SEBENARNYA nak cerita malu, tapi kalau tak luahkan isi hati ini, rasanya kami boleh jadi sakit jiwa, sebab kami dah tak tahan lagi dengan perangai ayah semakin tua makin menjadi-jadi miang keladinya, sampaikan satu sekolah tempat ayah mengajar dah tahu. Tapi ayah langsung tak malu bercinta kalah orang muda, semakin di nasihati semakin dia tunjukkan perangai buruknya pada kami.
Bayangkan ayah boleh bercinta dengan kekasihnya dalam telefon depan emak dan kami semua, supaya kami dengar. Hinggakan saudara mara yang mendengar pun geleng kepada. Itu cerita Fatin Najwa dalam e-mel pendek dan seterusnya ketika kami berbual panjang beberapa kali di telefon baru-baru ini.
Seingat saya sejak dulu ayah suka kerja di daerah lain jauh dari rumah kami, ayah balik seminggu atau dua minggu sekali, ayah tak beri emak ikut, susah katanya, sebab kami bersekolah, dan emak bekerja. Jadi ayah suruh emak duduk rumah.
Balik sesekali bukan ayah lekat kat rumah, sibuk bergayut di telefon awam, dia tak guna telefon rumah, sebab tak mahu emak dengar. Bila cuti sekolah ayah balik rumah, sebab dia guru dan dia ambil berat pelajaran kami sambil keluar masuk buat panggilan telefon.
Saya tahu ayah ada sahabat pena. Bukan itu saja, kekasih pun ada yang satu sekolah, satu jabatan dengan kerani sekolah pun ada. Dalam adik-beradik saya bertiga, sayalah paling berani tegur perangai ayah. Kakak-kakak tak berani, katanya berdosa cakap kasar dengan ayah, tapi mereka selalu kutuk di belakang ayah, tak berdosa?
Saya jenis tak suka cakap belakang, saya nampak perangai ayah tak betul saya tegur walaupun saya selalu kena tengkeng. Emak pun saya nasihatkan, jangan merungut dan menangis di belakang ayah, kalau tak suka perangai ayah cakap depan-depan, tapi kata emak sabar, satu hari nanti ayah berubah. Malangnya sekarang umur ayah dekat 60 tahun bukannya berubah, malah menjadi-jadi miangnya hinggakan isteri orang pun dia layan.
Peliknya, si isteri orang ini Qas umur dah lebih 40 tahun, ada anak tiga orang, dia tak rasa malu langsung setiap hari datang sekolah, konon hantar dan ambil anak, bukan anaknya tahun satu dah tahun tiga nak hantar lagi ke? Tujuan sebenarnya nak goda ayah. Peliknya suami Qas tak marah, sanggup biarkan isterinya duduk di sekolah hingga tak masak di rumah.
subahat
Saya rasa suaminya tak marah sebab dia izinkan isterinya pergi makan angin tiga malam ke Genting siap bergambar dengan ayah. Takkan dia tak tanya isterinya pergi mana, tinggalkan anak dan dia siap ambil cuti jaga anak-anak di rumah.
Mulanya saya tak tahu perangai ayah tapi guru sekolah tempat ayah mengajar beritahu, mereka tak mahu bersubahat. Untuk kepastian, saya intip ayah. Saya selidik siapa Qas dan suaminya. Memang tak boleh nafikan. Akibatnya emak dapat penyakit jantung.
Saya pernah curi tengok telefon ayah tertinggal ketika dia mandi. Terkejut berok bila saya tengok gambar-gambar ghairah Qas tak berbaju berlengkar atas katil dengan ayah. Saya tau Qas ambil gambar tu, sebab ayah memang tak pandai gunakan telefon canggih.
Emak selalu menangis, tapi tak berani tanya ayah. Dia selalu cerita perangai ayah, bila saya naik angin, emak suruh saya sabar, berdosa lawan ayah. Jadi apa sebenarnya emak mahu? Saya beritahu emak, perangai ayah semakin buruk berpunca daripada sikap emak, sebab terlalu takut dan puji ayah setengah mati, hinggakan ayah selalu ugut nak terajang emak.
Kerana dah tak tahan perangai buruk ayah, ada seorang dua guru telefon kakak dan saya suruh emak datang, tapi kami tak beri, sebab emak sakit jantung. Saya pernah lihat kereta ayah di rumah Qas. Bila mereka keluar, saya tanya anak Qas mana emak dan ayahnya.
Kata anaknya emaknya keluar, ayahnya pergi kerja. Saya tanya lagi mereka tahu tak emaknya isteri orang tak boleh berjalan dengan suami orang. Berdosa. Bila emaknya balik, mereka beritahu ayah saya dan Qas, apa lagi, ayah mengamuk sakan tuduh saya campur urusannya. Saya mengaku sebab nak sedarkan ayah tak baik buat skandal dengan isteri orang, akibatnya teruk saya kena penampar dan penumbuk ayah.
Saya bukan budak kecil, dah 22 tahun. Tetapi kena pukul sebab cuba nasihatkan ayah. Sejak itu perangai ayah bertambah teruk lagi, seolah-olah mencabar saya dan emak, apa kami boleh buat kalau dia berasmara dengan kekasihnya di telefon. Ayah langsung tak ada perasaan segan silu. Lebih menyedihkan ayah sudah lupa solat. Jangan kata solat lima waktu, solat Jumaat pun dia tak buat, asyik keluar makan dan shopping dengan Qas.
Saya tahu ayah ada banyak duit, sebab dia tak tanggung lagi makan minum kami, semua emak uruskan. Jadi duit lebihannya dia belikan telefon canggih, laptop untuk kekasihnya dan anak-anaknya. Peliknya suami Qas tak marah. Ini bukan kali pertama Qas ada skandal dengan suami orang. Dia cerita keseronokannya dalam FB, dia bangga kerana dapat ayah jauh lebih baik daripada kekasih lamanya.
Ayah tak tahu guna telefon canggih, tapi Qas suruh belajar. Nak hantar SMS tulisan halus mata ayah dah kabur kerana penyakitnya. Tapi ayah tak malu dia guna kanta pembesar untuk taip dan baca SMS. Saya pernah sindir ayah, kalau mata dah kabur ingatlah diri dah tua tak payah SMS lagi, belajarlah pergi ke masjid.
Sekarang ayah makan ubat double steam cell supaya nampak muda, kulit cerah dan lawa. Ayah tak tahu pasal benda-benda tu, tapi Qas suruh ayah makan supaya ayah kekal muda dan dia boleh kikis duit ayah lagi. Itu cerita FatinNajwa.
Utusan
No comments
Post a Comment