Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Faizul Menang AF2013, Hadiah Berharga Untuk Ibu Bapa
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


Sama ada Azhael mahupun Nabila, dua bintang ini dicanang bakal dinobatkan juara program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) berdasarkan persembahan konsisten mendahului dua carta teratas beberapa minggu sebelum final.

Malah, kelab peminat mereka ternyata semakin lantang di laman sosial menyatakan sokongan sehingga memberi petanda merekalah bakal juara terutama duo Azhael selepas undian kembali mendadak selepas kembali bertanding menerusi tiket AFMASUK.
Namun, hakikatnya biar kencang bertiup AF2013 bakal melahirkan juara yang tidak sepatutnya, ternyata pengundi Malaysia semakin bijak apabila menobatkan sendiri peserta ‘underdog’ Mohd Faizul Sany, 28, atau Faizul dari Tawau, Sabah itu.

Berlangsung meriah di Stadium Negara malam kelmarin, pasti di stadium sendiri dikejutkan dengan keputusan berkenaan apalagi dua persembahan Faizul menerusi lagu baru ciptaan Amir Jahari dan AG Coco iaitu Sepasang Sayap serta lagu tugasan Hanyut (Faizal Tahir) seakan tiada sorakan.
Berbanding yang lain, kewujudan Faizul bukan persoalan utama memandangkan dua kelab penyokong Azhael dan Nabila begitu kuat pada malam itu walaupun Faizul cukup hebat menerusi kedua-dua persembahannya.

Imbas kembali, jejaka pemalu itu hampir tidak layak ke Top 12 pada Konsert Prelude namun diserap semula selepas diundi penonton dan peluang itu tidak disia-siakannya.

Di luar jangkaannya sendiri, Faizul yang ditemui sejurus dinobatkan juara menyifatkan kemenangan itu hasil niat ikhlas mahu bekerja-keras serta memberikan hadiah itu buat ibu bapanya, Sany Saliun, 61, dan Shallena Langkab, 56.

“Saya tidak pernah terfikir pun sebenarnya mahu masuk uji bakat AF2013 namun atas desakan ahli keluarga dan paling kuat daripada teman-teman baik, saya kuatkan semangat untuk mencuba musim kali ini.

“Lagipun, melihat keadaan ibu bapa yang semakin tua namun masih berhempas-pulas mengerah kudrat demi keluarga, saya jadi perit membuatkan saya berazam mahu menggunakan bakat untuk mengubah nasib.

“Sedih bila lihat mereka masih gigih bekerja padahal masing-masing ada masalah kesihatan dan kerana itulah juga saya akan berikan semua wang tunai kemenangan itu kepada mereka nanti untuk pembiayaan kesihatan. Selebihnya terpulang kepada mereka mahu memberi berapa bahagian wang untuk saya,” katanya.

Tidak terlintas langsung mahu mengejar populariti, jejaka itu sebaliknya mengenepikan perasaan itu dan berjaya masuk dalam akademi, dia langsung tidak mahu mensia-siakan peluang seumur hidup itu.

“Terus-terang saya anggap penyertaan dalam AF2013 ini sebagai satu tanggungjawab dan kerja. Disebabkan itu, saya tidak mahu membazirkan masa langsung dan berusaha mengikuti semua pembelajaran yang diberikan.

“Jika diukur daripada segi kerja-keras, saya boleh katakan banyak peningkatan dalam diri saya terutama sekali daripada membuang rasa malu dan menjadi yakin, kemudian kepada aspek vokal dan tarian, saya sangat gembira,” katanya.

Akur di tempat kedua, Azhael yang dianggotai Mohd Azhar Osman (Azhar), 25, dan Hal Husaini Razmi (Hael), 25, nampaknya gagal mengekalkan kedudukan undian meskipun awalnya berada di tangga pertama serta menjadi bintang ‘favourite’.

Bagaimanapun, mereka yang menyanyikan lagu baru Hentian Terakhir (ciptaan Damien Mikhael & Altimet) serta Penglipur Lara (Hazama) malah berbangga apabila Faizul dinobatkan juara dan menyifatkan dia sememangnya layak menang selain menganggap keputusan semua tergantung kepada rezeki.

Turut kurang dijangka, Nadia Amira Othman (Amira), 20, yang menyanyikan Sesaat Untukku (ciptaan Keroz Nazri & Erda EE) muncul tempat ketiga diikuti Siti Ruhailah Hussien (Indah), 26, Nur Nabila Mohd Razali (Nabila), 21, dan Nur Aishah Aziz (Aishah), 19.

Secara keseluruhannya, peningkatan ketara jelas terserlah pada persembahan serta nyanyian keenam finalis di mana Indah misalnya memukau penonton dengan vokal hebatnya menerusi Jagalah Diri (Jaclyn Victor) dan Percayalah (ciptaan Aiman & Mohd Atlas).

Faizul membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, kontrak rakaman RM100,000 dan trofi, Azhael dengan wang tunai RM30,000 dan trofi, Amira dengan wang tunai RM20,000 dan trofi, Indah dengan wang tunai RM10,000 dan trofi, Nabila dnegan wang tunai RM5,000 dan trofi serta Aishah diberikan trofi.

Juga diperkenalkan musim ini, anugerah AF Buzz Pilihan Penonton pula berjaya dimenangi Azhael.


Faizul sedia disirami kontroversi

Sang juara Faizul tidak dinafikan antara yang cukup pendiam antara semua bintang dan personalitinya lebih terserlah sebagai seorang lelaki lurus bendul.

Apapun, untuk terus bersikap begitu dalam industri mungkin menjadi jerat buat pendatang baru sepertinya namun menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia sudah sedia menempuh industri penuh ranjau ini.

“Tidak apa-apa yang perlu saya ubah kerana sepanjang pertandingan ini pun saya cuma menjadi diri-sendiri namun sedar bukan dalam akademi jadi penentu gambaran sebenar di luar sana.

“Bagaimanapun, kami sudah didedahkan dengan pelbagai aspek seperti berhadapan dengan wartawan dan turut diberi nasihat beberapa orang yang arif mengenai industri maka sekurang-kurangnya saya sudah ada sedikit peringatan,” katanya.

Memilih untuk terus mengetengahkan muzik berkonsepkan Pop Rock, Faizul juga sudah menetapkan hala tujunya dalam industri ini lebih kepada eksperimental.

Sangat mengagumi idolanya Faizal Tahir juga Inspirer AF2013 pertama, dia melihat muziknya akan lebih ke arah segar dan tidak klise sebagaimana muzik diperjuangkan penyanyi Coba itu.

Pada konsert berkenaan, Inspirer terakhir Datuk Siti Nurhaliza turut menyerikan pentas dengan mendendangkan lagu Seindah Biasa manakala Johan Raja Lawak serta Adi Putra tampil membuat gimik.

Dihoskan Zizan Razak, tiga juri tetap yang mengkritik persembahan setiap bintang iaitu Roslan Aziz, Sharifah Amani dan Edry KRU rata-rata berpuas-hati dengan persembahan finalis malam itu.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments