Cupertino (Amerika Syarikat): Apple Inc mengejutkan penggemar teknologi seluruh dunia hari ini dengan melancarkan jam tangan pintar yang dikenali sebagai Apple Watch, peranti boleh pakai yang menjadikan produk pertama kategori baru sejak melancarkan iPad pada tahun 2010.
Ia menjadi langkah besar Apple kerana masih ramai mempersoalkan kredibiliti syarikat berkenaan selepas kematian pengasas bersama Steve Jobs pada 2011.
Perlancaran yang dibuat secara langsung itu menunjukkan iPhone 6 dan 6 Plus mempunyai skrin yang lebih besar serta ciri terbaru seperti mod tontonan mendatar yang cukup sesuai dengan saiz skrin yang diperkenalkan Apple.
IPhone 6 mempunyai skrin berukuran 4.7 inci, manakala iPhone 6 Plus 5.5 inci. Dalam pada itu, pembina aplikasi akan dapat mereka bentuk app yang boleh dilihat secara berbeza apabila telefon dipegang secara mendatar.
Apple juga memperkenalkan sistem baru bagi menggunakan telefon untuk membuat pembayaran kad kredit di kedai-kedai yang terpilih.
Bagi Apple, iPhone yang menjadi sumber utama keuntungan syarikat itu dapat membantu bersaing dengan peranti Android.
Resolusi skrin model 6 Plus jauh lebih tajam daripada iPhone sebelumnya iaitu 401 piksel per inci dan bukannya 326.
Telefon pintar baru ini tidak sebesar telefon terkini keluaran Samsung iaitu 5.1 inci Galaxy S5 dan 5.7 inci Note 4, namun produk terbaru ini dijangka dapat mengimbangi produk-produk Android yang lain.
Apple berkata, iPhone 6 dan 6 Plus lebih pantas dan mempunyai hayat bateri yang lebih baik daripada model sebelumnya.
Telefon pintar ini juga mempunyai sensor baru iaitu barometer, bagi menganggarkan berapa banyak yang anda memanjat tangga, bukan sekadar sejauh mana anda telah berjalan atau berlari.
Apple masih mengekalkan resolusi kamera pada 8 mega piksel, manakala saingan Android dan Windows telefon telah meningkatkan jumlah piksel berbanding iPhone.
Walau bagaimanapun, kiraan mega piksel bukanlah satu faktor dalam mengambil gambar yang baik.
Apple berkata, sensor baru yang direka semula dapat mengambil gambar yang lebih baik berbanding iPhone sebelum ini.
Apple juga meningkatkan ciri video gerak perlahan dengan 240 frame sesaat, dua kali ganda apa yang ada di iPhone 5s tahun lalu.
Telefon baru ini mula dijual di Amerika Syarikat pada 19 September, dengan pesanan awal bermula Jumaat ini.
Berkenaan dengan harga pula, ia sama dengan iPhone sebelum ini iaitu RM640 dengan kontrak dua tahun bagi model iPhone 6 dengan memori dalaman 16gb bagi pasaran Amerika Syarikat.
Manakala untuk memori dalaman 64gb berharga RM960 dan RM1,280 bagi 128gb. iPhone 6 Plus pula ditambah RM320 iaitu RM960 bagi 16gb, RM1,280 bagi 64gb dan RM1,600 bagi 128gb.
Walau bagaimanapun, harga bagi pasaran di Malaysia masih belum diketahui umum.
Suasana tiba-tiba menjadi riuh dengan tepukan penonton selepas Tim Cook mengumumkan peranti boleh pakai iaitu Apple Watch.
Kebanyakan interaksi antara muka dilakukan menerusi butang dail pada jam tangan pintar itu.
Ia dapat digunakan untuk mengezum dekat atau jauh bagi aplikasi peta dan gambar, supaya pemakai tidak terganggu jika mencubit masuk dan keluar untuk zum.
Difahamkan, jam tangan pintar ini akan hadir dalam pelbagai gaya dan tali dengan pilihan dua saiz.
Walaupun banyak perhatian tertumpu kepada peranti terbaru, sistem operasi yang bakal menjana iPhone baru ini juga dikemas kini kepada iOS8 dan pengguna iPhone 5 ke atas akan dapat memuat turun pada 17 September ini.
Apple Inc mula meperkenalkan iPhone generasi pertama pada 29 Jun 2007 yang hanya menggunakan rangkaian 2G dan sistem operasi iPhone OS 1.0.
Semenjak kemunculan produk ini, mendiang Steve Jobs yang juga CEO Apple pada ketika itu membuat revolusi terhadap produk telefon pintar sekaligus memberi impak yang besar kepada pengguna.
Saban tahun, Apple memperkenalkan iPhone 3G pada Jun 2008 diikuti iPhone 3Gs pada Jun 2009, iPhone 4 pada Jun 2010, iPhone 4s pada Oktober 2011, iPhone 5 pada September 2012 dan dua iPhone iaitu iPhone 5s dan 5c pada September 2013.
Sekalipun legasi Apple bertukar tangan kepada Tim Cook sebagai CEO yang baru selepas kematian Steve Jobs, rata-rata penggemar teknologi tetap berpuas hati dengan produk yang dihasilkan syarikat berkenaan.
No comments
Post a Comment