Kebiasaannya wanita memilih untuk bersalin dengan cara berbaring sama ada melalui kaedah normal ataupun pembedahan.
Tetapi, di Peru mereka mengubah tradisi ini dengan mempercayai bersalin secara berdiri memiliki kelebihan tersendiri terutamanya penduduk pribumi Peru.
Menurut salah seorang penduduk, Benigna Condori, dia telah membuat keputusan untuk melahirkan dua bayi terakhirnya di salah sebuah klinik yang membenarkan wanita bersalin sambil berdiri dan bukannya baring.
Selepas lima kelahiran bayinya sebelum ini, Condori memilih untuk bersalin secara berdiri kerana percaya kaedah rawatan tersebut mampu menyelamatkan nyawa ibu dan bayinya daripada mengalami masalah ketika bersalin.
Ini kerana salah seorang rakannya mati ketika bersalin di rumah walaupun cuba diselamatkan oleh beberapa orang bidan.
Lantaran itu, dia memilih untuk bersalin melalui kaedah ini walaupun terpaksa mengatur langkah berjam-jam lamanya melalui pergunungan Andes untuk ke klinik kesihatan yang menggabungkan perubatan moden dan tradisional.
Kaedah bersalin secara berdiri ini sebenarnya telah lama diamalkan oleh penduduk Peru yang terdiri daripada pelbagai etnik khususnya di pergunungan Andes. Ini kerana banyak tembikar-tembikar kuno di pergunungan Andes yang ditemui menggambarkan wanita Peru bersalin dalam kedudukan duduk dan berdiri.
Ketika itu, jarak dan kos pengangkutan menjadi penghalang utama kepada sesetengah wanita yang ingin bersalin.
Bagi kaum lelaki Peru, menghantar isteri mereka ke pusat kesihatan bukanlah budaya mereka. Malah, amalan kelahiran secara tradisional di kalangan masyarakat luar bandar Peru menggalakkan wanita bersalin dalam keadaan mencangkung di dalam bilik gelap dengan dibantu ahli keluarga yang lain.
Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak dipraktikkan secara meluas kerana ia membahayakan nyawa ibu dan anak.
Menurut Menteri Kesihatan Peru, melalui tulisannya di dalam sebuah buku kesihatan, posisi kelahiran menegak boleh menjadi lebih baik kepada wanita kerana dapat mengurangkan tekanan di uterus. Selain itu juga, saluran darah yang besar mampu memberi kesan kepada jumlah oksigen yang sampai kepada bayi.
Posisi duduk atau berdiri semasa bersalin juga mengurangkan masa proses kelahiran dan bersalin. Selain itu, kaedah ini membolehkan si ibu melihat keseluruhan proses kelahiran berlangsung berbanding ketika berbaring.
Di Peru, sekurang-kurangnya 185 orang wanita meninggal dunia dalam setiap 100 ribu kelahiran. Kebanyakan kematian ini berlaku ketika kaum wanita bersalin di rumah.
Disebabkan itu jugalah, Condori tidak mahu mengambil sebarang risiko dan sanggup merentasi pergunungan Andes kerana dirasakan lebih selamat berbanding bersalin dirumah.
Menjelang tahun 2015, kerajaan Peru berhasrat untuk mengurangkan bilangan kematian wanita kepada 66 peratus dalam setiap 100,000 kelahiran, Peru telah membuka 390 buah rumah menunggu bersalin sejak sedekad lalu, di mana wanita dari kawasan perkampungan boleh menetap secara percuma sementara menunggu waktu untuk bersalin.
Menteri Kesihatan Peru menjelaskan, kebanyakan kaedah perubatan tidak sedar mengenai keperluan wanita mengandung, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar yang melihat kelahiran sebagai satu cara semulajadi dan tidak berfikir perubahan kepada posisi bersalin menegak perlu dilakukan.
Walau bagaimanapun, menurut wakil Tabung Kependudukan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) di Peru, Ramirez, wanita Andes biasanya melahirkan anak secara tradisional di rumah dan dibantu oleh nenek, pasangan ataupun bidan. Mereka telah biasa dengan keadaan itu sejak sekian lama dan sukar diubah.
Lantaran itu, kebanyakan pusat kesihatan di Peru sedang membuat perubahan yang membolehkan wanita yang ingin bersalin membawa ahli keluarga sementara menunggu.
Malah, pusat kesihatan tersebut juga membenarkan wanita mencangkung dan duduk ketika proses bersalin.
No comments
Post a Comment