Wanita Malaysia dipercayai menyertai pasukan kumpulan Negara Islam
Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan Jihad Al-Nikah atau jihad
seksual, kata pegawai kanan risikan kepada The Malaysian Insider.
Pihak berkuasa mengesahkan tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.
Jihad Al-Nikah merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita Sunni
dikatakan menawarkan diri mereka dalam bentuk peranan memenuhi keperluan
seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.
Konsep itu berasal daripada fahaman Wahhabi sekitar 2013, yang menyeru penyokong wanita Sunni untuk tampil melakukan jihad seks dan menyemarakkan moral pejuang terhadap regim Bashar al Assad di Syria.
“Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan
hubungan intim kepada pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan
Islam di Timur Tengah.
“Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin
berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan
kepayahan Isis,” kata seorang pegawai risikan kepada The Malaysian
Insider.
Enggan didedahkan identitinya, pegawai itu berkata seorang wanita Malaysia berlepas ke Timur Tengah pada Disember tahun lalu.
“Wanita itu, berusia 30-an, pergi ke Turki sebelum bertemu dengan
orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui
jalan darat.
“Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai bekerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini,” kata sumber.
Pegawai risikan berkata, bukan wanita Malaysia saja yang melakukan jihad seksual kerana ada juga wanita Islam lain terbabit.
“Pertukaran risikan dengan beberapa negara mendedahkan wanita Islam
Sunni dari Australia dan United Kingdom juga menyertai Isis,” katanya.
Pegawai risikan berkata, Isis mengeluarkan dekri atau edik pada Jun
tahun ini menawarkan pengerahan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual.
“Sebaik saja selepas bandar Mosul di Iraq ditawan pasukan Isis, orang
ramai diarahkan menghantar wanita tidak berkahwin berjihad untuk seks,”
dedah pegawai risikan.
“Dalam pengisytiharannya, Isis mengancam untuk melaksanakan
undang-undang syariah terhadap mereka yang gagal mematuhi edik atau
dekri itu,” kata pegawai berkenaan.
Pegawai risikan berkata, rakan sejawatannya di Britain mendedahkan lebih 600 umat Islam British dipercayai berjuang untuk Isis.
“Jumlah itu termasuk wanita Islam British yang bukan berjuang di
barisan hadapan, tetapi masih terbabit dengan melakukan jihad seksual.
“Pegawai risikan Australia mendedahkan lebih 100 wanita Islam
Australia berada di Syria berjuang di smaping Isis,” kata pegawai
risikan itu.
Walaupun Putrajaya pada awalnya mendedahkan kira-kira 30 rakyat
Malaysia berlepas ke Timur Tengah berjuang untuk Isis, tetapi angka itu
dipercayai sebenarnya lebih tinggi.
“Pemeriksaan yang dilakukan dengan rakan sejawatan kami di luar
negara mendedahkan mungkin jumlah rakyat Malaysia di Timur Tengah
mencecah 50 orang,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Setakat ini, 3 rakyat Malaysia dilaporkan maut di Syria ketika berperang menentang pasukan Presiden Syria Bashar Al-Assad.
Mat Soh, 53, dilaporkan terbunuh selepas dilanggar lori tangki ketika
pertarungan sengit antara Isis dengan pasukan Syria minggu lalu.
Pada Jun, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, mati selepas insiden bunuh diri
yang menyebabkan lebih 20 askar Iraq maut di pangkalan mereka di
Al-Anbar.
Identiti rakyat Malaysia ketiga yang maut dalam satu insiden masih belum disahkan oleh pihak berkuasa di sini.
Sejak konflik di Syria meletus pada Mac 2011, lebih 190,000 kematian
dilaporkan setakat ini, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kejadian pembunuhan paling mengerikan ialah pada 20 Ogos ketika Isis
melancarkan satu rakaman menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan
berjihad, bercakap dengan loghat selatan Inggeris, memenggal kepada
seorang wartawan dan jurugambar warganegara Amerika, James Foley.
Foley ditangkap di Syria pada penghujung 2012. Rakaman video itu menunjukkan beliau dibunuh di kawasan padang pasir.
Video bertajuk ‘Pesanan kepada Amerika’ itu dimuat naik di YouTube
sebagai amaran kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berhubung
serangan terhadap militan di Iraq.
Sebelum dibunuh, wartawan berusia 40 tahun itu dipaksa membaca satu
kenyataan yang menyalahkan Amerika atas kematiannya. – The Malaysian
Insider
No comments
Post a Comment