DUA janin yang dikatakan kembar dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab semalam. |
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki terkedu apabila menemui dua janin kembar yang dilahirkan tidak cukup bulan di tandas lelaki Surau Al-Ikhlas, Durian Burung di sini semalam.
Salah satu janin itu ditemui di luar tandas, manakala satu lagi janin ditemui di atas lantai berhampiran pintu tandas.
Ahmad Afkar Salleh, 18, berkata, dia pergi ke tandas tersebut kira-kira pukul 3 petang kerana sakit perut, namun pada mulanya tidak perasan dengan kedua-dua objek tersebut.
“Sewaktu hendak keluar dari tandas, saya ternampak satu ketulan objek dihurung semut dan lalat berhampiran pintu tandas, manakala satu lagi ketulan itu berada di luar tandas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut remaja itu, dia yang meneliti kedua-dua objek tersebut pada mulanya menyangka kedua-dua itu merupakan janin kucing sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada penduduk kampung dan seorang jururawat yang kebetulan berada di surau ketika itu.
“Jururawat yang memeriksa kedua-dua objek itu kemudian memaklumkan kedua-dua ketulan itu merupakan janin manusia,” kata Ahmad Afkar.
Kosmo Online
No comments
Post a Comment