TENNESSEE – Seorang penari bogel yang sedang hamil didakwa atas tuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia dua bulan. Bayi malang itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan kebuluran pada bulan April tahun lepas.
Brittany Marie Wiest, 21, ditangkap selepas hampir 10 bulan bayi malang itu, Anakin Leroy-Michael Wiest, meninggal dunia.
Dalam kejadian itu, kekasihnya ketika itu, Michael Withers, menghubungi 911 selepas mendapati bayi berkenaan tidak memberikan reaksi balas ketika dikejutkan.
Withers bagaimanapun bukan bapa kepada bayi berkenaan.
Ketika polis tiba di rumah tersebut, bayi itu sudah meninggal dunia. Beratnya ketika lahir hanya enam paun dan ketika ditemui, berat bayi berkenaan hanya sekitar lima paun.
Bedah siasat yang dijalankan sebulan selepas itu mendapati Anakin meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi. Justeru kematiannya dianggap sebagai mati dibunuh.
Wiest kini sedang mengandung 24 minggu dan ia merupakan anak ketiga.
Dalam pada itu, kekasihnya ketika ini, Steve Anderson, berkata, dia amat terkejut dengan apa yang berlaku kepada Anakin.
“Saya tidak tahu mengenainya, Saya tidak berada di situ ketika kejadian berkenaan berlaku. Keutamaan saya ketika ini ialah kebajikan anak dalam kandungannya dan saya mahu mendapatkan hak penjagaan terhadap anak saya kelak,’’ katanya.
Semua anak-anak Brittany mempunyai bapa yang berbeza. Anaknya yang sulung dan berusia dua tahun itu kini diletakkan di bawah pemeliharaan jabatan kebajikan.
No comments
Post a Comment