Jalandhar (India): Pengikut seorang jutawan yang juga guru kerohanian tidak membenarkan mayatnya dibakar kerana mendakwa dia sedang bermeditasi di dalam peti beku.
Isteri dan anak lelaki Shri Ashutosh Maharaj yang dipercayai meninggalkan harta berjumlah £100 juta (RM538 juta) memfailkan tuntutan mahkamah untuk menuntut mayatnya selepas berkata dia mati Januari lalu.
Pengikutnya di Divya Jyoti Jagrati Sansthan (Misi Kebangkitan Cahaya Tuhan) menegaskan dia masih ‘bermeditasi,’ dan menggesa pengikut lain mempertahankan ajaran berusia 31 tahun itu dalam apa jua keadaan.
Ashutosh mengasaskan ajaran itu, serpihan daripada agama Hindu pada 1983 dan dipercayai berusia 70-an tahun.
Dia mempunyai pengikut di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Switzerland, Jerman dan juga di Britain.
Menurut laporan, doktor mengisytiharkan dia mati akibat sakit jantung pada 29 Januari lalu, tetapi pengikutnya menolak keputusan itu.
Dengan menegaskan dia masih bermeditasi, mereka menempatkannya di dalam peti beku di Jalandhar, Punjab sementara menanti dia terjaga.
Dan selepas empat bulan, mereka masih menanti.
Dalam pada itu, pengikut Ashutosh berkata, pemimpin mereka berterima kasih selepas menerima banyak panggilan telefon, e-mel dan juga kunjungan peribadi.
Isteri dan anaknya, Dilip Jha, 40, baru-baru ini memfailkan tuntutan di mahkamah bagi menuntut mayat lelaki itu untuk dibakar.
Mereka juga menggesa polis menyiasat kematiannya.
Sebelum ini, pengikutnya didakwa menyimpan mayat guru mereka di dalam peti beku yang dikawal supaya mereka boleh menuntut harta kekayaannya.
Tuntutan itu dibuat selepas seorang lelaki yang mendakwa bekas pemandu Ashutosh memfailkan kes di mahkamah kerana membantah tindakan meletakkan mayat lelaki itu dalam peti beku.
Jurucakap pengikutnya, Misi, Swami Vishalanand berkata dalam sejarah, ramai pemimpin kerohanian mampu bertahan selama beberapa bulan bermeditasi di Himalaya yang dikatakan mempunyai suhu seperti dalam peti beku.
“Dia masih menghantar mesej menerusi pengikutnya melalui meditasi, meminta mereka menjaganya sehingga dia kembali,” kata Vishalanand.- Agensi
No comments
Post a Comment