SEMPENA pesta tahunan Halloween yang bakal disambut beberapa hari lagi, pusat beli-belah di seluruh dunia tidak ketinggalan menawarkan bermacam-macam rekaan kostum Halloween bagi menarik hati pembeli.
Bagaimanapun, tindakan gedung serbaneka Walmart di Amerika Syarikat menjual kostum Halloween bertemakan pakaian seragam tentera Israel bagi anak kecil dan hidung palsu bagi mereka yang ingin tampil sebagai sheikh Arab mengundang kecaman dan kritikan hebat.
Ini berikutan, rata-rata menyifatkan gedung itu sebagai tidak sensitif dan biadap kerana mengeluarkan kostum Halloween dengan rekaan sedemikian rupa.
“Walmart, tahukah anda bahawa menjual pakaian seragam tentera Israel sama seperti menyokong penjajahan Israel dan pembunuhan anak-anak di Palestin,” tulis seorang netizen dengan akaun @Adeeba_.
Namun, Walmart menerusi satu kenyataan mendakwa mereka menawarkan kostum Halloween itu bertujuan supaya kanak-kanak dapat menghayati sejarah Yahudi.
Set lengkap pakaian seragam tentera Israel kanak-kanak itu dikatakan dijual dengan harga AS$27.44 (RM118), manakala replika hidung sheikh Arab itu dijual dengan harga AS$9.52 (RM41).
Dalam perkembangan terbaharu, Fox News melaporkan Walmart pada Rabu lalu mengumumkan tidak lagi menjual kostum tentera Israel bagi kanak-kanak itu dan hidung palsu tersebut selepas menerima kecaman hebat, termasuk gesaan memboikot Walmart di media sosial. – Agensi
No comments
Post a Comment