Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Ezlynn Jelajah New Zealand Dengan Basikal
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


SELANTANG nada vokalnya, begitulah juga semangat kesukanan yang membara dalam diri penyanyi dan pelakon terkenal Ezlynn.
Sejak tujuh tahun lalu, Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 33, makin aktif meneruskan aktiviti berbasikal di dalam dan luar negara.
Mendapat sokongan penuh suami tersayang, Adam Fahmy Shamsudin, 38, yang juga pengurusnya, pasangan sejoli ini masih berada dalam percutian mereka di New Zealand selepas Australia. Mereka dijangka pulang ke Malaysia pada 17 April ini.
Kembara terbaru Ezlynn dan Adam itu selama 40 hari bermula sejak 7 Mac lalu. Mereka bermula di Australia selama 10 hari diikuti 30 hari pula di New Zealand yang terkenal sebagai lokasi filem epik Lord of the Rings.

Menceritakan perkara ini kepada RAP, kelmarin, Ezlynn berkata, ini kunjungan kali ketiganya ke Australia manakala yang pertama ke New Zealand. Tentunya pemilihan dua negara itu antara lain disebabkan ada­nya kemudahan trek untuk aktiviti berbasikal dengan ‘mountain bike’.

“Sebagai orang yang sukakan cabaran, kami berdua amat puas melakukan aktiviti berbasikal kerana banyak kemudahan disediakan di sini (New Zealand) seperti ‘bike park’ dan ‘trail’ basikal yang sangat menyeronok­kan dan lengkap.

“Saya bertuah kerana Adam pun sudah biasa dengan selok-belok Australia kerana dia pernah belajar selama empat tahun di sana. Di New Zealand pula, kami sebenarnya me­ngambil kesempatan menyertai ‘Queenstown Bike Festival 2014’.
“Festival terkenal ini memang berlangsung setiap tahun di New Zealand. Percutian kami agak lama di sini dan sebab itu kami menggunakan karavan atau ‘campervan’ untuk menjelajah banyak daerah di pedalaman,” kata Ezlynn.
Menurut Ezlynn, dengan karavan juga mereka dapat menjelajah jauh hingga ke Pulau Selatan New Zealand iaitu hampir 2,000 kilometer perjalanan de­ngan merentasi sembilan bandar bermula di Christchurch hingga ke Queenstown.
Ezlynn berkata, di Sydney dan Melbourne, mereka memilih beberapa tempat seperti di Manly Beach, Manly Dam Trail dan Blue Mountains National Park, St Kilda dan Mt Buller.
“Manakala di New Zealand pula, kami berbasikal di Queenstown Bike Park, Lake Wanaka Trail, Lake Wakatipu Trail, Milford Sound Track, Seven Mile Trail, Deans Bank Trail dan Otago Railway Trail.
“Selain itu, tempat menarik lain yang sempat kami singgah adalah lokasi penggambaran filem Lord of The Rings di Glenorchy, The Chronicles of Narnia serta King Kong bertempat di Southern Alps.
Di samping itu, banyak lagi aktiviti dilakukan Ezlynn dan Adam termasuk meluncur ombak, ‘jungle trekking, berkayak, ‘paragliding’, menaiki bot laju ‘shotover’, bermain ‘luge’ menuruni bukit dan mendaki beberapa bukit setinggi 1,500 meter. Tidak ketinggalan tempat paling menarik dan cantik iaitu Milford Sound, Queenstown dan Dunedin.
“Di Sydney, kami sempat melawat Opera House, Harbour Bridge, Circular Quay, Manly Beach dan Paddy’s Market,” katanya.
Tambah Ezlynn lagi, mereka juga sempat menaiki kereta api dan kapal yang membawa mereka melihat pemandangan sepanjang pantai dan sungai di New Zealand. Di Dunedin, kami dapat melihat spesies penguin biru yang hampir pupus, ikan paus serta anjing laut di tepian pantai serta pulau terpencil.
Mengakui suka melancong, Ezlynn berkata, ia lebih bermanfaat daripada asyik membeli barang atau mengumpul harta benda semata-mata.
“Bagi saya, semua ciptaan Tuhan yang indah itu tidak dapat kita beli dengan wang ringgit. Kami sangat terharu dan bersyukur diberi peluang mengembara dan menyaksikan kekuasaan Allah SWT.
“Sebenarnya setiap tahun kami akan pergi bercuti sekurang-kurangnya sebulan di luar negara dan biasanya Adam akan memilih tarikh sambutan hari jadi saya. Sudah tiga tahun dia meraikan hari jadi saya dengan kembara di luar negara,” katanya.
Apa yang nyata, sepanjang menjalani kehidupan bersama sebagai suami isteri, Ezlynn dan Adam juga sudah melancong ke Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Jepun, Hong Kong, China, Taiwan, Thailand dan Indonesia.
Kenang detik jatuh cinta selepas berbasikal
Mengakui pada awalnya dia menganggap aktiviti berbasikal bukit adalah sukan lasak, Ezlynn berkata, dia sama sekali tidak menyangka akhir­nya turut jatuh hati kepada sukan itu.
“Adam dulu meminati sukan berbasikal sebelum berjangkit kepada saya.
Menurut penyanyi lagu Hye Hye, Bye Bye ini, paling penting, sukan berbasikal itu adalah detik mereka mula jatuh cinta.
Menyifatkan aktiviti berbasikal dapat membantu penjagaan tubuh badan serta mampu me­ngekalkan berat badannya, Ezlynn berkata, selepas beberapa lama berkayuh, dia mulai sedar yang aktiviti itu juga dapat mendekatkan dia dengan alam sekitar.
Setakat ini, pelakon filem Zombi Kampung Pisang itu memaklumkan dia mempunyai enam basikal iaitu lima jenis basikal ‘mountain bike’ termasuk Yeti, Scott dan Giant serta satu jenis basikal ‘chopper’ Schwinn.
Mengimbau semula pembabitan awalnya, Ezlynn berkata, mula-mula dia hanya membeli basikal yang asas saja dengan harga sekitar RM1,000 ke RM2,000.
Katanya, dengan basikal itu dia dapat membuat aktiviti berbasikal di dalam hutan.
Bagaimanapun, selepas hobi bertukar menjadi minat, dia turut membiasakan diri dengan proses mengubah suai dan menukar peralatan basikal kepada lebih berkualiti sehingga sudah melaburkan sekitar RM40,000 hingga RM50,000 untuk semua basikalnya.
Ezlynn dan Adam bercadang melancong pula ke negara Eropah seperti Itali dan Sepanyol. Kini dia masih dalam ‘mood’ merehatkan diri selepas berbulan-bulan memberi komitmen pada latihan teater Royal Arts Gala yang akan dipentaskan tidak lama lagi. – Metro

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments