ALOR SETAR: Kenyataan seorang guru yang meminta muridnya minum air kencing sendiri hanya bermaksud untuk berjenaka, kata seorang ahli exco negeri Kedah.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan meminta agar siasatan dilakukan berhubung isu tersebut.
Guru dari sekolah kluster berprestasi tinggi di Sungai Petani dilaporkan meminta murid bukan beragama Islam untuk minum air kencing mereka sendiri bagi menghilangkan rasa dahaga.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kenyataan penolong kanan hal ehwal murid di sekolah rendah tersebut telah disalah tafsir.
"Beliau sebenarnya berkata dalam nada berseloroh.
"Apa yang dikatakannya adalah jangan minum air kencing kamu pula, yang sebenarnya disalah tafsir oleh murid sekolah tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, petang Isnin.
Beliau berkata dengan penjelasan itu, isu tersebut telah diselesaikan dan ia tidak harus menjadi isu politik dan perkauman.
Guru tersebut dipercayai dalam lingkungan 50-an, didakwa membuat kenyataan tersebut semasa perhimpunan pada Ahad.
Surat aduan memperincikan insiden tersebut menjadi viral di laman media sosial.
Kenyataan yang dikeluarkan guru tersebut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ibu bapa yang tampil je sekolah bagi menuntut penjelasan daripada pihak sekolah pada pagi Isnin.
Sekurang-kurangnya 30 ibu bapa membuat laporan polis dan Jabatan Pendidikan Kedah berhubung perkara itu.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dalam satu kenyataan di Facebook berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Kedah memulakan siasatan.
"Mereka kini sedang melakukannya dan kita tunggu keputusannya. Guru akan dikenakan tindakan tegas kerana melanggar peraturan kementerian sekiranya aduan tersebut didapati benar," katanya.
Mstar
No comments
Post a Comment