SEREMBAN – Pelawak, Helmi Gimik nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Bukit Tangga, Jelebu–Seremban, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Helmi bersama dua rakannya menaiki kereta jenis Mercedes Benz E240 dalam perjalanan pulang ke Nilai selepas membuat persembahan di majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Felda Pasoh 4, Simpang Pertang, Jelebu, di sini.
Menurut Helmi, dia bersama pembantu peribadi dan salah seorang pemuzik terhidu bau hangit ketika dalam perjalanan pulang.
“Ketika memandu, saya melihat kepulan asap keluar daripada pendingin hawa kereta dan berbau hangit.
“Saya terus berhentikan kereta dan keluar memeriksa bonet. Sebaik sahaja dibuka, asap tebal memenuhi keseluruhan enjin kereta,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Helmi berkata, dia bersama rakannya bergegas menyelamatkan barang-barang penting dalam kenderaan sejurus melihat asap tebal itu.
“Selepas selesai meletakkan barang di tepi jalan, kereta saya tiba-tiba meletup dan terbakar.
“Kejadian berlaku sekelip mata dan saya tergamam melihat kereta sendiri dijilat api yang marak,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka keretanya terbakar kerana sejak dibeli lima tahun lalu, ia tidak mempunyai masalah.
“Saya bersyukur kami semua selamat dan tidak cedera,”katanya. – SinarHarian
No comments
Post a Comment