PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menjelaskan kadar bayaran dikenakan kepada pelanggan di kafe Kopi & Xoxo yang dikongsi bersama empat orang rakannya adalah berpatutan.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, harga dicaj kepada pelanggan adalah bersesuaian dengan lokasi kafenya yang terletak di Bangsar.
"Sebenarnya harga makanan dan minuman di kafe Kopi & Xoxo itu tidak begitu mahal dan orang ramai juga harus faham kerana ia terletak di Bangsar jadi kami harus menanggung kadar sewa yang agak tinggi.
"Barang-barang digunakan juga berkualiti jadi harga yang dikenakan bersesuaian dengan lokasinya," katanya kepada mStar Online.
Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar bayaran dikenakan diKopi & Xoxo kepada pelanggan yang dikatakan mahal oleh sesetengah peminatnya.
Tambah Nora, keuntungan diperolehi juga tidak lumayan seperti mana dibayangkan kerana perniagaan itu masih baharu dan dilakukan sekadar hobi.
"Kami bukan nak kejar untung semata-mata kerana perniagaan ini dibuat sekadar suka-suka jadi keuntungan yang diambil sebenarnya tidak banyak.
"Jadi harga yang dikenakan amat berpatutan dan ia amat sesuai kepada pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, Nora berkata kafe tersebut merupakan hasil perkongsian diantara empat orang rakan baiknya yang mengentengahkan konsep kopitiam.
Tambahnya, konsep itu dipilih kerana ia mudah untuk diuruskan dan dalam masa yang sama ia amat bersesuaian dengan gaya hidup pada masa kini.
"Keputusan untuk memilih konsep kopitiam dilakukan selepas melakukan perbincangan dan konsep tersebut adalah paling ideal kerana ia mudah diuruskan," jelasnya.
Terdahulu Nora dan rakanya melabur hampir RM100,000 untuk membuka kafe berkenaan dan ia merangkumi aspek dekorasi, perabot, konsep dan pilihan menu.
Mstar Online
No comments
Post a Comment