Sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan, The Star dalam satu laporannya hari ini berkata, terdapat sebuah kedai di Bandar Baru Bangi menjual barangan militan tanpa mempedulikan kemungkinan bakal ditahan.
“Saya lakukannya kerana Allah dan oleh sebab saya lakukan untuk-Nya, saya tak perlu takut,” ujar peniaga tersebut kepada pemberita akhbar itu.
Wartawan tersebut turut menceritakan, keadaan luar kedai tidak nampak mencurigakan namun di dalamnya, terdapat pelbagai barangan kontroversi yang dijual.
Antara barangan yang terdapat di kedai tersebut adalah bendera berkonsep militan, topi dan baju. Selain itu, ia juga membekalkan barangan yang memaparkan kumpulan militan terutamanya Negara Jajahan Islam Iraq dan Syria (ISIS) serta taliban.
Menurut peniaga itu lagi, kedainya mula beroperasi sekitar tiga bulan lalu dan barangan yang dijualnya diimport dari Indonesia.
Barangan seperti ‘sticker’ bercorak ISIS dijual pada harga RM5 sehingga RM10 manakala T-shirt ISIS pada harga RM59.
Selain itu, ada T-shirt yang tertulis ‘Mujahideen Cyberspace’ dan ‘We Declared War Against The Zionists’.
“Permintaan tinggi untuk barangan itu serta perniagaan bertambah baik sejak ia dibuka tiga bulan lalu.
Ramai bertanya sama ada kami bimbang menjalankan perniagaan itu selepas diberikan persepsi negatif.
Namun saya diberi jaminan oleh abang saya yang perniagaan ini dijalankan dengan nama Allah dan tiada apa yang perlu ditakutkan.” – MYNEWSHUB.CC
No comments
Post a Comment