Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi



Selepas kejadian pelik ribuan ikan tamban mendarat di Pantai Tambisan, Lahad Datu minggu lalu dan penyebaran berita palsu tentang pendaratan ikan dan ketam di pelantar minyak Perairan Terengganu, kini kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Pantai Jeddah, Arab Saudi. Punca kejadian tidak pula diketahui.


Tanpa dinyatakan tarikh dan masa kejadian ini berlaku, satu video rakaman tentang pendaratan ribuan ikan tuna di pantai berkenaan kini sedang berlegar-legar di Youtube. Dalam video itu, kelihatan penduduk kawasan pantai terbabit berpusu-pusu memunggah ikan-ikan tuna.

Dua gempa bumi berlaku di Selatan Semporna - Untuk informasi penduduk di Sabah, dua kejadian gempa bumi dilaporkan berlaku sekitar lewat malam tadi, 29 Disember 2013, di bahagian Selatan daerah Semporna, Sabah.

Kejadian ini disahkan sendiri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) menerusi Fanpage Facebook mereka. Bagaimanapun, MMD mengesahkan tiada ancaman serangan tsunami diramal berlaku buat masa ini.

Gempa Bumi berukuran 5.6 skala Ricther Jam 11.37PM


Gempa Bumi berukuran 5.0 skala Ricther Jam 10.53PM


KEADAAN cuaca tidak menentu dan bencana alam semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perubahan kecondongan paksi bumi.
Selain itu, pemanasan global juga dikatakan turut mengubah lokasi geografi kutub bumi menurut kajian Geophysical Research Letters.
Laporan penyelidik Universiti Texas, Austin mendedahkan, pencairan bongkah ais semakin meningkat di Greenland menyebabkan kedudukan Kutub Utara berubah beberapa sentimeter pada setiap tahun sejak 2005.
Difahamkan, bermula 1982 hingga 2005, kutub tersebut berubah secara perlahan dari tenggara ke bahagian utara Labrador, Kanada pada jarak kira-kira 2 milliarcsecond atau 6 sentimeter setahun.
Sejak 2005, kutub mula bertukar haluan dan bergerak ke arah timur Greenland pada jarak lebih 7 miliarsecond setahun.
Kumpulan saintis telah sekian lama mengetahui bahawa lokasi kutub bumi tidak tetap dan ia juga menjadi penyebab musim menjadi tidak menentu seperti yang berlaku pada ketika ini.
Selain itu, pencairan ais juga menjadi punca utama paras air meningkat kepada lebih 90 peratus akibat daripada anjakan kutub pada 2005.

Medan Magnet Bumi Berganjak
Pada 2011, medan magnet bumi dilaporkan berganjak pada jarak 64 kilometer setahun, dan saintis menyifatkan ia sebagai fenomena normal yang berlaku sekali pada setiap 100,000 tahun.
Keadaan itu menyebabkan arah kompas berubah dan berkemungkinan tidak lagi menghala ke arah Kutub Utara berikutan kutub kini telah berganjak dari utara Kanada menghampiri ke Rusia.
Susulan daripada perubahan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa di pantai barat Florida terpaksa melakukan pengubahsuaian terhadap tanda arah di tiga landasan berdasarkan anjakan medan Kutub Utara.
Saintis menganggarkan pada setiap lima hingga 10 tahun, arah kompas akan berubah akibat anjakan kutub bumi.
Bagaimanapun, pendedahan pada pertengahan tahun lalu yang turut dimuat naik ke dalam Youtube menunjukkan Kutub Utara berganjak 260 kilometer dalam tempoh enam bulan.
Perubahan itu menyebabkan medan magnet bumi beralih dari Kanada ke Siberia dalam tempoh kurang daripada 24 bulan.
Apabila peralihan tersebut berlaku, kutub akan berada pada kedudukan 40 darjah merentasi hemisfera utara.
Menurut Conall Mac Niocaill, seorang saintis di Universiti Oxford, medan magnet bumi semakin lemah dan ia telah berganjak lebih 1,500 km sejak berabad lalu.
“Kekuatan medan magnet Kutub Utara berkurangan 10 peratus sejak 150 tahun lalu.
"Setiap 250,000 tahun sekali, medan magnet ini akan berubah arah ke selatan dan fenomena tersebut dipercayai kali terakhir berlaku kira-kira 800,000 tahun lalu iaitu sebelum kewujudan manusia,” katanya lagi.
Sehingga kini, saintis gagal menemui jawapan bagaimana fenomena penyongsangan medan magnet itu terjadi.

Waktu Lebih Singkat
Ahli geofizik Nasa, Richard Gross mendedahkan, kadar putaran bumi menjadi lebih cepat kira-kira 1.8 mikrosaat akibat gempa berkekuatan 9.0 skala Richter yang melanda Jepun pada 2011.
“Gempa kelima terkuat di dunia sejak 1900 itu juga menyebabkan waktu sehari yang sepatutnya bersamaan 24 jam menjadi lebih singkat tanpa disedari masyarakat,” katanya.
Difahamkan, gegaran dahsyat tersebut mengakibatkan kepulauan Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di bawah dasar laut sepanjang ratusan kilometer selain paksi bumi berubah pada jarak hampir 10 sm.
Ahli Geofizik Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Kenneth Hudnut memaklumkan, peta dari Lembaga Maklumat Geospatial (GSI) menunjukkan terdapat corak peralihan melibatkan kawasan yang besar selepas gempa berlaku


Penurunan jualan disebabkan kalangan masyarakat Muslim di Jepun sudah tak mahu lagi menikmati makanan hamburger syarikat tersebut yang diperbuat daripada babi yang bererti minyaknya pun adalah minyak babi.

Harga jualan McDonald 's di Jepun sudah sangat rendah saat ini sehingga mencapai 100 yen per satu hamburger. 

McDonald 's merupakan restoran makanan segera francais terbesar di dunia yang ditubuhkan pada 15 Mei 1940. Restoran ini melayani 68 juta pelanggan setiap hari di 119 negara.


SHAH ALAM - Kemelut kenaikan beberapa harga barangan keperluan harian rakyat Malaysia pada masa kini turut mendapat bantahan daripada golongan artis.

Antara artis yang tidak menyokong tindakan tersebut adalah pelakon wanita jelita Diana Danielle, yang berasa janggal sekiranya ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang suka dengan berita tersebut.

"Ada ke rakyat yang suka barang naik? Amboi... Banyak duit... Pas sikit...,” katanya dipetik menerusi laman mikro Twitternya.

Sementara itu, pelantun lagu Terlalu Istimewa Adibah Noor turut berbalas tweet dengan Diana Danielle dengan mengatakan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut akan membebankan rakyat.

“GST lagi weh…lariiiii,” katanya.

Sejak kenaikan harga petrol dan diesel, pemilik kenderaan yang dulu hanya membayar RM1.85 seliter untuk petrol RON95 dan RM2.10 seliter bagi RON97 pada Julai lalu kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.50.

Sementara harga bawang kecil dari India yang dijual pada harga RM4 sekilogram (kg) bulan lalu kini dijual pada harga RM14 di beberapa tempat. Pada masa sama, harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan juga naik.

Dengan kadar kenaikan yang begitu kerap ada yang berputus asa dan berharap harga akan stabil. Pada masa kini, pengguna hanya membayar sahaja tanpa banyak soal kepada peniaga atau penyedia perkhidmatan kerana beranggapan harga mungkin akan naik lagi pada hari berikut.

Manakala GST pula akan diperkenalkan oleh kerajaan bermula pada 1 April 2015, dengan kadar permulaan sebanyak 6 peratus.


Sumber: Sinar Harian

Beirut : Empat pemuda di Beirut , Lubnan sedang berpose untuk foto selfie gambar diri sendiri , biasanya dengan telefon pintar atau webcam untuk dimuat naik ke media sosial .

Sama sekali tak sedar , mereka berada di depan sebuah kereta bermuatan bahan letupan . Sesaat kemudian , bom kereta itu meletup . Seorang di antara mereka , yang berjaket merah , cedera parah dan akhirnya meninggal dunia .

 " Jumlah mangsa meninggal meningkat menjadi 7 orang . Setelah kematian seorang pemuda bernama Mohammad al - Chaar pagi ini , kecederaannyaterlampau parah . Dia meninggal di Hospital Amerika di Beirut , " demikian dilaporkan pejabat berita Lubnan , NAA , seperti yang dilaporkan oleh News.com . au , ahad ( 29/12/2013 ) .



Beberapa saat selepas bom meletup , seorang jurugambar agensi berita melihat Mohammad al - Chaar terbaring di kaki lima . Kepala remaja 16 tahun itu berlumuran darah . Dia yang cedera parah segera dibawa ke hospital.

Chaar dikenalpasti di dunia maya sebagai salah satu daripada empat pemuda yang kelihatan bergambar selfie , yang fotonya dipaparkan di rangkaian media sosial , di depan kereta yang meletup beberapa saat kemudian .

Foto itu kemudian merebak di internet . Pengesahan kematiannya mengundang belasungkawa dari para netizen di laman sosial media seperti Facebook dan Twitter .

Dan dia tak sendirian . Enam orang juga maut dalam insiden bom tersebut . Salah satunya adalah Mohammad Chatah , ekonomi berpengaruh , mantan menteri kewangan , bekas Duta AS , sekaligus orang yang dekat dengan bekas Perdana Menteri Lubnan , Saad Hariri .


Chatah dikebumikan di mausoleum tempat Rafiq Hariri dikebumikan . Rafiq Hariri , yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri , tewas dalam aksi bom bunuh diri di pinggir laut Beirut pada tarikh 14 Februari 2005 .
Puluhan orang juga cedera dalam insiden tersebut , yang menurut pihak berkuasa, dicetuskan bahan letupan seberat 50-60 kilogram .

Presiden Lubnan , Michel Sleiman mengumumkan hari berkabung nasional .

Insiden tersebut dianggap menjadi bukti , konflik di Syria merebak hingga Lebanon . Militan Lebanon dari kumpulan Syiah Hizbullah menghantar pasukannya ke Syria , untuk memberi sokongan bagi Presiden Bashar al - Assad .

Sebaliknya , sejumlah pemberontak Syria bergabung dengan rangkaian Sunni yang berkaitan Al Qaeda .

Parti pembangkang dari mana Chatah bergabung, terlibat sengketa dengan militan Hizbullah . Belum ada pihak yang menyatakan bertanggungjawab atas pengeboman ini .

Sumber: liputan6.com

London: Menurut laporan terkini yang menggemparkan daripada majalah Globe Amerika, ketua monarki Britain Ratu Elizabeth mendedahkan kepada Putera William dan isterinya, Kate Middleton yang dia “hanya mempunyai enam bulan lagi untuk hidup”.

Dalam edisi terbarunya, Globe juga mendedahkan maklumat lanjut mengenai sambutan pahit manis Krismas terakhir Elizabeth dan niat jahat Camilla yang terus mempengaruhi suaminya, Charles untuk menaiki takhta di sebalik pengakuan ibunya itu.

Laporan terbaru dalam majalah itu turut mendakwa William mencetuskan kemarahan neneknya selepas dia melompat di pentas ketika acara amal Istana Kensington dan menyanyikan lagu Livin’ on a Prayer bersama Taylor Swift dan Jon Bon Jovi.

“Elizabeth memanggil William dan memarahinya kerana tidak sopan untuk seorang bakal raja menyanyi di pentas dan dia mahu cucunya tidak berkelakuan demikian pada masa depan,” kata satu sumber.

“Namun sifat mesra Puteri Diana yang menari bersama John Travolta dan memeluk Elton John masih diwarisi anak lelakinya.

“William memberitahu neneknya yang dia maklum dengan etika ahli keluarga diraja, tetapi dia mahu rakyat menganggapnya sebagai ahli keluarga diraja yang mudah didekati ramai,” kata sumber itu.

Sumber: Harian Metro

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, tidak sempat pulang ke rumah, yang terletak hanya 500 meter dari jalan besar, selepas maut dirempuh lori ketika menyeberangi jalan di Kampung Pendek, Kota di sini.
Dalam kemalangan petang kelmarin, mangsa, Mohd Haiqal Haqim Mohd Zaid, 14, mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas diseret hampir 17 meter ketika keluar dari lorong di bahu kanan jalan ke jalan besar.
Bapa mangsa, Mohd Zaid Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan mengetahui tragedi menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu selepas dimaklumkan keluarga terdekat.
“Saya segera ke tempat kejadian tetapi hanya dapat melihat mayat anak dengan kesan kecederaan parah.
"Walaupun sedih dengan pemergian anak tersayang tetapi saya redha dengan kejadian ini," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, arwah anaknya itu seorang yang baik dan rapat dengan ahli keluarga, menyebabkan kehilangannya amat dirasai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan pemandu lori terbabit telah membuat laporan polis sejurus selepas kemalangan.



LAGENDA Formula 1, Michael Schumacher berjuang untuk hidup selepas mengalami pendarahan otak dalam kemalangan ski di Perancis.
Michael Schumacher yang kini berusia 44 tahun koma dan berada dalam rawatan di Hospital Mountain Gendarmerie, di negara itu.
Schumacher memakai topi keselamatan ketika kemalangan tersebut dan dia tidak berseorangan seperti yang diulas manager beliau, Sabine Kehm.
Apapun pihaknya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang keadaan Schumacher ketika ini dan berharapkan orang ramai mendoakan keselamatan jaguh Formula 1 itu.
Schumacher bersara dari dunia Formula 1 pada tahun 2006 selepas menjuarai 5 kejuaraan dunia berturut-turut bersama Ferrari dan dua kejuaraan dunia sebelumnya bersama Benetton.
Selepas berehat selama empat tahun, Schumacher kembali beraksi dalam sukan kegemarannya itu pada tahun 2010 bersama pasukan Mercedes namun kembali bersara semula tahun lalu selepas tidak berjaya bersama pasukan barunya itu.

- Sinar Harian

Pelakon yang pernah dikaitkan bercinta dengan Johan As'ari, Izreen Azminda menasihatkan agar aktor tersebut berhenti daripada memainkan perasaan wanita.
Memetik kenyataan mStar online, Izreen, 29, berkata, Johan seharusnya memahami diri sendiri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bercinta dengan seseorang wanita.
"Kalau rasa diri dia (Johan) masih belum bersedia untuk bercinta jangan bercinta dahulu, sepatutnya beri masa dalam sesebuah hubungan sebelum melafazkan cinta.
"Nasihat saya supaya dia jangan mainkan perasaan wanita dan berfikir panjang dengan tindakan yang akan dilakukannya," katanya.
Ezreen berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan Johan yang memutuskan hubungan dengan pelakon Lana Nordin setelah sebulan menjalinkan hubungan cinta.
Tambah Ezreen, sebagai selebriti, Johan juga perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang melibatkan maruah orang lain.
"Saya terkejut dengan berita tentang mereka, kerana pada awalnya saya sangkakan kali ini dia benar-benar serius.
"Saya harap dia dapat ambil pengajaran dengan kontroversi ini, ia melibatkan ramai pihak dan maruah keluarga masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengulas tentang hubungannya dengan lelaki tersebut yang pernah menjadi kontroversi satu ketika dahulu, Izreen berkata, dia sudah melupakan semuanya dan mempunyai kehidupan yang lebih bahagia sekarang.
Hubungan Ezreen dan Johan pernah menjadi perhatian media sekitar tahun 2011, apabila wanita itu mendedahkan hubungan percintaan mereka, bagaimanapun dinafikan Johan yang sebaliknya menganggap mereka hanya sebagai kawan rapat sahaja.

sumber: mStar online

Penyanyi yang terkenal dengan jolokan ratu tari dek kelincahannya menari, Stacy, memberitahu kalau satu hari nanti hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam, dia mahu keputusannya itu atas kehendaknya dirinya sendiri dan bukan semata-mata kerana ingin berkahwin dengan kekasihnya iaitu penyanyi Akim Ahmad.
"Ia perkara yang sensitif. Saya tak berani nak cakap lebih-lebih apatahlagi melibatkan hal agama. Tapi kalau satu hari nanti ditakdirkan saya memeluk Islam, saya akan buat dari hati saya. Ikhlas dari hati saya sendiri dan bukan sebab sesiapa", kata gadis berusia 23 tahun ini kepada Malaysian Digest.
Pemilik Stracie Angie Anam ini ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium Bently Music, Damansara, Jumaat lalu.
Begitupun, akui anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, sejak akhir-akhir ini dia memang banyak bertanyakan perihal agama Islam kepada Akim.
"Kalau berjumpa, kami selalu juga bertanyakan pada dia (Akim) dan kami masing-masing berkongsi perihal agama masing-masing. Dari situ saya baru tahu, oh agama saya sebenarnya tidak banyak beza pun dengan Islam.
"Kalau dulu semasa tinggal di kampung, pergaulan saya terhad dan orang sekeliling kebanyakannya penganut Kristian. Tapi apabila berpindah ke Kuala Lumpur saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.
"Kerana itu juga saya berasa kagum semakin berminat untuk mengetahui tentang agama Islam", katanya yang sudah enam tahun menetap di ibu kota.
Dalam pada itu, berongsi pula mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia, Stacy berkata, dia berasa bertuah apabila ditawar merakamkan lagu bersama kumpulan yang mendapat sokongan peminat yang mencecah 6.7 juta orang itu. Lantas ia juga satu peluang yang cukup besar buat Stacy untuk memperkenalkan namanya di negara Indonesia.
Lebih menggembirakan, kata Stacy, dek kerana pengaruh kumpulan itu yang sangat kuat dan mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia, secara tidak langsung peminatnya sendiri juga kini semakin bertambah.
"Pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.
"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya.
Pada majlis pelancaran tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100 peminat.

- mD



RIO DE JANEIRO: Catarina Migliorini, pelajar kolej berusia 23 tahun di Brazil yang menjadi tumpuan dunia kerana melelong daranya, kini mengiklankan lagi untuk melelong daranya itu.
Pada masa sama, wanita itu juga menimbang untuk menerima lamaran seorang jutawan Arab. Pada 2012, seorang jutawan Jepun menawar Catarina AS$780,000 (RM2.6 juta) untuk membeli daranya menerusi lelongan secara online.
Bagaimanapun, urusan jual beli itu gagal dan dia sekali lagi melelong daranya menerusi laman web VirginsWanted2.com.

Tawaran itu dilanjutkan dari 12 Disember hingga 12 Februari. Catarina juga berkata, dia menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab.
Tanpa mendedahkan identiti lelaki itu, Catarina memberitahu mereka saling berbual menerusi Skype dan menyifatkan lelaki berkenaan sebagai ‘penganut Islam progresif.’ “Saya mengambil keputusan untuk meneruskan tawaran itu. Pada masa sama, saya menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab. dan kini menimbangnya kerana ia membabitkan perkahwinan.
“Memandangkan musim panas menjelang dan sudah tentu banyak parti diadakan, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan lelongan itu bagi sambil menimbang tawaran itu. “Jutawan Arab itu kelihatan begitu romantik dan menguasai 11 bahasa. Dia berumur antara 35 dan 40 tahun, kacak dan pintar. “Dia tinggal di rumah agam. Saya melihatnya menerusi skype,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Catarina, lelaki itu tidak bersetuju dengan tindakannya melelong daranya sehingga sanggup menawarkan AS$1.5 juta (RM4.9juta) kepadanya supaya menghentikan lelongan itu, berkahwin dengannya dan berpindah ke negara asalnya.
“Dia tidak suka dengan tindakan saya. Dia anggap tidak sesuai kerana saya cantik, muda, berbakat dan cerdik.
“Dia mahu mengahwini saya dan mencadangkan kami bertemu di Malta supaya dapat berkenalan lebih rapat.
“Malta negara berkecuali dan saya boleh membawa keluarga saya. Semuanya dia akan tanggung.
“Saya suka berbual dengannya kerana dia penyayang, romantik dan pintar. Tetapi saya tidak mahu berkahwin kerana ia membabitkan wang yang banyak. “ Ia membabitkan perasaan cinta dan saya tidak mahu terikat,” katanya.



BADAN pencegah rasuah Malaysia tidak boleh menyiasat pembelian kontroversi kondominium mewah bernilai RM100 juta anak tiri Perdana Menteri kerana tiada undang-undang untuk menyiasat individu yang membeli aset di luar kemampuan mereka.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan mereka mencadangkan agar peruntukan itu dimasukkan ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 akan tetapi Putrajaya masih belum membentangkannya di Parlimen.
“Walaupun siasatan pemilikan harta tidak sepadan dengan pendapatan bukan fungsi SPRM sepenuhnya, SPRM mengalu-alukan jika perkara ini dimasukkan dalam senarai pindaan Akta SPRM 2009 yang bakal dibawa ke Parlimen pada tahun depan,” kata badan itu dalam satu kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas ahli politik pembangkang mendesak SPRM menyiasat pembelian kondominium mewah penerbit filem Riza Shahriz Abdul Aziz di New York. Riza merupakan anak kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam perkahwinan sebelumnya.

Laporan media mengatakan lelaki berumur 36 tahun itu bekerja dalam industri perbankan di London di mana beliau mengumpul kekayaannya dalam ekuiti dan hartanah. Riza juga memiliki Red Granite yang menerbitkan filem terbaru lakonan bintang Holywood Leonardo DiCaprio, “Wolf of Wall Street” - diarahkan oleh Martin Scorsese.
Seorang kolumnis hiburan menulis tentang pembelian kondominum mewah ini pada Disember 2012 akan tetapi berita tentangnya hanya menjadi tajuk berita selepas laman sesawang Sarawak Report melaporkannya minggu ini, mempersoalkan pembelian tersebut.
Kondominium tersebut dikatakan diantara yang paling mahal dan eksklusif di dunia, kata kolumnis tersebut, ia mempunyai 15 bilik dengan keluasan 7,738 kaki persegi dengan pemandangan menarik dari beranda seluas 1,244 kaki persegi.
Akan tetapi laman sesawang hartanah New York, The Real Deal mengatakan Riza membeli hartanah mempunyai tujuh bilik di West 63rd Street Park Laurel pada 19 November, 2013.
LA Times melaporkan minggu ini Red Granite mendapatkan wang daripada sekumpulan pelabur tidak dikenali dari Timur Tengah dan Asia dan hanya akan membiayai filem itu sahaja. Wolf of Wall Street dilaporkan berkos US$100 juta di mana Red Granite mengeluarkan dana sepenuhnya.
Bagaimanapun, ahli politik pembangkang Malaysia lebih berminat kepada hartanya berbanding cara beliau berniaga dengan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mengatakan,” “Pendedahan tersebut mengejutkan. Pada ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, sesetengah pihak berbelanja mewah.”
“Dari manakah dia (Riza Shahriz) mendapat wang sebanyak itu? Kerana angkanya terlalu besar iaitu RM110 juta,” katanya semasa mendesak SPRM menyiasat perkara tersebut.
Menurut SPRM, cadangan untuk menyiasat individu yang hidup di luar pendapatan mereka juga dicadangkan oleh badan panel yang memantau perjalanan SPRM iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Katanya, laporan tahunan SPRM 2012 juga menyatakan keperluan untuk akta dipinda membolehkan seseorang individu mengisytiharkan kewangan atau harta benda tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.
"JKMR dan juga masyarakat melihat isu ini sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM untuk membanteras rasuah dengan berkesan kerana didapati terdapat sesetengah anggota pentadbiran ataupun penjawat awam mempunyai harta kekayaan yang berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh,” kata SPRM.



Bekas pengacara rancangan MeletOp, Neelofa meluahkan perasaan kesalnya di laman Instagram selepas difitnah berkhalwat pada Khamis lalu tanpa sebarang bukti kukuh.


Menurut pelakon itu, tuduhan berkenaan benar-benar menjatuhkan maruahnya sebagai seorang selebriti. Katanya, jika benar dia berkhalwat, sudah pasti ada laporan rasmi polis dan juga surat Jabatan Agama Islam berserta saksi.


"Kalau benar ia berlaku sebetulnya dalam sisi undang-undang Malaysia dakwaan tersebut haruslah mempunyai laporan polis dan juga surat Jabatan Agama Islam berserta saksi."

"Jika benar saya ditangkap khalwat pastinya saya masih berada di Malaysia untuk selesaikan kes ini. Sekarang saya berada di luar negara untuk meneruskan pengajian saya. Saya harap pihak yang berkenaan bertanggungjawab atas fitnah dan artikel tersebut, terima kasih."



Sementara itu, Neelofa sempat menegur sikap wartawan yang suka menyebarkan gosip-gosip tidak sahih agar membuat penyiasatan terlebih dahulu sebelum menyiarkan apa-apa artikel berkaitan salahlaku selebriti.


"Sekurang-kurangnya tanya pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat artikel sekeras ini. Artikel tidak masuk akal seperti ini boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti seseorang artis.

Baca kenyataan penuh Neelofa di bawah yang sempat dimuatnaik beliau di laman Instagramnya sekitar petang tadi. Pelakon seksi itu jelas sangat kecewa dengan tuduhan yang disebarkan di akhbar tempatan.






Jabatan Meteorologi Malaysia baru sahaja mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang bakal melanda tiga negeri iaitu Sabah, Selangor dan Perak.


Memetik kenyataan amaran MMD di laman Facebook mereka sekitar 4.34 awal pagi tadi, 29 Disember 2013, berikut ialah kenyataan penuh amaran ribut petir dan hujan lebat yang telah dikeluarkan.

"Ribut petir dan hujan lebat di negeri Perak (Daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak), Selangor (Daerah Klang dan Kuala Langat) dan Sabah : Bahagian Sandakan (Daerah Sandakan) dijangka berterusan sehingga lewat pagi, Ahad 29 Disember 2013."

"Keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di negeri Selangor (Daerah Sabak Bernam dan Sepang) dan Sabah : Bahagian Sandakan (Daerah Beluran)."

"Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang."




BEIJING: Mahkamah di timur laut China menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki kerana cuba membunuh anak perempuannya.
Mahkamah di Heilongjiang mendapati Yin Zhihe bersalah atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya berusia dua bulan dengan mencucuk jarum jahit ke tubuh bayi itu, lapor agensi berita Xinhua.
Yin dipercayai cuba membunuh bayi itu kerana mengesyaki mangsa bukan anaknya.
Yin mencucuk jarum ke sangkar rusuk bayi itu pada 4 Ogos lalu.
Keesokan harinya, tangisan bayi itu mendorong ibunya membawa dia ke hospital, di mana jarum berkenaan ditemui dan dibuang melalui pembedahan.
Bagaimanapun, Yin mencucuk tiga lagi jarum di dada, pusat dan perut bayi itu. Kesemua jarum berkenaan dicabut menerusi pembedahan tetapi menyebabkan kegagalan pernafasan dan kecederaan pada organ bayi malang itu.
Mahkamah mengurangkan hukuman terhadap Yin kerana dia menyerah diri kepada polis, manakala bayinya terselamat.
Sementara itu, ujian DNA menunjukkan Yin ialah bapa kandung kepada bayi perempuan terbabit.

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencium rakan serumah kekasihnya, seorang pelajar dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Hassan Lal Gilani, 24, seorang warga Pakistan, yang mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa dengan mencium pipi wanita berusia 24 tahun itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa, Jalan Klang Lama, di sini pada jam 10.55 pagi, 30 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ketika itu duduk di sofa apabila tertuduh yang berjalan menuju ke bilik kekasihnya, berpatah balik ke arah mangsa dan memegang kepala mangsa dengan kedua-dua tangannya serta cuba mencium bibirnya.
Mangsa berjaya mengelaknya, bagaimanapun terkena di pipinya.


HERAT (AFHANISTAN): Seorang wanita di Afghanistan terpaksa menanggung derita selepas hidung dan bibirnya dikerat oleh suaminya yang juga seorang penagih dadah.
Setara, 30, ibu kepada empat anak itu dilaporkan dipukul sebelum suaminya memotong hidung dan bibirnya.
"Dia bertindak ganas kerana saya enggan beri barang kemas untuk digadai bagi membeli dadah. Dia rampas telefon dan cincin saya sebelum melarikan diri," katanya pada laporan Daily Mail.
Ibu Setara, Nasima berkata, dia mahu pihak berkuasa menahan menantunya itu dan merejam hingga mati bagi memberi pengajaran kepada orang lain.


BANGKOK : Seorang pengawal keselamatan menjadi mangsa terbaharu dalam keganasan berkaitan bantahan terhadap pilihan raya umum Thailand yang dijadual diadakan pada 2 Feb tahun depan.
Lelaki yang bertugas mengawal tempat perhimpunan kumpulan Rangkaian Pelajar dan Rakyat bagi Pembaharuan Thailand itu ditembak mati oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali berhampiran Rumah Kerajaan di sini pada kira-kira jam 3 pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai Jamrieng Jitwat, 31, dari wilayah Prachuab Khiri, Selatan Thailand.
Tiga orang lagi cedera dalam serangan itu.
Kumpulan tersebut adalah antara pihak yang cuba menghalang urusan pendaftaran calon bagi pilihn raya itu di Stadium Thailand-Jepun di Dindaeng sejak beberapa hari lepas.
Sehingga jam 6 petang semalam, kira-kira 153 orang cedera akibat pertempuran antara polis pencegah rusuhan dengan penunjuk perasaan, kata Pusat Perubatan Erawan.
Pertempuran yang berlaku juga meragut nyawa sarjan mejar polis Narong Pitisilp, 45, dan seorang lelaki berusia 30 tahun bernama Wasu Sujantana.
Sementara itu, 53 parti politik telah mendaftr untuk menyertai pilihan raya berkenaan.
Urusan seterusnya ialah pendaftaran kawasan pilihan raya yang dijadual diadakan mulai hari ini hingga 1 Januari.
Lebih banyak keganasan dijangka berlaku menjelang berlangsungnya pilihan umum apabila penunjuk perasaan meningkatkan kempen mereka bagi mengganggu proses pemilihan.
Pemimpin tunjuk perasaan Suthep Thaugsuban berikrar akan melumpuhkan Bangkok pada hari mengundi.

- Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang jurukimpal kereta semalam setelah dipercayai terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang meninggal dunia pada 24 Disember lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata suspek, yang juga bapa tiri mangsa, ditahan di tempat kerjanya di Cheras pada kira-kira 4.25 petang semalam.
Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas bedah siasat berhubung kematian kanak-kanak itu mendapati ada unsur jenayah.
Kanak-Kanak itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur selepas dihantar ibunya pada Sabtu lepas setelah mendapati mangsa mengalami sawan, tubuhnya keras dan tidak sedarkan diri.
Zuraidah Jasman, 31, sebelum ini mendakwa mangsa didera di sebuah pusat jagaan di Kuantan, Pahang ketika dihantar bersama-sama empat lagi anaknya selama tiga tahun.
Ekoran dakwaan penderaan itu, Zuraidah mengambil keputusan berpindah ke ibu kota bersama suami dan anak-anaknya sejak Ogos lepas.
"Polis percaya dengan tangkapan (jurukimpal) ini dapat menyelesaikan kes itu," kata Khairi ketika dihubungi Bernama hari ini.

- Bernama

BUKIT MERTAJAM: “Kami langsung tak ingat apa-apa dan hanya rasa sakit sebelum jatuh tidak sedarkan diri,” kata Suhail Zolkifly, 14, dan adiknya Omar, 11 diserang anjing liar ketika bermain sekitar kawasan rumah mereka di Taman Cermai, Permatang Pauh, di sini, Rabu lalu.
Menurut Suhail, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila sekumpulan anjing liar menyerang mereka dan ketika itu hanya berfikir untuk lari menyelamatkan diri bersama adiknya.
“Saya hanya terbayangkan wajah adik namun agak sukar menyelamatkannya kerana kumpulan anjing berkenaan terus mengejar dan menyerang kami berdua menyebabkan kami terjatuh.
“Selepas itu, saya langsung tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, dua beradik berkenaan koma dua hari selepas mengalami retak tempurung kepala serta pendarahan dalam otak kerana tersungkur ketika cuba menyelamatkan diri kerana dikejar dan diserang sekumpulan anjing liar.
Bapa mangsa Zolkifly Md Lazim,50, berkata, ketika kejadian, dia berada di Alor Setar, Kedah kerana urusan kerja sebelum menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu.
“Saya terkejut apabila diberitahu anak koma dan mengalami kecederaan serius di kepala serta tempurung otak retak dan tanpa berlengah saya terus bergegas pulang.
“Saya difahamkan kecederaan itu berlaku akibat kepala anak terhentak di permukaan jalan ketika mereka cuba menyelamatkan diri daripada diserang sekumpulan anjing liar,” katanya.
Sehubungan itu, Zolkifly berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih kerap membuat tinjauan di kawasan perumahannya kerana kawasan terbabit dilihat mempunyai banyak anjing.
“Kawasan perumahan ini terlalu banyak anjing bahkan anak saya berumur tujuh tahun pernah mengalami kecederaan kecil kerana diserang anjing baru-baru ini.
“Kali ini terjadi lagi kepada dua anak saya dan berharap PBT berbuat sesuatu terutamanya mewujudkan polisi penjagaan haiwan kepada penduduk yang membela haiwan di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Rozali Mohamod berkata, MPSP kesal dengan kejadian yang menimpa dua kanak-kanak itu yang hampir maut apabila diserang anjing liar.
Menurutnya, berikutan kes itu, satu operasi secara drastik diambil MPSP dengan menangkap anjing liar di kawasan terbabit dan pihaknya berjaya menangkap 10 anjing.
“Kita dapat juga kumpulkan satu pasukan untuk menangani kes ini.
“MPSP kesal dalam kejadian dua kanak-kanak yang cedera akibat dikejar anjing liar ini dan akan terus membuat rondaan untuk menangkap baki anjing yang berkeliaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menangkis dakwaan pihak yang mengatakan MPSP mengabaikan isu anjing liar itu, di sini, semalam.
Operasi penangkapan anjing liar itu diadakan di beberapa lokasi termasuk Taman Himilaya dan persekitaran Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh.



GEORGETOWN: Seorang pengantin lelaki di sini, mereka dan menjahit sendiri pakaian perkahwinannya bersama isteri.
Mohd Amzar Ismail, 28, dari Bukit Mertajam gembira kerana berjaya menghasilkan baju perkahwinannya sendiri tanpa mengharapkan butik pengantin mahupun kedai perkahwinan lain.
Menurutnya, membuat sendiri baju perkahwinan memberi kepuasan yang tidak mungkin akan diperoleh seperti pasangan pengantin lain.
“Selain itu, kos juga dapat dikurangkan sebab jika sewa baju pengantin, boleh cecah ratusan ringgit dan ada yang tidak dapat menyimpan baju perkahwinan mereka, sebaliknya terpaksa memulangkannya ke kedai semula.
“Tapi baju kahwin kami, dapat simpan sendiri hingga ke akhir hayat,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai pembantu juruaudit bertemu jodoh dengan seorang guru, Ramlah Rahman, 28.
Ramlah yang berasal dari Sabah juga berbangga kerana suaminya berjaya menjahit sendiri pakaian pengantinnya.
“Tidak dinafikan pakaian adalah salah satu yang menjadi perhatian orang ramai ketika hari perkahwinan, baju yang direka suami saya sendiri begitu selesa dan jika ada yang tidak kena, mudah saja untuk dia betulkannya kembali,” katanya.
Mohd Amzar sememangnya meminati bidang fesyen dan pernah bekerja sambilan di butik perkahwinan sejak dari zaman persekolahan.

Gara-gara tindakannya menyumbat kucing di dalam sebuah balang sebagai hukuman kerana nakal, seorang pelajar di Taiwan bakal berdepan hukuman penjara setahun dan denda jika didapati bersalah melanggar undang-undang perlindungan haiwan.

Kiki Lin pelajar Universiti Providence Taichung didakwa melakukan penganiayaan ke atas haiwan selepas dia memuat naik gambar tersebut di Facebook.

Tindakan kejamnya itu mengundang kemarahan pencinta haiwan dalam kalangan pengguna laman sosial itu dan mereka turut menggelarnya sebagai pendera haiwan, dipetik dari laporan DailyMail.

Sumber: Sinar Harian