KUALA LUMPUR: Aktres Liyana Jasmay mengakui akan menetap di Sabah
sepenuhnya hujung tahun ini. Malah beliau yang ditemui hari ini (16
Ogos) pada majlis Aqiqah anaknya Sofia Arissa dan sekali gus
menganjurkan rumah terbuka di kediaman keluarganya di Kemensah tidak
ralat berbuat demikian.
Berlakon di usia remaja, isteri kepada Fathuddin Mazlan sudah
melalui zaman kegemilangannya dan selesa memberi ruang kepada pelapis
baru dalam dunia seni untuk berkongsi bakat mereka. Dalam hal ini,
Liyana sanggup berkorban termasuklah mengorbankan kecintaannya terhadap
dunia lakonan.
"Rumah kami di Sabah masih dalam proses pengubahsuaian. Kata
suami saya, berkemungkinan besar hujung tahun ini depan, insya-Allah
akan lengkap rumah itu untuk didiami. Dalam hal ini, saya tak kisah
untuk korbankan minat berlakon. Tapi kalau ada tawaran yang sesuai saya
tak kisah untuk pulang ke ibu kota.
"Ramadan lalu pun saya pernah terdetik untuk berhenti berlakon dan
memberi perhatian kepada kerja penerbitan di syarikat sendiri, Mermaid
Studios saja. Tengoklah macam mana nanti... belum ada keputusan
muktamad. Saya pun sudah mencapai apa yang diingini dalam kerjaya
lakonan.
"Selama ini pun saya ada juga berulang alik menemani suami ke
Sabah. Suami pun kadang-kadang perlu berulang alik dari Sabah ke Kuala
Lumpur untuk bersama saya dan anak. Jadi untuk memudahkan hal ini saya
perlu menetapkan satu pendirian iaitu berpindah. Lagipun suami saya
bekerja di Sabah," katanya.
Tambah Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH
(ABPBH) 2009, beliau sudah menetapkan syarat dalam lakonan apatah lagi
dengan statusnya sebagai isteri orang.
"Watak yang saya bawa tidak boleh lagi ada babak pegang tangan
atau nampak hubungan intim. Saya perlu bertegas dalam hal ini kerana
hati suami perlu dijaga. Macam produksi sendiri, kalau saya berlakon,
saya boleh letak garis panduan sendiri. Cuma kalau ada produksi luar nak
ambil saya berlakon mereka kena terima syarat itu," katanya.
No comments
Post a Comment