Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi


Kuala Lumpur: Dua lelaki cedera ditembak dalam kejadian berasingan di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama dan di Taman Makmur, Lunas, Kulim, malam tadi.
Dalam kejadian di Taman Sri Sentosa, seorang pemandu van pelancong cedera akibat ditembak berdekatan sebuah kedai serbaneka 9.30 malam tadi. 
Mangsa yang berusia 27 tahun dipercayai terkena dua das tembakan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan kecemasan. Sementara itu di Kulim, seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan pada perut dan kaki kanan di sebuah kedai kopi di Taman Makmur, Lunas, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Mangsa berusia 39 tahun dipercayai tembak ketika sedang berbual bersama seorang rakannya sebelum didatangi seorang daripada dua suspek.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sebelum kejadian beberapa pelanggan lain turut berada di dalam kedai kopi berkenaan tetapi di meja berasingan. 
"Secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar meluru masuk lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa. 

"Rakan mangsa serta beberapa pelanggan lain sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan. 

"Mangsa yang mengalami kecederaan di badan serta kaki kanan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal," katanya. 

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


IPOH - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terbabas melanggar motosikal sebelum terjunam ke dalam parit dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh – Lumut berhadapan Taman Arked, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.30 petang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 55 tahun dipercayai diserang sakit belakang dan leher menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Menurutnya, mangsa bersama isterinya yang berusia 36 tahun dari Menglembu dalam perjalanan ke Batu Gajah sebelum terbabit dalam insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya lalu melanggar seorang lelaki berusia 51 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami luka di kepala, patah bahu kanan dan kecederaan di kaki kanan.

“Manakala, mangsa mengalami sakit leher serta pinggang dan isterinya cedera dan luka di tangan kanan,” katanya yang memberitahu ketika kejadian cuaca baik dan keadaan jalan kering serta lurus.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan trak penunda untuk menarik kereta ke atas jalan raya.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 kerana gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan,” katanya.
 

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.
“Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.
“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.
Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS.
“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS,” katanya.
Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat KPM.
“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan.
“Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya. – Berita Harian


GEORGETOWN - Polis mengesahkan seketul daging yang ditemui di pekarangan Masjid Cherok Tokun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah, adalah daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pengesahan itu adalah berdasarkan laporan yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Beliau berkata, polis juga sudah merekodkan enam keterangan daripada orang kampung dan ahli jawatankuasa masjid.

“Dalam kes ini, polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan mana-mana individu cuba mencetus provokasi yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menimbulkan suasana menggugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Polis Pulau Pinang.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Ahad lalu, daging babi itu ditemui oleh seorang pembantu imam  yang ingin menunaikan solat Subuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, daging berukuran sebesar dua tapak tangan dewasa itu ditemui lelaki berkenaan yang ingin memasuki ruang masjid.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Rakan Cop di talian 04-2295900 atau mana-mana balai polis terdekat.


SHAH ALAM - Sejumlah 4,908 mangsa banjir ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara yang terletak di Tenom dan Keningau sehingga jam 8 malam tadi.

Memetik laporan RTM Sabah, bacaan aras Sungai Pagalan masih melepasi paras bahaya pada 177.02 meter menurun daripada 179.62 meter sebelum ini.

Di Tenom, seramai 3.806 orang yang terjejas banjir ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara.

Namun, 11 keluarga daripada lima kampung sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Keningau pula, seramai 1,102 mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara.

Bacaan aras Sungai Bayayo melepasi paras bahaya iaitu 174.30 meter.

SH


Baling: Helah lima warga asing bermalam dalam hutan bagi mengelak diberkas anggota penguat kuasa tidak berhasil apabila dicekup ketika pemeriksaan berhampiran sebuah tapak pembinaan di Pulai, dekat sini, dalam Ops 6P Bersepadu, awal pagi semalam.

Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada lelaki warga Myanmar berkenaan dikesan apabila anggota penguat kuasa ternampak sebuah pondok kira-kira 20 meter dari tapak binaan itu selepas mendapati rumah kongsi tidak berpenghuni.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat kuasanya Aidil Safri Adnan berkata, kelima-lima warga Myanmar berusia 20-an itu ditahan dalam pondok kayu yang dijadikan tempat berteduh kira-kira jam 3 pagi dipercayai bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa.

Menurutnya, seorang wanita warga Indonesia turut ditahan ketika tidur dalam rumah kongsi di tapak pembinaan sama dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Enam orang yang ditahan adalah antara 22 PATI membabitkan 16 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 15 hingga 42 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam pemeriksaan di enam lokasi di daerah itu.

Ipoh: Seorang warga emas maut selepas terjatuh ketika menyertai ekspedisi memanjat Gunung Sugu 35 kilometer dari Simpang Pulai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Lee Kar Giap, 61, dari Petaling Jaya, Selangor menyertai ekspedisi memanjat gunung berkenaan bersama 27 rakannya yang lain bermula jam 9 pagi sebelum turun jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa bersama rakannya menyertai ekspedisi memanjat gunung berkenaan sejak pagi sebelum keluar dari gunung pada sebelah petang.

“Ketika menuruni bukit berkenaan mangsa terjatuh lalu pengsan. Rakan mangsa seorang doktor membuat pemeriksaan terhadapnya mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan. “Mangsa dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anggota bomba menerima panggilan jam 3.50 petang sebelum tiba berhampiran kaki bukit Gunung Sugu setengah jam kemudian bersama satu jentera serta satu unit motosikal RRV dengan 11 anggotai diketuai Ketua BBP Simpang Pulai, Rozmie Hamat.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari gunung berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara rakan mangsa yang menyertai ekspedisi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.



Putrajaya: Mesyuarat Majlis Sosial kali ketiga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membentangkan dua kertas kerja masing-masing bertajuk ‘Kehamilan dan Kematian Di Kalangan Remaja’ oleh Kementerian Kesihatan dan Agenda Sosial Negara 2014 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri semalam, Kementerian Kesihatan menyatakan senario kehamilan dan kematian dalam kalangan remaja kini semakin serius dan perlu pendekatan holistik untuk mencegah dan membendungnya. 

Justeru, kerjasama berterusan amat diperlukan terutama dari ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama dan ketua masyarakat bagi memberikan kesedaran menyeluruh kepada remaja.
Sementara itu, perbentangan kertas kerja kedua oleh KPWKM pula menerangkan lebih lanjut senarai program Agenda Sosial Negara 2014 yang akan dilaksanakan tahun ini.

Antara program yang akan difokuskan termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan sasar kementerian dan isu sosial yang spesifik untuk ditangani dan dibendung oleh kementerian.

Pada masa sama, kempen kesedaran dan pencegahan akan dilaksanakan bagi menangani masalah sosial yang sudah dikenal pasti.

Pada mesyuarat sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyediakan kertas makluman bertajuk ‘Kadar Jenayah Di Malaysia - Program Pencegahan oleh PDRM’ sebagai makluman awal kepada ahli mesyuarat.

Mesyuarat Majlis Sosial yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu turut dihadiri sembilan menteri; dua wakil NGO dan dua pegawai awam yang juga ahli tetap majlis.