LOS ANGELES – Seorang penari mengemukakan tuntutan saman ke atas penyanyi Britney Spears kerana menyebabkan hidungnya patah dan gagal membayar bil perubatan ketika dia terlibat dalam pembikinan video muzik `Work Bitch’ pada Ogos tahun lepas.
Penari berkenaan, Dawn Noel berkata, pada hari kejadian, Spears muncul di studio di Woodlan Hills dalam keadaan kusut masai dan wajah seperti keliru.
Spears yang tiba beberapa jam selepas penari tersebut memulakan latihan, dilaporkan mengalami kesukaran untuk mengikut langkah mereka, meskipun pergerakan asas.
Menurut Dawn, dia berdiri di tepi Spears apabila penyanyi berkenaan gagal mengimbangkan badannya menyebabkan tangannya terkena di bahagian muka penari itu.
“Kesannya amat kuat hinggakan semua orang dalam studio boleh mendengar bunyi patah. Ketika saya berada dalam kesakitan yang amat sangat, Britney hanya berpaling dan meminta maaf, sebelum meneruskan latihan.
“Dia tidak mempedulikan apa yang berlaku dan tidak berhati perut.
“Selepas setengah jam, saya tidak dapat menahan kesakitan dan telah menemui doktor, sebelum dimaklumkan bahawa hidung saya patah dan perlu menjalani pembedahan,’’ katanya.
Dawn mendakwa pembantu Spears berjanji untuk membayar bil perubatan, namun selepas beberapa bulan menunggu, mereka gagal membuat bayaran berkenaan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Spears tidak memberikan sebarang komen berhubung isu ini.
No comments
Post a Comment