Georgetown : Polis mengesahkan lelaki ditemui mati di dalam longkang berhampiran asrama Desasiwa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, kelmarin, berpunca akibat kemurungan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan mangsa adalah mahasiswa tahun empat universiti berkenaan dalam jurusan farmasi.
Beliau berkata, mangsa berusia 23 tahun dan berasal dari Lahat, Ipoh, Perak dan tinggal bersebelahan asrama lelaki berhampiran dengan lokasi mayatnya ditemui.
“Siasatan dijalankan mendapati tidak ada saksi melihat kejadian dan melainkan maklumat dari rakan asrama mengatakan mangsa kelihatan murung sejak empat hari lalu.
“Mangsa dipercayai mengalami masalah peribadi dan kerap memencilkan diri sebelum mayatnya ditemui dalam longkang berhampiran tempat letak motosikal,” katanya.
Ismail berkata, berdasarkan siasatan di tempat serta pemeriksaan oleh pakar Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian 22 meter.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa jatuh di atas tanah berhampiran longkang sebelum tergolek ke dalam longkang berikutan kawasan berkenaan curam.
“Pemeriksaan dilakukan menemui lumut di kaki mangsa selain kesan tapak kaki di atas bumbung bangunan membuktikan mangsa terjun dari tempat berkenaan.
“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk selepas jatuh di tempat tinggi dan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah,” katanya.
Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan siasatan diteruskan untuk merakam percakapan rakan dan keluarga mangsa.
Dalam kejadian itu seorang pengawal keselamatan menemui mayat seorang lelaki tanpa identiti di dalam longkang di sebuah asrama lelaki berhampiran tempat letak motosikal.
No comments
Post a Comment