SEBENARNYA memang penulis susah nak percaya perkara karut-marut, apatah lagi kalau orang bercerita nampak hantu jembalang. Bukan apa, bimbang kalau terlalu percaya, nanti jatuh hukum jadi syirik.
Namun, kalau tidak mahu percaya pun tidak boleh juga sebabnya di dalam al-Quran tertulis, selain manusia, Allah turut menjadikan jin sebagai penghuni bumi.
Perkara ghaib ini selalunya dikaitkan dengan jin jahat atau iblis yang cuba merosakkan manusia dan menghasut supaya menjadi sebahagian daripada mereka di neraka nanti.
Jauh pulak penulis berceloteh membuka kata. Bukan nak bersyarah pada hujung minggu ini, cuma nak berkongsi satu cerita berkaitan perkara misteri atau dalam zaman sekarang ini orang mengkhususkan ia sebagai aktiviti paranormal.
Perkara aneh dan misteri berlaku kepada pelakon genit dan jelita, Elfira Loy yang didakwa dirasuk dan histeria sewaktu menjalani penggambaran drama di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Kisahnya, Elfira bersama dua lagi pelakon, Afiq Muiz dan Mikael Andre keluar minum di kedai mamak selepas selesai penggambaran. Dalam rancak berborak, Mikael berkongsi cerita mengenai pengalaman ngerinya sewaktu menjalani penggambaran filem hantu.
Sewaktu berbual, Elfira dikatakan mula menunjukkan rasa gementar dan takut, tapi Afiq dan Mikael terus berkongsi cerita, jadi banyaklah siri dan sesi cerita hantu diceritakan.
Entah macam mana selepas pulang ke bilik hotel, kecoh Elfira dikatakan mengalami histeria dan menjerit-jerit ketakutan. Perkara itu berlanjutan hinggalah mereka memanggil ustaz berhampiran untuk memulihkannya.
Sebaik sedar, Elfira dikatakan tidak menyedari satu pun perkara yang berlaku kepadanya dan bertanya mengapa tiba-tiba dia berasakan tubuhnya sangat lemah. Gerun penulis dengar cerita begini.
Dalam bab ini, kita tidak tahu apakah Elfira terbawa-bawa kerana terlalu menghayati kisah hantu diceritakan Afiq dan Mikael atau dia sememangnya lemah semangat sehingga memudahkan entiti makhluk harus merasuk tubuhnya.
Sebabnya, hendak diikut-kan, pelakon cilik itu boleh tahan lasak dan tidak mungkin mengalami kejadian seperti diceritakan.
Mungkin juga perkara hendak berlaku. Tak tahulah penulis kalau Elfira sengaja berlakon konon-konon dirasuk dan histeria sebab hendak kenakan Afiq dan Mikael.
Apapun, kita sebenarnya kena berhati-hati apabila berada di tempat orang. Hendak cerita hantu pun tengok-tengok juga. Kata orang, kalau kita bercerita, bermakna kita menyeru mereka datang.
Wallahualam! Hanya Tuhan lebih mengetahui.
No comments
Post a Comment