarak. Makan telur sehari sekali sudah memadai bagi penjagaan mata. 

Brokoli



Brokoli mengaktifkan enzim anti – radang dalam badan untuk menggalakkan detoksifikasi termasuk mencegah keradangan di bahagian belakang mata
Putera Alwaleed Talal

RIYARD - ARAB SAUDI. Jutawan Arab Saudi Putera Alwaleed Talal memecat pengarah saluran televisyen Islam selepas mengaku menjadi ahli Ikhwan Muslimin di Kuwait.

Menurut Press TV, Putera Alwaleed memecat Pengarah Televisyen Al-Resalah, Tarek Al-Suwaidan, selepas pengakuan itu dijelaskan.

Stesen Al-Resalah kepunyaan Kumpulan Rotana Alwaleed itu merupakan syarikat konglomerat media terbesar Saudi berpangkalan di Riyadh.

Difahamkan Al-Suwaidan, seorang warganegara Kuwait, kini dikecam sejak penyingkiran Presiden Mesir Mohamed Mursi. Sinarharian
Bengkel jadi pub, pusat karaoke

AYER KEROH - Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sebuah bangunan bekas bengkel di sebuah pusat perindustrian di Bandaraya Melaka dijadikan pusat hiburan yang menjalankan perniagaan pub dan karaoke.

Bagaimanapun, taktik mereka tidak menjadi apabila tetap dihidu Jabatan Imigresen Melaka yang membuat serbuan, awal pagi semalam.

Dalam serbuan itu, seramai tujuh wanita Vietnam yang sedang leka melayan pelanggan, ditahan.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata, pusat hiburan yang sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu menggunakan bangunan yang dikelilingi beberapa bengkel lain.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati wanita Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) itu dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di luar.

“Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati menyalah gunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Melaka, di sini semalam.

Sementara itu, pemeriksaan mengejut turut dijalankan di 13 kediaman  di beberapa lokasi termasuk di Bukit Rambai, Permatang Duyong, Paya Rumput, Ujong Pasir dan Bukit Pulau.

Sepanjang operasi bermula 9 malam kelmarin dan berakhir kira-kira 6 pagi semalam itu, seramai 80 pendatang asing diperiksa, manakala sejumlah 64 ditahan untuk siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan.

Antara yang ditahan termasuk warga Indonesia, India, Myanmar, Kemboja dan Nepal.

Turut ditahan, dua wanita sedang mengandung, salah seorang dari mereka sarat dan empat kanak-kanak berusia antara 4 tahun dan 5 bulan.

Dalam pada itu, menurut Kamalludin, anggota penguatkuasa turut menahan empat pasangan suami isteri iaitu tiga pasangan Indonesia dan satu pasangan Kemboja.

Menurutnya, penahanan dilakukan apabila isteri pasangan terbabit didapati tinggal lebih masa di negara ini walaupun suami mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Sinarharian
Al-Sisi tagih darah rakyat

KAHERAH - MESIR. Demi menyelamatkan nyawa jutaan rakyat Mesir, Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan semua perarakan dan demonstrasi dibatalkan terutama di kawasan panas, Maadi dan Al-Misr Jadidah.

Ikhwanul dalam kenyataan kelmarin berkata, kehadiran penembak tepat di kawasan itu memungkinkan lebih ramai nyawa terkorban.

Perhimpunan di seluruh negara itu masih menempatkan matlamat sama iaitu menuntut kuasa Presiden Mohamed Mursi dikembalikan dan mengecam tindakan kejam tentera di bawah pimpinan Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi.

“Rancangan perarakan ke Mahkamah Perlembagaan dan perhimpunan anti-tentera di Dataran Roxi dibatalkan atas faktor keselamatan,” memetik kenyataan itu.

Demi menuntut kematian, jutaan rakyat semalam, meneruskan rancangan berarak ke Mahkamah Perlembagaan dengan berhimpun dapat dilihat di Helwan, Giza.

Media Al-Jazeera melaporkan, pada masa sama, puluhan penembak tepat mengambil ruang masing-masing dan hanya menunggu masa untuk melepaskan tembakan.

“Semangat luar biasa rakyat mengagumkan apabila sanggup menggadai nyawa, bersedia untuk kembali ke jalanan,” menurut laporan itu lagi.

Dalam kejadian di Masjid Al Fath, Ramsis, sekurang-kurangnya 35 orang tahanan terbunuh semasa dalam perjalanan ke penjara.

Laporan mengatakan, kesemua tahanan itu ditahan selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan melakukan tembakan rambang peluru hidup untuk meleraikan mereka.

Tindakan kejam itu dilakukan selepas pihak keselamatan mendakwa, ribuan rakyat terbabit melanggar perintah berkurung dikeluarkan kerajaan sementara pada 14 Ogos lalu.  

Susulan kejadian itu, Ikhwanul mengeluarkan kenyataan kematian tersebut adalah satu ‘pembunuhan’ yang kini mencecah 800 nyawa.

Di Iskandariah, puluhan ribu menyertai enam perarakan mega di beberapa kawasan di daerah tersebut.

Keadaan mula kecoh apabila pasukan tentera dan polis membuat kepungan di Masjid Al Qaed Ibrahim dan menghalang laungan azan Asar.

Tentera dan kumpulan Tamarod bertindak menawan masjid tersebut dan melakukan tangkapan terhadap puluhan rakyat termasuk pelajar.

Al-Sisi ucap tahniah

Dalam satu kenyataan, Abdel Fattah memuji ‘peranan mulia’ dilakukan pasukan tentera dan polis untuk melindungi keselamatan negara.

“Saya berjanji menggunakan kuasa penuh terhadap mereka yang mahu memusnahkan Mesir. Tentera tidak berniat merampas kuasa. Tetapi penyokong Ikhwanul ingkar. Kami tidak akan berdiri diri melihat kemusnahan negara dan rakyat.

Kami telah memberikan banyak peluang untuk menamatkan krisis ini secara aman,” katanya ketika sidang media pertama sejak operasi gempur penyokong Mursi, semalam.

Abdel Fattah berkata, beliau tidak menghalang pasukannya daripada menyerang musuh yang kini meragut 600 nyawa seperti angka dikeluarkan oleh kerajaan sementara.

Beliau juga berikrar untuk berdiri teguh dalam menghadapi keganasan Ikhwanul Muslimin dan Jamarod.

Menurutnya, beliau juga tidak akan bersekongkol dengan mereka yang bersubahat dalam krisis ini.

“Tentera dan polis kini adalah penjaga negara. Rakyat akan memilih pemimpin akan datang. Sebelum ini, rakyat Mesir berhasrat mahu mengubah dunia dan saya memberitahu mereka, jika anda mahu untuk membina Mesir dan menukar masa depan pilihlah kerajaan tentera kerana hanya kami dapat merealisasikan impian itu,” katanya.

Sementara itu, Kabinet Sementara Mesir difahamkan, mengadakan mesyuarat tertutup dipengerusikan  Presiden sementara Adly Mansour, untuk membubarkan Ikhwanul.

Kementerian Dalam Negeri pula dalam kenyataan mendakwa, lebih 1,004 ahli Ikhwanul ditahan dan melabelkan gerakan terbabit sebagai ‘elemen rusuhan, selepas Ketua Al-Qaedah Ayman al-Zawahiri ditahan di Masjid Al-Fath, Ramsis, kelmarin.

Lagi pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin ditahan

Pagi semalam, Pasukan Keselamatan Iskandariah menahan pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr Hamdi Hassan, Dr Ahmad An Nili dan Jurutera Majdi Bahi.

Sehingga kini, penangkapan tujuan pembersihan itu masih berterusan di Wardian.

Pakatan anti rampasan kuasa dalam kenyataan melaporkan, sekurang-kurangnya 38 penyokong Ikhwanul terbunuh ketika cuba melarikan diri dari konvoi penjara.

“Pembunuhan 38 tahanan itu berlaku ketika operasi pemindahan ke penjara Abu Zaabal. Mereka ditembak dengan peluru hidup dan gas pemedih mata yang dilepaskan dari tingkap,” memetik laporan itu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, peguam bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, yang digulingkan dalam kebangkitan pada 2011, Fareed El-Deeb berkata, Hosni akan dibebaskan dari penjara dalam tempoh 48 jam selepas pendakwaan terhadap kes rasuah digugurkan semalam.
Nizam Sani
KUALA LUMPUR: Kekurangan pelawak wanita tempatan menjadi punca program-program komedi tempatan lebih ramai disertai golongan lelaki.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata banyak batasan dan tingkah laku yang perlu dijaga menjadikan program-program berkonsepkan lawak komedi lebih mengutamakan kaum lelaki.
“Wanita agak sukar untuk melawak kerana kita faham batas-batas mereka, kalau terlebih lawak pula akan kelihatan menjengkelkan.
"Sebab itulah industri ini dimonopoli oleh kaum lelaki," katanya ketika melancarkan program Super Spontan 2013 musim kedua, di sini, Isnin.
Tambah Nizam, dalam program Super Spontan terbaharu ini, dua aktres iaitu Norkhiriah dan Almy Nadia bakal bersaing dalam kumpulan masing-masing.
Norkhiriah
"Kita dah tawarkan beberapa orang pelawak lain dan pelakon-pelakon popular namun kebanyakan mereka tidak berani untuk mencuba melawak secara spontan," katanya.
Program realiti bercorak permainan ini masih mengekalkan format asal dan bakal bersiaran selama 10 minggu.
Seramai 14 selebriti akan bersaing dalam dua kumpulan yang diberi nama ‘Ketam Konfius’ dan ‘Semut Sentap.’
"Kami menjangkakan persaingan dalam Super Spontan musim kedua ini akan lebih sengit memandangkan para peserta sudah semakin selesa dengan format program dan bersedia untuk mempamerkan persembahan yang terbaik," katanya.
Antara selebriti lain yang akan menyertai Norkhiriah dan Almy Nadia ialah ialah Along (Raja Lawak), Johan (Raja Lawak), Yus (Jambu), Nabil Ahmad, Munir, Jep (Sepah), Shuib (Sepah), Tauke (Jambu), Rahim dan Suhaimi.
Almy Nadia
Nasib setiap kumpulan akan ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton pada persembahan mingguan.
Pemenang mingguan memenangi RM4,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan terpilih, manakala pada pusingan akhir pemenang bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.
Dalam pada itu, Nizam turut memperkenalkan bekas Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said sebagai Pengurus Saluran Astro Warna yang baharu bermula 1 Ogos lalu.
Program Super Spontan musim kedua akan bersiaran bermula 30 Ogos ini, pada pukul 10 malam di saluran 132, Astro Warna. mStar
Linkin Park
KUALA LUMPUR: Kumpulan metal, Linkin Park tampil dengan memberikan persembahan bertenaga di hadapan lebih 25 ribu penonton pada konsert jelajah dunia ‘Living Things’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, Isnin.
Kumpulan yang memenangi pelbagai anugerah ini membuka tirai konsert pada pukul 8.30 malam menerusi lagu Tinfoil, Faint dan Papercut.
Kumpulan yang pernah memenangi pelbagai anugerah ini dianggotai oleh vokalis utamanya, Chester Bennington, pemain dram dan percussionist, Rob Bourdon, gitaris, Brad Delson, pemain bass, Dave 'Phoenix' Farrell, Joe Hahn yang bertindak sebagai DJ serta vokalis kedua merangkap pemain keyboard dan juga gitaris, Mike Shinoda.
Linkin Park terus memberi persembahan bertenaga dengan lagu-lagu popularnya sepertiGivin Up, With You, Somewhere I belong, New Divide dan Victimized.
Sorakan kuat penonton mengamatkan keadaan di stadium setiap kali anggota kumpulan tersebut cuba berinteraksi dengan penonton.
Band yang berasal dari California, Amerika Syarikat itu menyampaikan 21 buah lagu dalam konsert yang berlangsung selama dua jam.
Tidak mahu menghampakan peminat, kumpulan ini turut menyanyikan lagu popular seperti In The End, Numb dan What I've Done pada bahagian penutup.
Biarpun dibasahi hujan renyai, penonton berpuashati dan terhibur dengan persembahan kumpulan tersebut.
Konsert Linkin Park Jelajah Dunia di Malaysia 2013 "Living Things" ini dibawakan oleh The Wonderland+ dan peminat di Malaysia seharusnya rasa bertuah kerana band ini memilih Malaysia untuk mengadakan konsert sebagai salah satu rangka lawatan mereka di Asia Tenggara.
Thailand, Indonesia dan Singapura tidak tersenarai sebagai lokasi persinggahan mereka akibat kesuntukan masa.
Gempa Bumi Lemah Landa KupangKedah
KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Ricther melanda Kupang di Kedah pada 8.26 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Gempa bumi itu berpusat di 11km selatan Baling dan gegaran kesan boleh dirasai di sekitarnya, menurut kenyataan jabatan itu di sini. - BERNAMA



Pergaduhan selebriti di laman sosial Twitter terbaru melibatkan dua nama besar iaitu penyanyi Lady Gaga dan penulis blog hiburan popular, Perez Hilton. 

Hubungan Gaga dan Hilton yang sebelum ini diketahui ramai berkawan baik mula menjadi suram berikutan beberapa insiden. 

Pada Khamis lalu, Hilton mengemaskini Twitter dengan memberitahu lagu terbaru penyanyi Katy Perry, "Roar" lebih baik daripada lagu Gaga, "Applause" yang baru sahaja diriliskan. 

Gaga bertindak membalas, "Masih mempunyai teks mesej daripada Perez yang menghantar gambar saya di atas kerusi roda dengan perkataan KARMA tertulis di atasnya dan Madonna menunjukkan pistol ke arah saya." 


Walaubagaimanapun keadaan bertukar buruk apabila pelantun lagu "Bad Romance" ini menuduh Hilton menghendapnya, selepas salah seorang pengikut Twitter memberitahu dia melihat penulis berusia 35 tahun itu berada di bangunan rumah Gaga di New York. 

"Jauhi saya dan keluarga. Anda mempunyai masalah, cuba menyewa rumah di bangunan yang sama untuk menghendap saya. Tinggalkan saya sendirian!," ujar Gaga. 


Walaubagaimanapun Hilton tampil memberi penjelasan di laman sesawangnya, memberitahu kecewa apabila bekas teman baiknya itu membuat tuduhan palsu secara terbuka dan masih enggan menjelaskan punca persahabatan mereka terputus. 


Malah Hilton yang mempunyai anak berusia enam bulan yang dilahirkan menggunakan proses ibu tumpang turut menjelaskan gara-gara mesej Gaga, ramai yang menghantar ugutan bunuh serta memberi komen kurang enak terhadap anaknya itu. 


"Jika peminatnya ingin menghantar mesej untuk menyokong Lady Gaga, mereka perlu membeli muziknya. 

"Kebenaran akan muncul juga. Selalunya begitu," ujarnya. 



Sudah menjadi lumrah untuk setiap orang inginkan sesuatu yang tidak dimiliki. Begitu juga dengan kebanyakan wanita berambut kerinting yang idamkan rambut lurus kerana lebih mudah dijaga dan nampak menawan untuk mereka. 

Demi mendapatkan rambut lurus tanpa mengakibatkan kerosakan rambut, apa yang anda perlukan adalah produk rambut yang bersesuaian, pengering rambut yang bagus serta besi pelurus rambut. 

PRODUK RAMBUT


Sekiranya rambut anda kerinting atau beralun secara semulajadi, gunakan syampu dan perapi yang mengandungi minyak zaitun atau argan. Ini kerana minyak semulajadi tersebut mampu melembutkan rambut dan mengatasi masalah rambut kusut. Anda juga harus menggunakan pelembap rambut sebelum melakukan proses meluruskan rambut demi mengekalkan kelembapan dan mengelakkan rambut bercabang.

PENGERING RAMBUT



Mencari pengering rambut di kedai memang kerja yang mudah tetapi apa yang anda perlu ketahui adalah kualiti sesebuah pengering rambut itu perlu dititikberatkan. Jangan beli pengering rambut sebarangan kerana ianya boleh membawa kepada kerosakan rambut. Ada sebab mengapa sesetengah pengering rambut berharga sedikit mahal. Berbeza daripada pengering rambut biasa yang menyejat keseluruhan air pada rambut, pengering rambut yang menggunakan teknologi ionik berfungsi memecahkan molekul air pada rambut, membuatkan kelembutan rambut terjaga. 

BESI PELURUS RAMBUT


Haba yang dihasilkan oleh besi pelurus rambut perlulah bersesuaian dengan jenis rambut anda. Jika rambut anda halus dan nipis, gunakan haba yang rendah manakala haba sederhana tinggi pula digunakan untuk rambut tebal dan kasar. Untuk mengetahui sama ada suhu tersebut bersesuaian dengan rambut, uji dengan tisu dahulu. Sekiranya tisu hangus, itu bermakna besi pelurus rambut itu terlampau panas untuk rambut. Letakkan pelapik di besi pelurus rambut tersebut demi mengelakkan masalah rambut kering. 




Bekas juara Akademi Fantasia 5, Mila, atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, kini mengembangkan sayap dalam perniagaan restoran selepas berjaya menubuhkan syarikat pengurusan majlis, Luvmila Corporation Sdn Bhd.

Restoran Embun Urai yang terletak di Tasik Prima Puchong itu sudah diusahakan oleh Mila, 26, sejak tiga tahun lalu. Pada mulanya, dia hanya bertindak sebagai rakan kongsi, namun Mila berjaya menjadi pemilik restoran tersebut selepas membeli seluruh saham restoran awal tahun lalu.

“Beroperasi di kawasan perniagaan yang strategik, sebenarnya saya adalah pelanggan setia restoran itu. Namun, disebabkan masalah kewangan dihadapi, ia mendorong pemilik asal menjualnya. Antara menu istimewa restoran ini ialah tomyam dan makanan laut yang cukup enak. Ditambah lagi, harga yang ditetapkan juga amat berpatutan,” kata penyanyi yang kini muncul dengan duet bersama Nubhan dalam lagu berjudul “Cinta Kasih”.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mila, yang juga anak sulung dalam keluarga masih dapat menguruskan masa dengan baik tambah-tambah lagi restoran tersebut dibantu oleh ayahnya, Jirin Burhan, 51.

Selain daripada minat berniaga, Mila mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan bagi persediaan di masa hadapan kerana dia tidak akan bergantung kepada nyanyian semata-mata.

Menyentuh mengenai soal perkahwinan, Mila memang berhasrat mahu mendirikan rumah tangga namun jodohnya masih belum tiba. “Buat masa ini, jodoh mungkin belum berpihak lagi kepada saya. Apatah lagi, sekarang ini pun saya sangat sibuk menguruskan perniagaan dan karier nyanyian,” ujar Mila.

Mulakan hari anda dengan sarapan pagi aiskrim. Mengapa tidak? Apa kata sekali-sekala anda mencuba sesuatu yang baru dan kreatif apabila bersarapan pagi. Jadi apa salahnya jika sarapan pagi anda adalah aiskrim buahan-buahan yang dibuat sendiri.

Di sini kami ingin berkongsi dengan anda semua bagaimana hendak membuat aiskrim yang sihat tetapi sangat enak.

Caranya, masukkan yogurt dan buah-buahan ke dalam pengisar dan kisarkannya sehingga ia sebati. Kemudian, tuangkan ke dalam acuan aiskrim.

Jika anda tidak mempunyai acuan aiskrim, anda juga boleh menggunakan cawan plastik. Untuk menyihatkan lagi aiskrim anda, potong buah-buahan seperti kiwi, pisang, strawberi mangga atau anggur ke dalam acuan aiskrim.

Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk dan tunggu sehingga ia membeku. 

Anda juga boleh menikmati aiskrim ini dengan meyalutkannya dengan madu dan taburkan kacang badam kisar atau bijirin oat sebagai 'toppings'.