PETALING JAYA: Pelawak Zizan menyifatkan kontroversi terhadapnya yang muncul silih berganti baru-baru ini bukanlah petanda popularitinya mula jatuh seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 31, berkata, istilah zaman kejatuhan tidak boleh digunakan kerana ia merupakan ketentuan takdir Tuhan terhadap manusia.
"Kita tidak boleh kata seseorang itu sedang berdepan dengan zaman kejatuhan kerana jatuh bangun seseorang itu adalah ketentuan Allah.
"Saya pun tidak boleh bercakap adakah saya melalui fasa kejatuhan atau tidak kerana semua itu adalah rezeki. Dan Alhamdulillah, sehingga kini tawaran kerja masih lagi ada," katanya kepada mStar Online.
Kontroversi Zizan mula tercetus selepas hubungan cintanya dengan aktres Emma Maembong terputus gara-gara kehadiran pihak ketiga pada hujung tahun lalu.
Pelawak itu kemudiannya dituduh sebagai individu yang menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita.
Belum surut tuduhan itu, Zizan dikatakan telah melanggan pelacur ketika berada di Indonesia dan kerana kontroversi yang tercetus tanpa henti, difahamkan stesen televisyen Astro telah merehatkan Zizan daripada muncul dalam mana-mana program stesen televisisyen berkenaan sementara waktu.
Bagaimanapun Zizan kini sedang terlibat sebagai juri tetap program Ceria Popstar menerusi siaran Astro Ceria (saluran 611) dan Maya HD (saluran 135).
Sementara itu Zizan memberitahu, dia enggan kontroversi yang terpalit itu dikenangkan sebaliknya mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni.
"Benda yang lepas biarlah ia berlalu. Saya anggap ia sebahagian dugaan yang perlu dilalui.
"Yang penting saya perlu lalui dugaan-dugaan ini dengan tenang dan pada masa sama fokus terhadap kerja. Saya terima saja sama.orang.luar di sana suka saya atau tidak," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zizan akan terlibat dengan penggambaran super telefilem berjudul Strawberi Karipap untuk siaran Astro.
Mstar Online
No comments
Post a Comment