Sekadar hiasan |
Selain mahu meraih populariti, ada yang dengarnya sanggup membuat perkara-perkara jahat seperti menyantau rakan artis kerana cemburu. Persoalannya, adakah perkara ini menjadi amalan biasa insan bergelar artis atau hanya menjadi amalan mereka yang tidak tahu hukum?
GUA telah mendapatkan komen beberapa artis berhubung isu ini. Jom lihat apa kata mereka.
Wawa Zainal
“Memang tak bagus pergi berjumpa bomoh untuk dapatkan apa yang dihajati. Kalau terkena penyakit misteri pula, lebih baik berjumpa dengan ustaz. Jangan terlibat dengan perkara-perkara syirik ni.”
Yana Samsudin
“Saya tak pernah jumpa bomoh dan tak pernah dikelilingi orang-orang yang terlibat dengan perkara syirik ini. Walaupun saya pernah sakit dulu kerana mungkin terkena buatan orang, saya lebih memilih untuk berubat dengan ustaz.”
Norman Hakim
“Bomoh itu adalah perantaraan antara kita dengan Allah. Jadi dah jadi syirik kalau kita mempercayainya. Bagi saya, kita kena yakin dengan diri sendiri. Kalau ada perkara yang dihajati adalah lebih baik kita meminta sendiri dengan Allah. Banyakkan berdoa dan berusaha. Kita juga kena ingat, kalau kita amalkan perkara-perkara yang mendatangkan syirik ini, pasti ada pembalasan daripada Allah. Kalau tidak di dunia ini, pasti di akhirat nanti.
Setakat ini, saya tidak pernah terfikir untuk mendapatkan bantuan bomoh untuk merealisasikan kemahuan saya. Saya tidak percaya. Memang ada pihak yang pernah beri cadangan untuk jumpa bomoh, tapi saya enggan. Saya tidak mahu mempercayai perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah. Tentang senario artis berjumpa dengan bomoh itu, saya rasa memang wujud. Tetapi saya tidak tahu siapa yang terlibat.”
Salwa Razak
“Bagi saya orang yang berjumpa dengan bomoh ini adalah mereka yang tidak menggunakan otak untuk berfikir dan bertindak. Saya cakap macam ini sebab kalau mereka berfikir dengan baik, tentu mereka tidak akan melakukan perkara-perkara syirik. Biarpun saya tidak popular, saya tidak akan memilih jalan singkat untuk berjumpa bomoh. Sebaliknya, saya akan berusaha lebih gigih untuk dikenali ramai. Saya tidak percaya dengan bomoh. Lebih baik saya minta dengan Allah dengan banyak berdoa. Seandainya ada kawan-kawan yang mencadangkan saya berjumpa dengan bomoh, saya memang akan tolak.”
Dafi
“Benda-benda ini semua tidak perlu dan patut dijauhkan terutama sekali kepada kita yang beragama Islam. Ia adalah perbuatan syirik. Apa yang penting adalah berdoa dan berserah kepada Allah kerana itu lebih berkat.”
Didie Alias
“Tengok dulu apa tujuan apa mereka berjumpa dengan bomoh. Sama ada untuk tujuan yang elok atau tidak elok. Ada yang berjumpa bomoh bagi tujuan memulih atau berikhtiar kerana selain doktor, bomoh juga boleh mengubati penyakit. Ini kerana terdapat juga sakit yang disebabkan perkara halus yang boleh diubati oleh bomoh dengan cara perubatan Islam.
Tetapi jika untuk tujuan jahat maka itu tidak baik kerana sebagai umat Islam lebih baik kita mempercayai Allah daripada bomoh. Bagi saya, terpulang kepada individu untuk membuat pilihan sendiri dan ia bergantung kepada niat.”
Sumber: Gua.com.my
No comments
Post a Comment