Seoul: Mayat budak lelaki yang mula-mula membuat panggilan kecemasan mengenai tragedi kapal Sewol dipercayai ditemui penyelam semalam.
Budak itu yang hanya dikenali sebagai Choi membuat panggilan telefon kepada pihak berkuasa dengan suara yang bergetar ketakutan.
Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri mengesahkan mayat budak terbabit sebagai Choi berdasarkan baju yang dipakai mangsa. Sumber berkata, identiti budak itu hanya akan disahkan selepas ujian DNA dijalankan.
Sementara itu, penyelam juga berdepan detik memilukan apabila terjumpa mayat sepasang pelajar yang berkongsi jaket keselamatan.
Menurut penyelam itu, dia percaya remaja lelaki dan perempuan itu nekad mahu bersama dan enggan menyelamatkan diri sendirian. “Namun, untuk menarik mereka ke permukaan, saya terpaksa memisahkan pasangan itu.
“Saya tidak mampu menarik mereka secara serentak,” katanya.
Kapal Sewol dalam perjalanan rutin dari Pelabuhan Incheon ke selatan Jeju apabila dilanda musibah pada 16 April lalu.
Daripada 476 orang yang ada di atas kapal berkenaan, 339 adalah kanak-kanak dan guru dari sekolah di Ansan, kawasan pinggir bandar di Seoul yang dalam perjalanan melawat Jeju.
Kerajaan menyatakan jumlah rasmi kematian sehingga petang semalam ialah 171 orang dan lebih 100 yang lain masih hilang.
Hanya 174 orang berjaya diselamatkan.
Sementara itu, sesi pembelajaran di sekolah mangsa ditangguhkan semalam bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan kepada mereka. Sesetengah pelajar meletakkan bunga kekwa putih pada setiap gambar mangsa yang beruniform sebagai tanda ingatan.
Sebahagian yang lain pula menulis pesanan ringkas di atas meja dan papan hitam serta tingkap. Antara pesanan yang menyentuh perasaan ialah: “Jika saya bertemu kamu lagi, saya akan menyatakan betapa saya menyayangi kamu kerana sebelum ini saya tidak memberitahu kamu dengan cukup,” kata seorang pelajar.
Sekolah turut menyediakan sesi terapi untuk pelajar yang pulang dengan selamat. Saya belum menyatakannya dengan cukup sebelum ini.”- Reuters
No comments
Post a Comment