London: Dua individu yang menghantar mesej ancaman kepada aktivis wanita Caroline Criado-Perez melalui Twitter semalam dijatuhi hukuman penjara.
Isabella Sorley, 23, dari Newcastle-upon-Tyne dipenjara 12 minggu, manakala John Nimmo, 25, dari selatan Shields dipenjara lapan minggu.
Caroline berkata, dia berasa lega selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mesej itu diterimanya Julai tahun lalu selepas dia mengetuai kempen
di media sosial agar tokoh wanita ditampilkan pada not kertas Bank of England.
Nimmo turut menyasarkan Ahli Parlimen Parti Buruh, Stella Creasy yang
juga tokoh berprofil tinggi yang menyokong kempen berkenaan.
Mahkamah diberitahu satu daripada mesej di Twitter itu berbunyi: “Pergi mati kamu. Pergi bunuh diri.” Isabella dituduh menghantar mesej yang berbunyi: “Saya baru keluar dari penjara dan gembira untuk menanam kamu!” Hakim Howard Riddle berkata, kedua-dua mangsa hidup dalam ketakutan selepas menerima mesej berkenaan. Caroline dikatakan ketakutan setiap kali loceng rumahnya berbunyi, manakala Stella memasang butang kecemasan di kediamannya sejak mendapat mesej ugutan itu. Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Isabella, individu lepasan universiti turut disabitkan dengan 25 pertuduhan sebelum ini terutama kesalahan mabuk dan salah laku. Ketika diikat jamin untuk kes itu, dia juga melakukan dua kesalahan menyerang anggota polis.
Bagaimanapun, peguamnya Sean Caulfield berkata, anak guamnya itu menjadi mangsa kepada teknologi baru kerana Isabella dikatakan tidak memahami kesan perbuatannya terhadap orang lain. Isabella dikatakan menghantar mesej dengan tujuan untuk berseronok. - Agensi
No comments
Post a Comment