DALAM kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang semalam di pusat beli belah Kuantan Parade, pengunjung kompleks beli belah itu terkejut apabila seorang wanita dalam lingkungan 40-an bertindak nekad ingin membunuh diri, dipercayai gara-gara merajuk dengan suaminya.
Wanita terbabit dikatakan naik ke tingkat atas tempat letak kereta pusat beli-belah tersebut selepas mengalami salah faham dengan suaminya.
Suami wanita terbabit yang berusia 45 tahun cuba mengekori dan memujuk, namun mangsa tidak mengendahkannya.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suami mangsa terpaksa mengambil masa hampir setengah jam untuk memujuk isterinya dalam ‘drama’ terbabit.
“Mangsa dikatakan duduk di bahagian tepi tempat letak kereta pusat beli-belah itu dengan niat mahu membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat empat bangunan berkenaan.
“Suaminya berjaya memujuk setengah jam kemudian sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan. Siasatan mendapati, mangsa dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Kes itu dianggap selesai dan tidak membabitkan sebarang kecederaan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani pemeriksaan mental.
No comments
Post a Comment