KAMI akui, perkara seperti tertinggal dompet di rumah sewaktu hendak ke pejabat sering juga berlaku.
Ini menyebabkan aktiviti makan tengahari bersama rakan sekerja sedikit terbantut dan secara tidak langsungnya terpaksalah meminjam duit atau meminta mereka belanja dengan alasan“dompet tertinggal bro!”.
Kini dengan kecanggihan dan perkembangan teknologi, perkara seperti tertinggal dompet mungkin dapat dielakkan.
Walli merupakan sebuah dompet pintar yang mampu berhubung dengan telefon pintar anda, seterusnya menghantar notifikasi jika anda tertinggal dompet di rumah, pejabat dan sebagainya.
Memandangkan pada era kini, kita mungkin secara tidak sengaja tertinggal dompet dan kad pengenalan tetapi tidak mungkin tertinggal telefon pintar, maka penawaran dompet ini mungkin digemari sesetengah pengguna.
Dompet pintar ini juga hadir dengan beberapa ruangan kad, membolehkan anda mengetahui jika tertinggal sesuatu kad dan sebagainya. Sebagai contoh, mungkin anda mendaftar masuk ke sesuatu bangunan menggunakan lesen memandu dan terlupa mengambilnya kembali ketika keluar.
Walli akan menghantar notifikasi kepada telefon pintar jadi anda boleh pergi mengambilnya sebelum meneruskan perjalanan.
Walli turut hadir dengan perlindungan RFID untuk mengelak kandungan dompet anda diimbas penggodam, selain menggunakan bateri yang mampu bertahan sehingga 6 bulan dan boleh digantikan dengan mudah.
Buat masa ini, pembangunnya sedang mengumpulkan dana di laman Indiegogo dan anda yang berminat boleh membuat sumbangan dan membelinya melalui halaman projek berkenaan.
No comments
Post a Comment