CAPE ADERA, Antartika – Seorang lelaki memecahkan rekod dunia selepas berjaya berenang di bahagian paling selatan Laut Antartika dengan suhu mencecah -1.7 darjah Celcius di sini baru-baru ini.
Lelaki tersebut, Lewis Pugh yang berasal dari Plymouth, England mengakui misi tersebut amat sukar dan meletihkan lantaran perlu mengharungi air laut yang sejuk.
"Saya tidak pernah berasa sakit seperti ini dan terpaksa mandi air panas selama hampir 50 minit untuk meredakan kesejukan yang dialami selepas berenang," katanya.
Pugh yang juga penaung bagi program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) teruja dengan kejayaannya dan berharap dapat memecahkan rekod lain dengan berenang di Capes Evans yang lebih dikenali sebagai Teluk Ikan Paus dan Pulau Peter I.
Misi itu dilaksanakan di pesisir pantai Cape Adera dengan harapan untuk memujuk para pemimpin dunia supaya mengekalkan keindahan semula jadi kawasan tersebut.
Antartika merupakan benua paling selatan di dunia dan paling berangin. Sebelum ini, angin selaju sehingga 300 kilometer sejam pernah direkodkan di rantau berkenaan. – AGENSI
No comments
Post a Comment