WASHINGTON - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan melengkapkan analisis data dari simulator penerbangan yang diambil dari rumah juruterbang pesawat MH370 yang hilang, menurut pengarah agensi dari Amerika Syarikat itu, Rabu.
Pegawai-pegawai dari Malaysia telah meminta FBI untuk membantu mendapatkan kembali fail yang telah dipadam dari cakera keras simulator berkenaan.
Ketua FBI James Comey memberitahu mereka yang berkepentingan bahawa pakar-pakar telah bekerja ‘sepanjang 24 jam’ untuk menyelesaikan analisis dengan harapan data yang diperolehi boleh menyediakan petunjuk tentang apa yang berlaku kepada penerbangan MH370 yang hilang 8 Mac lalu dengan 239 penumpang dan anak kapal di dalam pesawat.
Malaysia “memberi kepercayaan terhadap kemampuan teknikal kami yang melibatkan penggunaan komputer forensik tertentu. Kerja-kerja itu sedang berterusan,” Comey memberitahu mesyuarat jawatankuasa kecil Dewan bagi membincangkan anggaran bajet FBI bagi 2015.
“Saya tidak mahu mengatakan lebih lanjut mengenai perkara itu dalam suasana terbuka, tetapi saya berharap ia dapat dilakukan dalam masa tidak lama lagi.”
Polis Malaysia mengeluarkan simulator dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah hampir dua minggu lalu, selepas penyiasat berkata mereka percaya Boeing 777 secara sengaja telah mengubah laluan dari laluan asal.
Malaysia pada Isnin mengumumkan terdapat bukti data menunjukkan pesawat terhempas di selatan Lautan Hindi.
Comey tidak menyatakan sama ada hasil analisis akan didedahkan kepada awam. – AFP
No comments
Post a Comment