PENGENALAN
Orang-orang Melayu adalah pelayar ulung yang telah mengembangkan pengaruh mereka di Nusantara menerusi beberapa empayar maritim yangpernah mereka terajui.
Kedatangan penjajah Barat bermula dari kurunke-16 telah secara perlahan menghakis kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu ini sehingga akhirnya seluruh dunia Melayu terjajah.
Walaupun ditindas dan dijajah beratus tahun lamanya, sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu mempunyai semangat kebangsaan dan jati diri yang tinggi untuk menentang penjajah.
Artikel ini memberi fokus kepada antara empat peperangan menentang penjajahan yang terbesar dalam sejarah Nusantara iaitu Perang Kedah-Siam (di Tanah Melayu), Perang Kastilla (di Borneo), Perang Menteng (di Sumatera) dan Perang Gowa (di Sulawesi).
PERANG KEDAH-SIAM
Perang Kedah-Siam meletus sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pada kurun ke-19. Armada Siam pada waktu itu belayar ke Kuala Kedah dengan alasan untuk mendapatkan bekalan makanan bagimenghadapi serangan tentera Burma yang sedang memerangi Siam.
Orang-orang Kedah tidak mengetahui tujuan sebenar lawatan tersebut dan menyambut kedatangan armada Siam itu dengan meriah.
Sesudah berlabuh di Kedah, tentera Siam melancarkan serangan mengejut yang seterusnya melumpuhkan Kedah. Seramai 1,000 rakyat Kedah telah dijadikan tawanan perang dan dihantar sebagai buruh paksa ke Bangkok. Sultan Kedah terpaksa berundur ke Prai sebelum melarikan diri ke Pulau Pinang dan diberikan perlindungan oleh kerajaan negeri-negeri Selat yang ditadbir British. Kedah telah secara rasmi dijadikan jajahantakluk Siam pada tahun 1821 dan menerima pentadbiran secara langsung dari Bangkok.
Penjajahan ini meletuskan beberapa siri gerakan pembebasan anjuran bangsawan-bangsawan Kedah. Serangan pertama dilancarkan pada tahun 1826 tetapi berjaya dipatahkan Siam dengan bantuan British.
Tengku Kudin melancarkan serangan lagi pada tahun 1831 dan berjaya mengalahkan Siam. Namun kemenangan ini tidak kekal dan pasukan Tengku Kudin terpaksa berundur apabila Siam melakukan serang balas dan mengambil semula kota Kuala Kedah.
Walaupun mengalami kekalahan yang berpanjangan dan sekatan daripada pihak British yang bersekongkol dengan Siam, ini tidak langsung mematahkan semangat juang Melayu Kedah.
Pada tahun 1839, setelah menyusun strategi peperangan yang mantap, angkatan Kedah menyerang balas dan berhasil mengusir Siam dari Kedah dan seterusnya membebaskan Pattani serta Songkhla dari penguasaan Siam.
Kekalahan yang memalukan ini telah menconteng arang di wajah pemerintah Siam dan satu angkatan peperangan yang besar dengan persenjataan moden dan dibantu pihakBritish telah dikerahkan ke Kedah. Akhirnya, Kedah telah jatuh ketangan Siam kembali dan ditukar namanya kepada Syburi.
Sultan Ahmad Tajuddin yang tidak rela negerinya mengalami nasib yang sama seperti Pattani yang telah dihapus kesultanannya, telah mencuba memperbaiki hubungannya dengan Raja Siam melalui beberapa siri perbincangan diplomatik.
Pada tahun 1842, takhta Sultan Kedah telahdikembalikan oleh Raja Siam kepada baginda Sultan Kedah dan kesultanan Kedah kekal sehingga hari ini sebagai sebuah institusi kesultanan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Catatan sejarah ini menunjukkanorang-orang Melayu Kedah mempunyai semangat juang yang sangat tinggi. Jika pihak Siam tidak dibantu oleh British, berkemungkinan besar Siam tidak dengan sesenang itu dapat menjarah bumi Kedah yang berdaulat.
Perjuangan menentang penjajahan ini telah dipandang tinggi oleh seorang pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn yangmenyatakan:
'Seperti anjing, orang-orang tempatan di pesisir Semenanjung India menjilat tangan yang mendera mereka; tetapi tidak untuk orang Melayu; dan kita orang-orang Inggeris harus menjadi bangsa yang pertama memberi penghormatan kepada sebuah bangsa yang tidaksewenang-wenangnya tunduk kepada penjajahan dan penindasan'.
PERANG MENTENG
Perang Menteng di Palembang, Sumatera meletus pada 12 Jun 1819 sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Badaruddin II (1803-1821). Palembang pada ketika itu telahpun berkembang menjadi sebuah kerajaan yang tidak kurang makmurnya hasil daripada galian bijih timah dan tanaman lada.
Belanda telah melantik seorang pesuruhjaya bernama Edelheer Mutinghe untuk mengawal selia pentadbiran kawasan tersebut. Mutinghe berkeras untuk tidak mengiktiraf pemerintah tempatan dan mengambil inisiatifnyasendiri untuk mencabar kedaulatan Sultan Palembang dengan memaksa baginda mengakui ketuanan Belanda.
Tidak berpuas hati dengan keangkuhan Mutinghe, penduduk tempatan yang menyokong Sultan Mahmud memulakan serangan yang telah membunuh ramai askar Belanda. Belanda kemudiannya menyerang balas dengan mengirimlebih ramai askar ke Palembang dengan misi penjajahan tetapi sekali lagi, mereka telah dimalukan.
Untuk menguatkan lagi pertahananPalembang, Sultan Mahmud telah mengarahkan pembinaan 'Benteng Kuto Besak' (Kota Besar) bagi menangkis serangan Belanda yang kemudiannya dilancarkan pada 30 Oktober 1819.
Menyedari kekuatan Palembang, pihak Belanda telah melakukan kerja-kerja pengintipan menerusi pedagang Arab dan pedagang Cina,tetapi tetap gagal menguasai Palembang pada awal tahun 1821.
Sewaktu terjadinya perang, kedua-dua pihak Belanda dan Palembang telahbersetuju untuk tidak melakukan serangan pada hari Jumaat dan Ahad bagi menghormati hari suci agama Islam dan agama Kristian. Tetapi Belanda dengan licik telah melanggar perjanjian ini dengan menyerang Palembang secara mengejut pada 24 Jun 1821 yang seterusnya melumpuhkankesultanan ini.
Keesokan harinya, Sultan Mahmud Badaruddin II dan keluarganya telah dihantar ke Batavia (Jakarta) dan seterusnya dibuang negeri ke Ternate sehingga baginda mangkat pada 26 September 1852.
Belanda yang menyerang dengan cara penipuan ini telah menghancurkan sama sekali kesultanan Palembang; jika tidak, Palembang mungkin akan kekal sebagai sebuah kerajaan berdaulat di Sumatera pada ketika ini
PERANG KASTILLA
Sepanyol dan kesultanan Brunei pernah terlibat dalam suatu peperangan yang dianggap antara yang terbesar di dalam sejarah Nusantara iaitu Perang Kastilla. Pada tahun 1576, gabenor Sepanyol bernama Franciscode Sande bersama pengikutnya telah belayar ke Brunei untuk menghadap Sultan Saiful Rijal.
Objektif utama mereka adalah untuk menjalinhubungan baik dengan Brunei dan untuk mendapatkan kebenaran mengembangkan ajaran Kristian di wilayah kesultanan ini. Francsico juga menuntut Brunei untuk menghentikan penyebaran Islam di kepulauan Filipina.
Sultan Saiful Rijal menolak permintaan Francisco dan akibat daripada itu, pihak Sepanyol melancarkan peperangan ke atas Brunei pada tahun 1578.
Ekspedisi peperangan menentang Brunei ini melibatkan 2,200 bala tentera. Kota Batu, ibukota Brunei ketika itu telah ditawan pada 16 April 1578 mengakibatkan Sultan Brunei terpaksa melarikan diri ke Jerudong bagi mengatur serangan balas bagi menghalau Sepanyol keluar dari Kota Batu.
Setelah berjaya mengumpulkan kekuatan, serangan telah dilancarkan oleh Bendahara Sakam dengan penuh semangat keberanian danakhirnya beliau berhasil mengusir Sepanyol dari bumi Brunei pada 26 Jun 1578 - 72 hari setelah Brunei dijajah Sepanyol. Tentera Sepanyol telah dikejar oleh bala tentera Brunei sehingga mereka lari ke Sabah.
Jika tidak kerana keberanian dan semangat juang yang tinggi pasukan tentera Melayu Brunei, Brunei mungkin akan menjadi sebahagian daripada wilayah takluk Sepanyol di Timur. Sehingga hari ini, Brunei kekalsebagai sebuah kesultanan yang berdaulat yang masih mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB).
PERANG GOWA
Sultan Hasanuddin Tumenanga Ri Balla Pangkana adalah seorang pemerintah yang disegani yang pernah bertakhta di Gowa, kesultanan yang kini menjadi sebahagian dari sejarah terpenting rakyat Sulawesi.
Baginda memerintah dari tahun 1653 sehingga 1669, sewaktu Belanda mencuba keras untuk menguasai wilayah ini dengan Gowa merupakan satu-satunya kesultanan di Indonesia Timur yang masih lagi merdeka.
Pada tahun 1666, Syarikat Hindia Timur Belanda yang dipelopori Kapten Cornelis Spellman bertindak untuk menguasai kesemua kerajaan di Indonesia Timur untuk memonopoli perdagangan rempah. Walaubagaimanapun, Belanda gagal untuk menjajah Gowa.
Untuk menangkis pencerobohan Belanda, Sultan Hasanuddin memperkuatkan kekuatan tentera kerajaannya untuk menghadapi Belanda. Pihak Belanda juga telah mendapatkan bantuan tentera dari ibu kotanya di Batavia.
Sebanyak 250 buah kapal Gowa belayar dari Pelabuhan Galesong ke laut Banda dan armada Belanda pula diketuai oleh Laksamana Monte Maranno. Peperangan berterusan selama 3 tahun mengakibatkan kerugian yang besar pada kedua-dua pihak. Akhirnya, serangan terakhir Belanda pada 12 Jun 1669 telah melumpuhkan kota Sombaupu dan Gowa akhirnya terjajah.
Sultan Hasanuddin kemudiannya diturunkan takhta dan mangkat setahun kemudian pada 12 Jun 1670. Keberanian Sultan Hasanuddin menentang penjajahan disanjung tinggi bukan sahaja oleh rakyat Makassar tetapijuga oleh Belanda yang memberikan jolokan De Hanntjes van Het Oosten (Ayam Jantan dari Benua Timur) kepada Baginda.
Gowa kekal sebagaitanah jajahan Belanda sehingga merdeka di dalam Indonesia pada tahun 1950.
KESIMPULAN
Bermula dari kurun ke-16 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu telah secara sedikit demi sedikit dijajah oleh kuasa-kuasa luar seperti Belanda, Sepanyol, British dan juga kuasa serantau, Siam.
Biarpun dijajah dan tanahair mereka dijarah, sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa rumpun Melayu ini tidak dengan mudah menyerah tanpa sebarang penentangan. Kisah 'empat perang' yang dibincangkan ini iaitu, Perang Kedah-Siam, Perang Menteng, Perang Kastilla dan Perang Gowa telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu telah memberikan penentangan yang kuat dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi dalam mempertahankan tanahair mereka daripada penjajahan.
Kesultanan Brunei yang masih wujud sehingga kini adalah peninggalan warisan Melayu yang boleh dibanggakan di Nusantara - walaupun telah secara sementara dijajah Sepanyol, kerajaan ini terus kekal sehinggakini sebagai sebuah negara Melayu Islam berdaulat yang merdeka.
Maka, orang-orang Melayu harus melihat sejarah episod penjajahan ini bukansebagai suatu alasan untuk menjadi layu, tetapi sebagai suatu semangat bagi membina jati diri untuk berusaha maju ke hadapan dalam membina negara-negara rumpun Melayu yang telah merdeka, tidak kira di Malaysia, Brunei ataupun Indonesia.
No comments
Post a Comment