LUPAKAN tatu berdakwat! Sekarang ini orang Barat mempunyai kegilaan mereka yang terbaharu iaitu ‘membakar’ kulit atau sunburn kulit dalam usaha untuk memperolehi corak unik di tubuh badan mereka.
Walaupun kelihatan unik dan menarik namun menurut pakar kesihatan kulit trend ini tidak sihat malah boleh mendatangkan risiko kanser kulit di kalangan pengikutnya.
Trend seni sunburn ini mula mendapat sambutan selepas hashtag #sunburnart mula dipopularkan di laman-laman sosial seperti Twitter dan Instagram.
Tubuh badan mereka dijadikan sebagai kanvas untuk diletakkan corak atau lukisan yang diingini mereka dan kemudian mereka akan berjemur selama berjam-jam di bawah terik cahaya matahari dan mesin tan kulit bagi tujuan itu.
Selepas itu, badan mereka akan bertukar ‘artistik’ dengan terbentuknya corak unik seperti yang dihajati.
Menurut Persatuan Kanser Kulit Sedunia, trend itu adalah sesuatu yang sangat tidak baik untuk ditiru dan diaplikasikan memandangkan risiko yang bakal dihadapi mereka adalah sangat merbahaya.
“Kami setegas-tegasnya menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti sunburn apa lagi sunburn art. Ianya bukan hanya menyakitkan malah banyak risiko lain yang bakal dihidapi sekiranya perkara itu tidak dibendung.
“Sunburn berisiko melenyapkan DNA kulit, meningkatkan kadar penuaan dengan lebih cepat dan berkemungkinan besar anda berisiko menghidap kanser kulit.
“Menerusi kajian, remaja merupakan golongan yang paling berisiko menghidap kanser kulit,” kata wakil jurucakap persatuan tersebut.
Aktor popular Hollywood Vin Diesel di antara selebriti yang turut mempromosikan sunburn art di laman Twitter baru-baru ini apabila memuat naik gambar sunburn art yang disifatkan satu perkara yang cukup in dan glamor pada masa kini.
No comments
Post a Comment